Monday, May 14, 2012

Warkah: Muka 74

Bermusim?


Assalamualaikum,

Sekadar lontaran pemikiran, sebelum jasad diberi peluang dan ruang untuk berehat.

Alhamdulillah, hari ini (erm, semalam) pelajari lagi benda baru. Memang, kalam ayah itu banyak hikmahnya. Dengan bersusah dalam melakukan sesuatu, dapat kita pelajari sesuatu. Sesuatu yang baru itu, sudah semestinya sukar dan asing bagi kita. Permulaan dalam perlaksanaan sangat berat dan payah. Alasan menolak itu amat mudah diluahkan.

Tapi manisnya, bila sesuatu yang payah dan asing itu dilakukan, cukup mengasyikkan.

Hari ini tidak belajar banyak, sekadar melakukan penulisan.

Penulisan atas sesuatu yang jarang dituliskan.

Penulisan ke arah kebaikan. Berbentuk ilmiah, berbentuk pengajaran. Tidaklah begitu rumit, kerana hanya sekadar mengumpul fakta dan meringkaskan serta merumuskan.

Dalam melaksanakan tugasan ini, dan tatkala usai jari jemari menekan barisan huruf-huruf yang tersusun di komputer, ada beberapa kesimpulan, dan kerisauan, yang bertandang di jiwa. Andai dikupas dan diuraikan, maka mereka adalah ini:

Kesimpulan pertama adalah kepada pertanyaan pada diri akan mengapa kurangnya hasil kerja sebegini sebelum ini. Selama ini, penulisan adalah lebih terarah kepada lontaran jiwa, tanpa perlu bicara yang bijaksana, mahupun fakta yang jelas dan bernas. Jawapannya adalah mudah, kerana kurangnya pembacaan. Bagaimana hendak berkarya, andai perincian karya itu tidak dikuasai, atau paling tidak, diketahui?

Mustahil bukan?

Maka diri ini lebih banyak bacaannya pada pemerhatiannya dengan suasana masyarakat. Telinganya lebih lazim mendengar cerita-cerita rapuh mahupun lagu-lagu peluruh jiwa. Maka hasil karyanya, nyata adalah hasil daripada apa yang diperoleh dari mata dan telinga. Maka solusinya mudah, diri perlu lebih banyak membaca.

Kesimpulan kedua pula adalah kepada pertanyaan yang sama; Mengapa kurang berkarya, akan perkara yang diri suka meletakkan nama sebagai "Perkara-perkara baik". Maka Alhamdulillah dengan sihat dan ligat akal ini, jawapannya mudah diperoleh. Atau barangkali jawapannya sudah lama tersedia, cuma gusar di terima. Jawapan, ada berkaitan dengan peribahasa ini;

"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan"

Pertama adalah apabila penulis berkarya, karyanya mestilah dekat padanya. Mestilah mewakili dirinya. Maka untuk penulisan yang "Perkara-perkara baik" ini, penulisnya mestilah orang-orang yang senantiasa melakukan "perkara-perkara baik" ini.

Persoalan: Diri ini, adakah refleksi kepada apa yang ditulis?

Kedua adalah lanjuran kepada yang pertama, sudah lakukan, lakukan lah lagi. Berterusan. Istiqamah. Jangan hanya hangat-hangat tahi ayam, mahupun tahi kucing atau tahi anjing sekalipun, panas hanya seketika, hangat  hanya sementara.

Andai sudah mahu ceburi dalam bidang ini, maka diri harus amalkan apa yang dikatakan, dan ianya harus berterusan.

Atau...diri mahu di gelar Munafik? Kata tapi tiada amal, janji tapi penuh dusta?

Gusar...kesimpulan-kesimpulan ini, telah menyebabkan hadirnya satu kerisauan. Sudah nyata diri sudahpun menceburi dalam bidang ini, malah lebih lama sebelum tertulisnya tugasan malam tadi.

Cuma...

Bila banding kata dengan amal...

Diri ini tampak bermusim. Sudah menyeluk pekasam, tapi tidak pula ke pangkal lengan. Hanya sekerat jalan.

Risau...adakah semangat berkobar menyampaikan risalah kebaikan ini, akan terhenti di pertengahan jalan.

Dengan hanya beberapa pujian, ucapan tahniah mahupun tepukan dan sorakan, diri sudah merasa cukup.

Usai sudah tugas ku, sudah mampu aku berundur ke tabiat silam ku...

Adakah itu mahu ku, sekadar bermula garang, kemudian semakin suram dan diam?

Jalan kebaikan itu, amat berliku.

Harap diri ini terus maju.

Ya Allah, elakkan diri ku ini bermusim dalam amalan ku.

Andai hari ini baranya panas, biarkan ia tetap panas, jangan diri dibiar padam dan layu.

Tetapkan aku menjadi hamba yang mengejar RedhaMu! Sentiasa!









p.s: Jangan fikir untuk berpatah balik. Jangan.