Friday, April 27, 2012

Warkah: Muka 73

Tanggungjawab


Assalamualaikum,

Memang seronok tatkala bermain dengan di riang ceria ini. Kerap kali juga terlintas dalam hati, alangkah bahagia jika punyai satu. Atau dua. Atau sehingga tidak cukup tangan dan kaki menjaga.

Tapi jangan biarkan fikiran ternoktah di situ. Bimbang, pandangan itu jauh sekali daripada situasi yang hakiki.

Anak kecil itu, perlu diasuh. Bagaikan acuan mentah, dia perlu dipupuk sejak dari mula lagi.

Jauh mana "dari mula itu"?

Sejak diri digelar pemuda lagi. Sejak si dia digelar pemudi lagi.

Kerana andai diharap perubahan kearah kebaikan itu bermula tatkala berkelengkapa putih terduduk di masjid di pagi yang permai dikepungi muka-muka saudara-saudara yang lama mahupun saudara-saudara yang bakal dikenali, andai percaya bahawa kebaikan seseorang itu muncul dengan sekelip mata tatkala mulut menutur kalimah yang menggentar jiwa dan disusuli dengan ucapan "Sah!" yang rasanya bagaikan nikmat teristimewa, maka jauh sekali itu dari sebenarnya.

Anak itu perlu didikan dan bimbingan. Dia juga bakal membesar. Dia juga bakal hadapi dunia dan warna-warninya. Dia juga perlu tahu di mana ada sinar bahagia, di situ juga ada gelap sengsara. Dia perlu tahu Tuhannya, dia perlu tahu matlamat hidupnya, dia perlu tahu dunia ini hanya singgahan dan ujian yang hayatnya pendek sahaja. Dia perlu tahu bahawa manis di sana kelak lebih kekal dan lebih nikmat daripada madu, gula, serta manisan-manisan yang lain yang ada di dunia. Dia perlu, dia perlu, dia perlu...kamu.

Dia perlu kamu untuk mengkhabarkan semua itu.

Soalannya, kamu tahu? Tahukah kamu?

Jangan gelak ketawanya hanya di usia mudanya, dan kelak meniti dewasa dan tatkala kamu tua, cemuhan dan amarah yang diterjah padamu, kerana terlupa akan tanggung jawab mu padanya seketika dulu.

.









p.s: Janganlah diri di buai mimpi. Jangan. Terjaga kelak menangis kesal tak guna lagi.

Monday, April 9, 2012

Warkah: Muka 72

Simpan untuk kamu?


Assalamualaikum,

Semalam adalah nikmat. Makan malam bersama rakan, berlaukan ikan masak 3 rasa. Nikmat, kerana masakannya enak, ikannya sedap dan lunak, dan kerana jamuannya dibiaya. Terima kasih.

Apapun semalam perbualan dengan kawan lama dan kenalan baru adalah terarah kepada gosip-gosip anak teruna muda.

"Siapa ko rasa cantik dalam batch ko?"

Soalan ringkas dilontar.

Selaju soalan yang ditanya, maka dalam minda terpampang beberapa wajah-wajah mereka-mereka yang kadang kala terlintas dalam hari-hari sebagai pelajar. Namun ku biar lamunan mati sebelum manifestasi.

"Entah, bukan batch korang lagi ramai yang lawa ke? Ke batch sebelum itu?"

Soalan terakhir itu sengaja dilontar. Maka perbualan kembali rancak, tetapi bukan lagi terarah kepada ku.

Andai dulu ini adalah satu bual kata yang cukup ku gemari, namun aku tak rasa aku mampu bersuka ria membanding cantik manisnya wanita.

Kerana definisi sesuatu perkara itu, tatkala dewasa, adalah lebih dalam daripada kulit dan rupa.

Jangan adili seseorang hanya pada wajahnya.

Maka, lontaran "cantik" itu biarlah aku simpan dahulu.

Ku pegang hanya pada hati.

Ku simpan untuk yang layak ku puji.

Ku khas kan untuk yang kelak ku cintai.

Tak perlulah aku bandingkan, baik kini mahupun ketika capai bahagia itu nanti.

Lagu itu, bukan nasyid.

Tapi ambik masa dengar, ambik tempoh untuk menghayati.


Itu ini, begitu begini, beza persepsi di sana sini...
Cara dia dan cara mereka, masing masing punya citarasa...

Friday, April 6, 2012

Warkah: Muka 71

Bulan



Cantik bulan malam ni,

Tinggi di langit, 

Tanpa lindungan awan,

Terang benderang.


Cantik bulan malam ni,

Tangan ku capai,

Hanya angin ku gapai,

Bulan tetap jauh.


Cantik bulan malam ni,

Buat ku sedih,

Kenapa yang indah itu,

Adalah yang mustahil?


Cantik bulan malam ini,

Seolah mengajar,

Indah itu tinggi darjat,

Seri itu mahal nilai.


Cantik bulan malam ini,

Dalam persona aku terdidik,

Diri ku masih perlu di audit,

Agar nilai ku tinggi langit.

...


Bukan puisi, sekadar lontaran kata tatkala menatap bulan.

Wednesday, April 4, 2012

Warkah: Muka 70

Tidur

gambar baby, sebab gambar sendiri tengah tidur sangat tak macho...

Assalamualaikum,

Orang kata, buat kerja kena istiqamah. Berterusan.

Jadi tidur pun kena begitu. Berterusan. Bukan maksudnya tidur tak bangun-bangun dah, melainkan ajal menjemput. Tapi tidur ikut waktu, bukan kejap tidur malam kejap tidur pagi. Terganggu sistem dalam badan, sebab tak seimbang peredaran waktu rehat dan waktu kerja.

Orang kata, buat sesuatu kena bersederhana. Tak kurang, tak pula lebih.

Jadi tidur pun kena begitu. Bersederhana. Bukan maksudnya tidur nak lama-lama. Bukan juga maksudnya tidur nak kejap sangat, kononnya boleh ganti kemudian. Sekali sekala bila memerlukan, mungkin boleh. Mungkin. Yang pasti, benda yang lebih pada badan jadi racun. Kalau kurang pun, akan jadi racun. Sakit baru tahu. Tidur kurang, longlai. Tidur lebih, pening otak, mual-mual macam orang mengandung.

Orang kata, penasihat terbaik adalah diri sendiri.

Jadi ni pun sama. Bukan untuk tulis pada orang lain, saja nak ingatkan diri sendiri, dah pukul 2 pagi dah ni.

PERGI TIDUR!!

Dan INGAT BANGUN AWAL!!

Sekian.

kan dah cakap... =~="



Tuesday, April 3, 2012

Warkah: Muka 69

Lelah

Assalamualaikum,

Lelah diri ingin membawa hati lari dari kekusaman yang ada dalam jiwa ini. Sungguh, bulan ini bukan lagi bulan yang ku nanti. Silam mengajar dalam bulan inilah badan ku lemah dan terdedah, hingga kerap kali sakit dan tersadai di kamar. Andai demam, maka demam adalah luar biasa, andai batuk, maka batuknya hingga kering tekak, perit terasa.

Lemah diri ini untuk pujuk diri untuk tetap gagah meniti hari hari kerana tidak mungkin bulan ini kurang harinya, tetap jua ia berkitar tidak mungkin masa dapat diundur. Masa juga tidak mungkin kaku terpahat melekat beku di situ dan bagaikan bulan-bulan yang berlalu, bulan ini juga pasti akan habis kitarannya. Terpahatnya waktu hanya jika terpahatnya jasad kaku dingin beku, maka tatkala itu tiada lagi guna esok mahupun lusa kerana dunia telah habis saatnya untuk bersama. Namun hari-hari terasa lamanya dalam bulan ini, seakan akan masa berehat dari lariannya yang biasa.

Letih diri ini kerana terpaksa berperang jiwa. Ya, inilah dia bulan perpisahan. Inilah dia bulan dimana sesalan demi sesalan bertandang di lubuk minda mahupun di lubuk hati mahupun dimana saja ruang dan liang dan rongga di dalam diri ini. Bertandang mereka dan bertenggek mereka mengelilingi mereka akan diri ini dengan mata-mata tanpa keperikemanusiaan. Berkumpul mereka menyanyikan lagu-lagu rindu kecewa amarah murka sengsara sehingga perit amat telinga ini merasa. Ingin sekali aku meraung berteriak bertempek merayu agar aku bebas dari sengsara jiwa dan minda yang bersarang. Sungguh aku rasa mahu gila. Luar ku tampak biasa. Bedah isi dalam ku pasti tercurah air-air duka yang mengalir tiada hentinya. Tidak ku tunding jari pada sesiapa. Tiada orang yang wajar ku lontar tomahan serta sumpah seranah hingga tujuh keturunan. Andai itu mahu ku, akan ku lakukan dengan depan ku menghadap cermin. Kerana akulah selayaknya. Mereka-mereka ini, yang bersatu berlagu pilu, hadir kini di dalam ruang diri ku, adalah kerana aku. Aku yang rupakan pintu itu, dan aku yang buka. Mereka hanya masuk, walau tanpa dijemput.

Longlai diri, andai ini adalah hukuman minda yang bakal ku tanggung sepanjang hidup ku. Barangkali ini adalah ganjaran akan salah silap ku dahulu.

Cuma ku harap, andai reput sekalipun dalam ku ini, luar ku tetap bagai besi yang utuh.

Ku harap.










p.s: Ya Allah, jadikan rindu ku padaMu melebihi segala rindu yang ku ada pada dunia dan isinya. Jadikan lah sayang ku pada insan-insan yang ku sayang ini mengukuh sayang ku padaMu, dan bukan pendinding diri ku pada Mu. Ampun ya Allah, andai tatkala duka ini lupa ku akan hadirnya kasihMu.