Friday, June 24, 2011

Rahsia Khusyuk - Adab Adab Membaca Al-Fatihah

Artikel di bawah berasal dari sini. Disebabkan rasa ada baiknya artikel ini disebarkan, maka saya letak pada blog ini. Mohon dibaca dan dimanfaatkan.


Rahsia Khusyuk - Adab Adab Membaca Al-Fatihah



Al Fatihah ialah kata-kata Munajat . Dengan ayat Al Fatihah kita berkata-kata secara langsung dengan Allah s.w.t. Maka sebelum itu kita perlu membaca kalimah ‘Ta’awwuz’ dengan tujuan memohon perlindungan diri dengan Allah SWT dari segala gangguan dan bencana yang datang dari Iblis dan syaitan yang terkutuk, kerana dialah yang sentiasa berusaha untuk memalingkan hati kita dari menghadapi Allah.

Kemudian kita diperlukan pula membaca “Bismillah” untuk mendapatkan berkat dengan nama Allah sebelum melaksanakan sesuatu pekerjaan, sambil mengingat bahawa Allah sahajalah yang menguasai segala-segalanya dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh kerana Al Fatihah adalah Ibu Segala Ayat di dalam Quran, hati dan jiwa kita hendaklah dipusatkan kepadanya ketika lidah kita membacanya. Ketika membaca Al Fatihah, sebaik-sebaiknya hati hendaklah mendahului lidah, atau sekurang-kurangnya hendaklah lidah menjadi guru bagi hati, iaitu hati hendaklah mengingat makna sesudah lidah membacanya.

1. Ketika kita membaca "Alhamdulillahi Rabbil Alamin" kita ingat di dalam hati bahawa segala kepujian adalah hak-kepunyaan Allah kerana Allah menjadikan seluruh alam dan mengatur serta menguasainya. Maka tidaklah ada sesiapa selain dari Allah yang berhak menerima kepujian itu. Kemudian kita berhenti sejenak untuk menanti reaksi kepada pujian kita itu, seolah-olah kita dengar Allah menjawab: “ Aku telah disanjung oleh hambaKu.”

2. Bila kita membaca "Ar Rahmanir Rahim" kita tekankan dalam hati bahawa fungsi Allah sebagai Penguasa dan Pengatur alam berlaku kerana sifat Pengasih dan PenyayangNya. Maka segala yang kita terima dari kurniaanNya adalah dengan RahmatNya semata-mata. Jika tidak kerana Rahmat-Nya, alam ini tidak mungkin terjadi dan tidak pula tersusun seperti yang kita lihat.

3. Ketika kita membaca "Maliki Yaumid-Din" hendaklah kita ingat bahawa Allah s.w.t adalah Penguasa dan Hakim yang Maha Agung di Akhirat. Hanya Dia yang membuat perhitungan dan memberi ganjaran kepada segala amalan kita di dunia. Maka tidaklah ada kuasa lain yang boleh diharap-harapkan selain dari Allah.

4. Apabila kita mebaca “Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in” ingatan kita tertumpu kepada Allah yang Maha Agung dengan ikrar bahawa tidak ada sesuatu pun yang disembah melainkan ‘Engkau’. Maka secara langsung kita berikrar: KepadaMu aku beribadat dan kepadaMu jua aku memohon pertolongan! Dengan ikrar ini juga kita harap akan diperteguh i’tiqad di dada kita bahawa walaupun bantuan dari makhluk diperlukan juga dalam kehidupan kita sehari-hari, tetapi Allah adalah Penggerak dan Penolong Yang Sebenar di sebalik usaha dan ikhtiar makhlukNya.

5. Ketika kita membaca “Ihdinas-Siratal-Mustaqim” ucapan ini adalah doa dan permintaan kita supaya Allah memberi petunjuk kepada kita ke jalan yang benar dalam segala hal, baik yang mengenai amalan atau ilmu yang kita perlukan sebagai hambaNya yang taat. Doa ini penting kerana kita tidak mungkin menemui jalan yang lurus dan benar itu jika Allah tidak memberi petunjukNya kepada kita.

6. Ketika kita membaca “Shiratal-lazina An’amta Alaihim” kita harus sematkan dalam ingatan bahawa ‘ Jalan Lurus’ yang kita pohonkan dari Allah sebenarnya adalah jalan yang pernah dinikmati oleh hamba-hamba Allah yang lain oleh pemberianNya jua. Dengan kesedaran ini semoga kita mencontohi amalan orang-ornag yang telah diberi nikmat oleh Allah di dunia ini, semoga kita akan menyertai mereka di akhirat nanti.

7. Ketika kita membaca “Ghairil Maghdubi Alaihim Waladh-Dhaal-Liiin” kita memohon pada Allah supaya dijauhkan kita dari jalan, perbuatan dan sifat manusia yang dibenci dan dimurkai oleh Allah kerana kecenderungan mereka melakukan kebatilan dan kemungkaran, sedangkan kebatilan membawa kepada kesesatan. Pada akhir ayat ini kita berhenti sejenak untuk menanti jawapan dari Allah, yang kita harap-harapkan akan berkata: “Aku beri kepada hambaKu, dan bagi hambaKu ini apa yang ia minta”.

Monday, June 20, 2011

Warkah: Muka 35


The beauty of taking trouble...

"musibah adalah sebagai tiket untuk mendekati Allah SWT dan sebagai jalan menuju bahagia"


Itu adalah status daripada seorang kawan dalam facebook yang dibaca tatkala asyik melayari internet.

Assalamualaikum.

Lama rasanya diri ini tidak duduk dan berfikir. Untuk menyepi sementara, membenarkan diri untuk bermuhasabah. Mengimbau kembali masa silam, bukan untuk berangan, tetapi untuk menyelami kembali diri sendiri. Lihat dengan mata hati, mana kuat, mana lemah. Kaji, mana betul dan mana silap.

Kebelakangan ini diri ada menerima kesusahan. Diri mengerti apa itu susah.

Tapi, diri ini lupa untuk belajar daripada kesusahan.

Lebih mudah dan senang, untuk diri menyalahkan orang atau benda lain atas musibah diri. Sedar atau tanpa sedar, semua tomahan-tomahan itu sebenarnya seperti mencela Pencipta sendiri. Sedar atau tanpa sedar, aib orang atau ralat benda yang ingin dibesar-besarkan itu adalah bukti cara diri mengelak cela sendiri daripada diketahui.

Maka, diri ini sedar lemah. Tapi bodoh dan sombong untuk mengakui.

Alahai, andai sahaja segala kesusahan itu tidak diterima dengan keluh dan kesah.

Alahai, andai sahaja segala dugaan itu tidak diterima dengan akal yang pendek.

Cuba sahaja diri ini bawa bertenang, dan bukannya diajak kaki bawa bertendang, dalam kemarahan.

Ambik masa untuk senyum dan bersyukur. Untuk redha dan terima.

Ambik masa untuk fikir dan zikir. Cari rasionaliti, cari motivasi.

Dengan dugaan, maka diri ini lebih dekat pada Ilahi. Tidak sedarkah akan diri ini?

Ibu, atas sayang akan anaknya maka akan dimarahi anaknya jika dia bersalah.

Ayah, atas sayang akan anaknya maka dibiar anaknya susah belajar berjalan, agar kuat kakinya kelak.

Tuhan, lebih sayang akanNya hambaNya, lebih banyak dugaan yang diberikan.

Sedangkan sejarah membuktikan, bagaimana kekasih-kekasih Allah sebelum ini, diberi ujian sebegitu besar dan berat, sebagai bukti cintaNya pada hambanya.

Barangkali diri terlalu lena dengan kesenangan, hinggakan begitu cepat merungut dan mengalah apabila diberi ujian yang begitu kecil.

Ingat kembali, wahai diri.

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan"

Jangan terlalu berharap kesenangan, kerana barangkali kesenangan itu menjadi jalan kepada kecelakaan di akhirat kelak.

"The beauty of taking trouble is to gain one's knowledge"

Dengan kesusahan, baru seorang itu belajar.


Bila susah, baru kita lebih ingat.

Bila kenal erti musibah, lebih bermakna syukur kita. Lebih dihargai nikmat yang diberi.

Maka jangan dan hentikan gusar diri tatkala dalam kesusahan.

Terima ketentuan tuhan, hadapi cabaran yang diberi, dan sabar dalam menempuhnya.

Selepas hujan yang lebat, pasti muncul pelangi yang indah.

Selepas malam yang suram, pasti tiba pagi yang riang.

Sabar sahaja.

Monday, May 16, 2011

Warkah: Muka 34

Diam itu lebih baik...

Daripada berkata dusta. Atau, diam itu lebih baik daripada berkata sesuatu dengan akal singkat. Atau, diam itu lebih baik jika ianya mendatangkan kebaikan, dan memelihara diri.

Maka, diam.

Itu telah diri ini lakukan. Sedang diri ini lakukan. Diam sahaja.

Hasilnya, diri merasa kelainan. Perubahan sikap, perubahan pendapat, perubahan persepsi. Oleh diri dan kepada diri.

Dengan berdiam, baru diri ini lebih matang dalam menilai, dalam menerima, dalam menterjemahkan persekitaran.

Dengan menutup satu pancaindera, maka mata lebih tajam, telinga lebih peka.

Dan, dengan berdiam, maka orang juga lama kelamaan akan turut diam.

Tiada lagi cerita dusta. Oleh diri atau kepada diri.

Diam itu indah.

Diam itu perlu, bila ianya perlu.

Monday, April 18, 2011

Warkah: Muka 33

Sehari Sebelum

Selamat hari jadi buat diri. Seperti kebiasaan tahun-tahun lepas, bulan April merupakan bulan dimana kecintaan (affinity, bak kata mat saleh) penyakit kepada saya meningkat. Alhamdulillah, syukur kerana bulan ini saya tidak 'dicintai' demam dan selsema. Malangnya, saya 'dicintai' pula oleh sakit perut.

Sabar sahaja.

Maka elok juga saya ambik ini sebagai ikhtibar. Allah sayang saya. Tiap kali hari jadi menjelma, saya akan diberi peringatan. Teguran, dalam bentuk kiasan yang lebih berseni dan lebih indah daripada bahasa dan tindak tanduk manusia. Hebat.

Sakit ini sebagai pertanda. Nyata setahun berlalu dengan diri ini tidak lekang oleh dosa. Ingat. Allah masih beri peluang untuk kamu berubah.

Alhamdulillah, hadiah harijadi saya pada kiraan saya amat ringkas tapi bermakna. Sekadar kata-kata, melalui telefon. Nasihat dan doa bermakna daripada ibu. Mengah tatkala menaiki basikal petang tadi seolah-olah hilang tatkala kegembiraan datang selepas usai membuat panggilan.

Kalau ada orang perhati, mesti dia fikir lain.

Apa pun, diri masih seperti kebiasaan, lebih selesa menyambut hari jadi dengan bersendirian, atau dengan cara sendiri. Bukan bermakna cara tradisi seperti memotong kek dan membuat majlis makan itu tidak digemari. Cuma, rasanya dengan bersendiri, diri akan lebih mudah untuk bermunasabah. Setahun sudah berlalu, berapa lama lagi masa diberi untuk melakukan ibadah padaNya.

Maka, sehari sebelum.

Sehari sebelum hari ini iaitu 17 haribulan April yang jatuh pada hari Ahad merupakan hari yang cerah tanpa hujan. Diri yang bangun lebih awal pada hari itu teruja sebab ada dua aktiviti dalam perancangan. Pertama adalah untuk bermandi di Air terjun Chilling. Kedua adalah untuk melihat kelip-kelip bersama adik.

Sekitar pukul 8.30-9.00 pagi, saya dan 5 orang lagi (Najwa, En. Rusdi, Najmi, Kak Rai, Syuhada) bergerak daripada Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu. Alhamdulillah, walaupun ini adalah kali pertama kami ke sana, kami tidak punya masalah untuk sampai ke destinasi kami.


Air Terjun Chilling merupakan tempat yang menarik bagi penggemar hutan dan sungai kerana perjalanan ke sana memerlukan kita meredah sungai sebanyak 5 kali. Air terjun itu terdapat 3 terjunan, dan kebanyakkan orang akan bermandi dan berkelah di air terjun yang pertama. Air terjun kedua tidak boleh disinggah kerana kedudukan geografinya yang bahaya. Saya, Najmi dan Syu, setelah sampai ke Air Terjun pertama, terus meneruskan pendakian ke Air Terjun ketiga. Di sini, air terjunya lebih deras dan kawasannya lebih aman dan sunyi. Kawasan untuk berkelah juga sangat terhad, dan atas sebab-sebab itu, mungkin ramai tidak memilih untuk naik ke sini.





Setelah puas bermandi manda di Air Terjun 1 dan 3 serta menjamu selera, kami pulang dan tiba di Shah Alam sekitar pukul 6.30 petang. Saya langsung dengan aktiviti saya yang kedua. Malangnya, adik tidak dapat turut serta dan kawan yang diajak juga tidak berkelapangan. Perjalanan yang bermula sekitar 7.45 malam ke Kg. Kuantan di Kuala Selangor mengambil masa yang agak lama. Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin untuk meneruskan pencarian Kg. Kuantan, setelah beberapa kali tersesat. Tapi akhirnya, sekitar 9 malam, saya tiba. Lima belas minit kemudian, saya menaiki sebuah sampan bersama 3 orang remaja dan 2 orang kanak-kanak (tua sangat ke aku ni? haha) dan kami dibawa ke habitat kelip-kelip. Pemandangan disitu nyata berbaloi dengan bayaran rm10 seorang untuk menaiki sampan itu. Cahaya berkelip-kelip di hampir setiap sudut pokok-pokok pelembang yang tumbuh meliar di Sungai Selangor (menurut juru pandu sampan).

Lawatan kami selama 20-30 minit itu nyata menyeronokkan. Sesekali sekecil yang mengikut kami berjenaka. Ragam mereka yang bersama saya pada malam itu juga sangat melucukan.

Insyallah, lain kali saya akan melawat semula ke dua tempat ini, tetapi bersama kawan-kawan dan ahli keluarga.

Semoga.


p.s: gambar oleh En. Rusdi.

Friday, April 1, 2011

Warkah: Muka 32

Koleksi Gambar Expedisi ke Gunung Tok Wan


Santapan pagi: MESTI!


3km pertama (^.^)

2.5km... (==)"

100m terakhir dan akhirnya! Puncak! (^.^)v

Kembali ke Broga, dengan muka lebam-lebam (-__-)"

Saturday, March 19, 2011

Warkah: Muka 31

Rindu Sarawak Bakal Terubat.

Assalamualaikum.

Ahh...harus diri ini terlebih dahulu memohon maaf kepada tubuh. Ya, ampun dan maaf kepada tubuh sendiri, kerana kebalakangan ini tidak begitu menjaga ia dengan baik. Malah, malam ini tubuh wajar mendapat rehat yang cukup, tapi diri memaksa untuk mengerah saki baki tenaganya.

Teruja yang teramat sebenarnya, hati ini, untuk hari mendatang.

Hari ini, saya bersama beberapa orang kawan-kawan akan melawat Sarawak.

Malas rasa diri untuk menulis aktiviti yang akan datang itu. Kelak mungkin akan ada penulisan tentang program kami, andai bukan di blog ini, maka ianya akan ada di blog utama saya.

Harap dinantikan.

Saya pada malam ini, terasa gembira, teruja, dan takut. Hati ini berdebar-debar untuk menjejak kaki ke Sarawak.

Sarawak, selepas Perak, merupakan negeri yang paling lama saya duduki. Mulanya saya di kepulauan Borneo, pada darjah dua, di Mukah yang pantainya cukup indah, sehingga ke tingkatan dua, di Simunjan, yang pada kiraan saya cukup aman dan permai.

Hampir enam tahun rasanya, saya tidak menjejak kaki di Sarawak.

Namun, negeri itu begitu dekat di hati.

Hari ini, rindu di hati ini akan terubat.

Sarawak. Moga ketemu.

Saturday, March 12, 2011

Warkah: Muka 30

Bertahan

Tiba lagi aku kepada situasi ini. Di sebuah persimpangan, dimana pilihan harus dibuat. Nyata pilihan yang diberi jelas. Cuma kehendak hati sahaja, yang kabur. Samar-samar. Begitu kuat kekeliruan hati, seolah-olah hati ini mengeluarkan kabus, dan kabus-kabus itulah yang keluar dan menyelimuti jalan yang dilalui. Sehinggakan di persimpangan itu, penuh kabus. Pilihan-pilihan yang jelas tadi sudah tidak kelihatan lagi.

Maka diri menjadi buntu.

Ikut hati binasa. Itu kata orang.

Tapi akal terlalu pendek kadangkala. Tidak mampu memberi panduan. Akal hanya dengan malasnya berkata, "Ikut saja kata hati". Sedang hati pula tidak mampu menentu, sekadar mendendangkan jiwa dengan lagu-lagu yang damai, tapi hakikatnya runsing.

Situasi makin runcing.

Seperti biasa, pilihan akhir adalah dengan berundur. Lari dari kekalutan sebentar. Duduk dan fikir. Berdiri, berjalan dan berfikir. Apa saja. Asalkan berfikir. Kerana akal itu penting, dan akal perlu dilatih untuk jadi penting.

Namun, bukan semua situasi membenarkan itu. Adakalanya, pilihan yang diberi harus ditentukan segera. Ya atau tidak sahaja jawapannya.

Sekali lagi, hidup bertemu persimpangan. Persimpangan, yang cabangnya cukup banyak. Cukup mengelirukan.

Kali ini, keputusan harus segera.

Jendela dihati perlu ditutup. Jangan dilihat hati lama-lama, takut kabus didalam keluar semula. Biarlah, hati dikata dingin sekalipun. Janji akal ku hangat.

Kelakar. Tatkala pilihan dipilih, ada suara yang membantah. Ada bisikan menggoda.

"Nilai semula pilihanmu"

"Pilihan ini lebih mudah"

"Jalan itu jalan yang malap, tidak meriah"

"Nilai semula, pilihlah aku"

Enaknya bisikan itu, dinginnya suara-suara itu. Teringin aku pergi mengikutnya.

Tapi aku enggan. Dan kini suara itu bertukar. Dari halus menjadi kasar. Dari menggoda menjadi menggentar.

Sakit hati. Tapi ku cuba bertahan.

Senyum. Terus berjalan.

Terus bertahan.




p.s: maaf, merepek.