Friday, November 23, 2012

Warkah: Muka 78

 Berat.
...
"Kalau di beri kepercayaan untuk menyandang sesuatu tugasan, jangan berat hati dan menolak, kerana ini mungkin kurniaan/pemberian daripada Allah"
...
Assalamualaikum,

Pernah atau tidak kalian hadapi, dalam kala kalian merasakan tindakan kalian adalah tepat, tiba-tiba dijadikan situasi, yang mana seolah-olah menasihati, bahawa mungkin jalan yang dipilih kurang tepat?

Diri pernah berada di dalam posisi mengarah. Memantau. Memulas dan memerah akal fikiran, demi sebuah keputusan. Nyata tugas itu bukan mudah. Nyata tugas itu bukan mainan. Bukan boleh dibuat sambilan, walau sekecil mana pun gerak kerja yang di lakukan.

Mengah dan lelah, diri ambik keputusan untuk menolak segala cabaran yang akan datang. Alasan yang dicanang, adalah kerana sudah tahu akan payahnya tugasan yang bakal digandang kelak.

Maka harapan seorang teman kelmarin terpaksa di punahkan.

Ku sangka ku menang, ku sangka ku tepat dan benar.

Semalam, seolah-olah Sang Pencipta berbicara pada ku.

Memberi teguran pada ku.

Sungguh tak disangka, tatkala duduk di majlis yang santai, terhibur dengan panelis dan moderator yang bijak dan manis berbicara, terdengar kalam ini berbicara:
"Kalau di beri kepercayaan untuk menyandang sesuatu tugasan, jangan berat hati dan menolak, kerana ini mungkin kurniaan/pemberian daripada Allah"
Hah.
Kalian juga pasti akan merasa seperti apa yang ku rasa bukan?
Baru kelmarin ku rasa ku menang, semalam ku rasa diri diberi teguran.
Ya Allah, jalan apakah yang ingin Engkau tunjukan?
 
 
 
 
 
p.s: bukankah semua yang beriman itu diuji dahulu?



Thursday, November 22, 2012

Warkah: Muka 77


أريد أن يتزوج الماليزية
 

Assalamualaikum,

Dua tahun kat sini, rasanya agak kerap dengar orang Arab menyatakan perkara itu.

"(Sahabat) Orang Malaysia ada yang kahwin dengan orang Mesir tak?"

"Saya nak kahwin dengan orang Malaysia boleh ke?"

Tiap kali dengar luahan mereka mereka ini, selalunya akan timbul dua perasaan.

Pertama, adalah bangga. Apabila yang bertanyakan soalan ini adalah orang Arab yang baik-baik, dan bila ditanya mereka menjawab, "Kerana mereka (wanita Malaysia) adalah baik", jadi timbul rasa bangga. Mereka mengagumi akhlak dan budi pekerti pelajar di sini. Di bumi para Nabi, mereka berjaya menjadi contoh tauladan. Sopan santun, lemah lembut masyarakat Asia Tenggara menjadi bahan pujian mereka di Timur Tengah, dan mungkin juga contoh dan ikutan. Timbul rasa aman. Timbul rasa tenteram.

Kedua, adalah risau. Apabila yang bertanya itu lain lirikkan matanya, lain siulan suaranya. "Kerana Malaysia wanita cantik", jawapan yang ringkas sekali dengan pandangan liar kepada yang bertutup tetapi ketat, yang bersanggul tetapi seperti unta itu membuatkan hati tidak senang. Di mana saja, pasti ada manusia jahat seperti ini, tetapi di sini lebih terasa gerunnya, kerana di sini yang lahirnya Nabi juga terlahirnya Firaun. Gusar itu bertambah, apabila dilihat pada sahabat handai yang kurang khemah dalam membawa diri. Sungguh, rimau di Malaysia lebih suka bersembunyi dan menyerang dalam senyap, menerkam dalam sepi. Tetapi di sini, raksasa gurun ini andai diberi peluang pasti akan datang menerkam. Jangan, mohon jangan jadikan diri santapan percuma. Tengok sahaja realiti, yang mudah itu pasti orang sergah tanpa banyak kalam.

Barangkali, andai pulang ke tanah air kelak, akan ku nasihatkan adik ku serikandi, bahawa sentiasa berwaspada apabila dihampiri.

Andai kerana baikmu, maka bersyukurlah pada Allah dan jangan pula terleka dengan pujian.

Andai kerana kurangmu, maka janganlah terlena lagi dan segeralah berubah sebelum terlambat.

Atau mudah ku tulis sahaja di sini. Seperti ini.

Moga maksud tercapai.
...

تريد الزواج الماليزية؟
 
Atas sebab yang baik...atau yang buruk?










p.s: Teringat dulu dekat Malaysia, media hebahkan tentang lelaki Malaysia lebih suka kahwin dengan wanita luar negara kerana akhlak dan budi pekerti. Barangkali benar kata orang, tempat/lokasi untuk mencari itu main peranan. Mungkin.

p.s.s: Arab Google Translate, maaf kalau salah tafsir. Diri sendiri masih melatih bahasa arab diri, huhuhu, (-_-)

Wednesday, November 14, 2012

Warkah: Muka 76

Hari ini.



Assalamualaikum,

Apakah hari ini hari penuh dengan pengajaran?

...

Entah.

Apa yang pasti, hari ini bermula seperti kebiasaan. Bangun pagi, gosok gigi, cuci muka, mandi pagi. Air cukup, elektrik cukup, rumah besar dan selesa, meskipun dingin musim sejuk sedikit sebanyak menggigit kulit. Sejuk.

Tapi masih selesa. Bernafas tanpa ragu.

Ada nikmat untuk punya pendidikan. Namun ada rasa berat untuk mengarah tubuh ke kelas. Sesi makmal dua jam sudah terasa cukup perit. Apatah lagi di pagi yang dingin ini.

Tilam memanggil. Saratoga menggoda.

Paksa rela jua diri untuk melupakan itu semua.

Tiba di makmal, kelas bermula. Rata-rata semua berkelip-kelip mata. Beratkah pelajaran hari ini? Barangkali. Bunyi kasar geseran mata bola pen keatas permukaan kertas menjadi lagu alunan di telinga untuk terus berjaga, kerana sungguh tatkala itu gemaan suara Doktor yang mengajar entah terlalu asyik dan merdu pula, sehingga rasa mengantuk itu menjadi-jadi.

Usai satu sesi, bersambung pula dengan sesi kuliah. Sejam. Satu jam, enam puluh minit. Aduhai, kalau dahulu ada kelas untuk sejam pasti diri meloncat kegirangan. Dulu, sewaktu di tempat sendiri. Kini, kiraan masa itu kalau boleh dalam saat. 360 saat. Begitu besar angka itu, masa kelihatan begitu lambat putarannya. Ditambah dengan rasa geram tatkala lontaran suara untuk menjawab pertanyaan demi pertanyaan tidak dilayan. Ingin saja disumpah seranah pada yang mengajar. Rasa seperti dipulau dan diasing pula.
Warga asing yang terasing dan diasing.

Lupa.

Nikmat belajar itu masih ada.

Merdeka untuk memilih ilmu itu masih terasa.

Lupa.

Kelas tamat. Girang gembira, teringat panggilan tilam pagi tadi. Rasa macam perlu di "qada" kan tidur tadi.

Geram di kuliah juga masih terbaki. Bagai bara api, gigih usaha untuk terus menyala dan membakar diri.

Ada panggilan dari pelajar tempatan. Laung-laung berulang kali, sungguh mahu diri bersama mereka walau sebentar.

Ah, apalagi mereka-mereka ini?

Ada suara menghasut. Kasar dan sinis pandangan terhadap mereka ini, apatah lagi sejak kebelakangan ini, terlalu banyak kisah ketidakadilan kepada pelajar kami.

Yang asing di bumi yang asing ini.

Peduli atau tak peduli?

Ada cebis putih dalam diri, pujuk diri agar jangan sombong. Orang memanggil, kita terima. Orang berbudi, kita berbahasa.

Apa kalau diberi racun, kita balas dengan yang sama?

Senyum, paling, sambut.

Dari saat ke minit. Rupanya mereka bukan yang "sama". Mereka ramah, meski bahasa tuturan bukan sama. Dari perbualan, muncul pula gelak ketawa. Suasana dingin tadi, bertukar menjadi hangat dan selesa.

"You're funny, and a very nice guy"

Huh?

"You're funny, and a very nice guy"

Terpukul sebentar.

Baru tadi aku begitu berburuk sangka kepada mereka. Baru tadi aku rasa sombong dan benci.

Mereka pula memuji aku dengan sebaliknya.

Wajarkah? Layakkah?

...

Malam tiba. Di tempat yang hangat dan selesa, ku terima khabar yang kurang gembira. Tentang saudara-saudara di Gaza, sungguh tidak jauh dari sini andai ingin dibanding dengan jarak antara Palestin dengan Mesir dan antara Palestin dengan Malaysia.

Mereka menyambut sambutan tahun baru dengan cabaran yang begitu besar. Si Jahanam melontarkan butir-butir durjana terhadap mereka di hari yang mulia. Operasi ketenteraan, yang diharap mampu memusnahkan pejuang-pejuang Islam.

...

Muhasabah semula. Hari ini, aku pada usia ini dapat mandi, makan, tidur dengan selesa. Saudara seusia ku di sana, mahupun di mana sahaja, mampukah mereka?

Muhasabah semula. Hari ini, aku pada usia ini mampu belajar, malah mampu memilih apa yang ingin ku pelajari. Saudara-saudara ku di sana, mana ruang dan peluang mereka?

Muhasabah semula. Hari ini, aku pada usia aku ini, masih punya rasa benci, dendam, sombong, takbur dan segala macam keji dalam diri. Masih punya comot-comot hitam pada diri. Saudara-saudara ku di sana, barangkali dalam hidup sudah mantap akhlak dan budi pekerti, malah mati dalam keadaan putih bersiri.

Kurang mereka, semakin dihargai.

Lebih aku, semakin melarat dan menjadi.

Apa aku ini, masih tidak mengerti?

Hari ini, hari yang pernuh erti.

Selamat Tahun Baru.

Semoga yang bertukar bukan sahaja tarikh dan tahun.







p.s: Aku lupa, manusia semua sama. Aku juga lupa, nikmat juga satu ujian.

Saturday, November 10, 2012

Warkah: Muka 75

Sedar atau Tidak?

Pengorbanan. Apa ertinya pada diri?

Wahai diri,

Apalagi kamu buat tatkala ini,
Bersenang lenang dengan wang yang di beri,
Berlagak jutawan tapi bukan dermawan,
Bersuka sakan tak hirau teguran.

Wahai diri,

Kemana arah tuju kamu ini,
Pelajaran dianggap satu bebanan,
Hiburan lebih ilmuan jangan,
Usaha gigih sekadar gurauan.

Wahai diri,

Tidakkah engkau sedari,
Ayahmu jauh di sebuah perantauan,
Gigih tekun dengan tugasan,
Walau usia kian lanjutan.

Wahai diri,

Lihatlah susuk tubuh itu,
Kerap kali basah berpeluhan,
Pulang senja pasti kepenatan,
Semata anaknya dapat kenikmatan.

Wahai diri,

Ingatkah engkau ibumu kini,
Yang lupamu tidak walau berjauhan,
Doa, dan nasihat pasti kedengaran,
Walau mukamu sering kau alihkan.

Wahai diri,

Tidakkah kamu rasa terkilan,
Di lanjut usia mereka teruskan,
Dikerah tulang habis-habisan,
Supaya kamu punya masa hadapan.

Wahai diri,

Sudah sudah dengan permainan,
Bangun dan bangkit dari lamunan,
Ingat kamu adalah harapan,
Bukan Tanggang jadi sumpahan!

-nomadmelayu-
Bait No. 48
Syariq Siddiq
Mansoura


p.s: Tulis bukan kerana puitis. Tetapi untuk teguran, dan juga kerana kerinduan.