Thursday, January 5, 2012

Warkah: Muka 59

Makanan Di Mesir#1

Assalamualaikum.

Kushairi

Selamat Pagi semua. Saja nak kongsi, tentang makanan yang ada di Mesir. Makanan di Mesir memang banyak bezanya kalau nak dibanding dengan makanan di Malaysia. Sini, tampak ruji harian adalah roti. Mereka juga nampak lebih banyak makan sayur, sama ada yang segar mahupun dijeruk, tapi kalau nak cari sawi ke, paku pakis ke, memang agak mustahil (sawi mungkin boleh).

Ini salah satu makanan mereka; Kushairi.

Gambar ni adalah Kushairi yang saya beli, harga 5 LE, ia adalah saiz terbesar untuk Kushairi (harga menentukan kuantiti) di kedai itu. Dalam menu ditulis sebagai Kushairi Super ____ (ada sambungan di belakang, tapi dah lupa).

Dalam pek kedap haba

 

Pertama kali saya makan, saya ingatkan ada daging didalam. Tapi tiada. Sebaliknya, "lauk" didalamnya terdiri daripada kekacang, tomato yang dikisar dan bawang goreng, siap dihidang bersama campuran spaghetti, pasta, dan sedikit bihun dan nasi (ye, bihun dan nasi)

Padat~

Rasanya sedap, lebih-lebih lagi kalau dimakan ketika panas. Bawang gorengnya tidaklah serangup bawang goreng di Malaysia, dan dipotong besar. Walaupun tiada lauk seperti daging mahupun ikan, kekacang yang dimasukkan rasanya cukup untuk menggantikan kandungan protein daripada daging dan ikan, dan ia sedikit sebanyak menambah rasa dalam masakan.

Digaul bersama kuah tambahan (disediakan)

Makanan ini dihidangkan bersama 3 kuah yang berbeza. Salah satunya adalah kuah tomato yang dikisar. Malangnya saya tidak dapat mengetahui kandungan dua kuah lagi (tapi jangan risau, InsyaAllah halal). Mungkin masa akan datang saya dapat korek resepi daripada orang-orang di sini? Hehe~

Siap untuk dimakan :)

Wednesday, January 4, 2012

Warkah: Muka 58

Cermin diri.


Rasa kena beli cermin besar kat rumah.

Kena cermin diri sendiri banyak-banyak.

Niat kena perbetulkan, dengan kerap.

Sebab perasaan riak, takbur, bongkak itu senang sangat keluar kalau tak dijaga.

Kena muhasabah selalu.


...

Tuesday, January 3, 2012

Warkah: Muka 57

Teman

Assalamualaikum,

Sedih sebenarnya tengok isi kandungan blog ni. Dibanding dengan penulisan di blog satu lagi, rasanya teruk juga blog ni dianaktirikan. Mungkin sebab saya tak suka menulis dalam bahasa melayu.

Jadi, untuk kali ni, saya biarkan entri besar diselit dalam ni!

Yaah!!

...



Teruskan cerita.

Isnin lepas, usai sudah kuliah terakhir. Dengan ini, minggu ulangkaji bermula. Sebenarnya agak janggal dengan minggu sebegini, kebiasaannya di MSU dulu waktu ulangkaji bagi exam sangat sekejap. Tapi Alhamdulillah, tetap bersyukur dan gembira sakan dah ni sebab ada ruang untuk belajar. Lebih-lebih lagi kelas-kelas akhir sering tidak hadir dek demam dan kemalasan yang melanda.

Hujung-hujung semester ni, tetap rancak dengan program-program anjuran Persatuan PERUBATAN di sini. Diri pun banyak terlibat dalam aktiviti yang di jalankan. Sibuk jer budak ni. Penglibatan diri boleh melatih sebenarnya, diri untuk alam pekerjaan kelak. Lagipun suhu yang menurun dan semakin menurun di bumi Mansoura ni menyebabkan kebanyakkan pelajar ada 3 pilihan saja:

1. Hibernasi dalam selimut tebal dan bangun untuk keperluan asas seperti makan, solat dan pergi ke tandas.
2. Menghadap buku, sama ada yang dibuat daripada ribuan pokok dan dakwat ataupun yang Najwa Latif suka sangat nyanyi tu...kemudian bila dah tak tahan kembali ke pilihan pertama.
3. Cari aktiviti pemanas akal dan jasad. (Belajar juga termasuk dalam ni)

Jadi! Aktiviti pertama adalah Mesyuarat Tahunan Cawangan ke-5 (MTC ke-5) yang mana saya menyibukkan melibatkan diri sebagai Unit Promosi, pertama kali dalam sejarah saya barangkali. Kerja yang disangka mudah sebenarnya susah, dan saya dalam proses mempelajari selok belok unit promosi amatlah terhutang budi dengan banyak individu.
  
Gambar bersama tenaga penggerak

Aktiviti kedua selepas itu pula ironinya berlaku di dewan yang sama; Dewan Abou Nagar yang terletak di Fakulti Perubatan (atau Fakulti...er...saya tak pasti, masih kurang Arif, yang pasti dalam kampus!). Aktiviti ini diberi nama MESRA '11, dimana ianya merupakan aktiviti tahunan duta Malaysia di Mesir. Pada kali ini saya memegang Unit Pendaftaran, dan walaupun lebih senang daripada tugas sebelum ini, tapi tetap punya cabaran tersendiri. Seronok program ini adalah dapat berjumpa dengan Duta!

err...sunyi =-="



Aktiviti ketiga pula adalah LIFE siri ke-2 yang merupakan program khas buat pelajar tahun 1 (kenapa selalu rasa tua sangat untuk dipanggil pelajar tahun 1? sigh~). Pada mula sebagai peserta, saya akhirnya bertindak sebagai jurugambar. Syukur sebenarnya, sebab ambik gambar ni dah memang minat!

Aktiviti terakhir pula sehingga kini adalah Program Pencarian Bakat Nasyid. Di sini, saya bertindak sebagai jurugambar lagi sekali.

Rakaman Peserta

...

Sepanjang penglibatan terhadap aktiviti-aktiviti ini, pelbagai ragam manusia saya dapat kenal. Ramai kenalan baru. Ramai teman penghibur di bumi asing ini. Rakan memang nampak lebih kuat fungsinya di sini.

Dan teman-teman baru ini, sedikit sebanyak mengurangkan rindu saya pada keluarga dan rakan di Malaysia. Meski umur berganjak ke pertengahan 20-an, ini tidak bermakna seseorang itu semakin lali dengan perasaan rindu. Pasti ada, cebisan-cebisan memori lepas yang tak lekang mencubit hati ini. Pedih yang hadir dalam bentuk sedih dan pilu. Luar boleh sembunyi, tapi dalam hanya diri yang tahu.

Tapi saya kira ini latihan untuk menguatkan lagi diri. Dan kembali kelak, semoga menjadi manusia yang lebih matang.

Cuma, masa pertandingan nasyid, ada seorang menyanyikan lagu Sebiru Hati Ini dari Edcoustic. Lagu itu, bernada ceria namun punya maksud yang sedih, adalah berkisahkan lagu perpisahan diantara sahabat. Nasihat untuk tetap ceria seperti langit yang biru dan tetap berjuang meskipun terpisah.

Lagu itu, kerap saya nyanyikan dalam diam pada akhir pengajian saya di Shah Alam.

Lagu itu, andai mampu, ingin saya sampaikan kepada sahabat-sahabat di Malaysia.

Perpisahan itu menyedihkan, dan cabaran hidup itu memeritkan.

Tapi jangan gusar, teruskan semangat anda dan usaha anda!

Jangan kecewa, bukankah kita tetap punya Tuhan untuk mengadu?

Jangan menangis, kelak kita semua pasti kembali bertemu. :)



"jangan bersedih oh kawan ku, aku masih ada di sini"






p.s: Sibukkan diri dengan urusan dunia mungkin tidak mujarab; andai begitu, sibukkan diri mu dengan mengingat Tuhanmu...

Friday, December 23, 2011

Warkah: Muka 56

...

Di sini, pagi adalah sejuk dan malam adalah beku.

Tapi hidup tidak sentiasa begitu.

Hidup tidak selalu dingin kaku dan bisu.

Sejuk dalam hidup kadangkala nyaman, kadang kala sehingga sakit setiap sendi dan urat.

Panas dalam hidup kadangkala selesa, kadang kala sehingga perit dan pedih.

Takkan mungkin hidup dilalui hanya untuk bahagia.

Mesti, dan barangkali kerap sekali dugaan menduga.

Tak siapa suka akan sengsara.

Tapi... bukan dengan itu, baru manis itu punya rasa?

Sabar wahai diri.

Anda tidak maju kalau anda tidak diuji.

Terima apa yang mendatang.

Hadapi.

Dan langkah dengan berani.

Hadapi.

Dan bukti anda itu lelaki!

Sunday, December 4, 2011

Warkah: Muka 55

Sepi

"Hapus air mata mu dan jangan bersedih lagi"



...


Aku, punya harapan bahawa akan ada yang menyambung lagu di atas...

"Aku disini, menemani mu, melukis hari"

...

Saturday, December 3, 2011

Warkah: Muka 54

Kembali

Assalamualaikum,

Hari ini adalah hari Ahad, berbaki 8 minit sebelum jarum panjang menghala 12 dan jarum pendek turun ke 5. Pagi. Subuh memanggil. Ini adalah situasi sekarang di Mesir.

Agak lama, saya kira, untuk saya meninggalkan blog ini; penulisan lebih cenderung kepada blog utama saya.

Sedikit pengkabaran dari Mesir. Andai saya tidak silap menghitung, saya kira sudah 68 hari saya menjejak kaki ke Mesir. Lebih dua bulan. Namun makanan ruji tetap lah nasi, bukan roti. Lagu pilihan masih lagu-lagu yang dibawa daripada Malaysia, bukan lagu mendayu-dayu yang dinyanyikan oleh penyanyi dari Benua Afrika ini. 2 bulan berlalu itu hanya sekadar cuba menyesuaikan diri dengan sistem di sini. Atau barangkali itulah kehidupan pelajar perubatan, di mana jua mereka berada. Bangun pagi, kuliah, balik, makan, mengadap buku, dan tidur. Tiada lain. Jadual yang seolah-olah telah direncana terlebih dahulu kepada mereka-mereka yang bakal menyarungkan lab coat putih bersama stethoscope tersemat di atas bahu. Keluh pun tiada guna, ini adalah pilihan hidup. Ingin bersedih akan putaran hidup yang kini kembali kepada fasa pertama pelajar perubatan, kembali kepada tahun pertama, kembali kepada pengajian asasi, kembali kepada mengenali what is cell dan what is the medical terminology dan what is the overview of systems in the body dan sebagainya, adalah satu perbuatan yang sia-sia. Hanya satu pembaziran ATP, mahupun kerahan kerja lebih kepada darah-darah supaya bergerak lebih ke otak dan menghantar lebih banyak oksigen kepada sel di gray and white matter hanya semata-mata untuk mengeluh resah akan pilihan diri adalah sesuatu yang kurang Arif untuk dilaksanakan oleh diri yang nama sewajarnya mempamirkan kebijaksanaan.

Di sini, di bumi yang bertuah ini, adalah satu kerugian jika tidak dicapai segala ilmu yang melimpah ruah di sini. Dan malang sekali, diri memang masih tergolong dalam golongan kerugian. Masih ada anak-anak kecil dalam minda yang lebih gemar hiburan dan tidur berbanding keluar meredah udara sejuk di Mesir yang semakin menghampiri musim sejuk (barangkali sudah musim Sejuk, sekadar belum kemuncaknya) untuk duduk bersama menimba ilmu. Nukilan hari ini, adalah untuk peringatan pada diri agar kejar apa yang patut, dan bukan pada apa yang tidak.

Sedikit pendapat pada apa yang dipandang dan dilihat mahupun didengar. Tidak perlu lah kita tertumpu perhatian kita kepada penduduk-penduduk Mesir di sini kerana benar, mereka itu barannya lain, benar, kasar mereka itu lain, dan benar, adab mereka itu juga jauh berbeza jika di bandingkan dengan kita. Mereka  Mesir, kita Malaysia. Maka buat apa terlalu merungut pada sesuatu yang memang terlalu berbeza. It's like comparing between an apple and an orange. Madah sesorang kepada ku dahulu, tapi atas sesuatu situasi yang lain. Tapi harus ku akui, ini adalah sesuatu yang terlintas di kepala selepas puas merungut akan orang-orang Arab. Sedih, diri ini mudah lupa. Lepas habis puas lepas geram, madah dendam, perlaku kejam, baru nak beringat dan menjadi pendakwah. Kesian. Oleh itu, tidak salah juga, selepas usai menyesal atas tersilap kata dan berburuk sangka, kalau kita cuba kenal sisi putih masyarakat sini, yang mana perpaduan dan keakraban dilihat sesuatu yang sangat kuat di sini. Dengan perpaduan, mereka berjaya menggulingkan pemerintah yang zalim. Dan dengan perpaduan, kini Mesir dalam fasa pilihan raya, memilih masa depan mereka sendiri.

Apa yang pasti, mereka lebih kenal Tuhan dengan mereka lebih memahami apa terkandung dalam Al-Quran. Aplikasi? Itu soalan yang mereka perlu jawab, tidak perlu kita mengulas panjang. Kita urus kita dahulu, baru fikir orang.

Kalau hendak bersembang dan menulis lagi tentang politik atau masyarakat tempatan di Mesir, maka akan lebih berdenyut kepala yang sudah pun berdenyut sejak semalam.

Tidak berminat ke arah itu, tumpuan lebih kearah pelajar Malaysia di sini. Bukan, bukan ingin mencari jodoh. Adalah sesuatu yang kelakar apabila itu adalah perkara yang sering dibangkitkan oleh pelajar-pelajar di sini. Mungkin jarak pemisah bersama insan tersayang di Asia Tenggara itu menjadi penyebab kepada pemikiran sebegini. Entah la. Entah kenapa perlu dibangkitkan dalam blog ini juga adalah satu persoalan yang mungkin tidak perlu kan jawapan. Entah la.

Pilihan raya perwakilan pelajar di sini semakin dekat, dan ianya adalah sepanas pilihan raya di mana sahaja. Kelakar juga tengok apabila manusia kelihatan berubah kepada sesorang yang lain, baru daripada kebiasaan. Atau mungkin hanya ilusi sendiri, yang lebih banyak memandang ke bawah daripada menatap manusia-manusia, bukan kerana malu atau merendah diri atau inferior complex atau sebagainya, tapi lebih kerana untuk menjaga langkah, awas kerana khuatir terpijak tahi keldai dan kuda yang ada dimana-mana sahaja.

Sekarang adalah waktu subuh dan adalah sia-sia jika penulisan ini didahulukan sebelum solat.

Insyallah, penulisan akan datang akan hadir dengan sesuatu yang lebih bermanfaat.

Thank you for reading this random rant. Have a great day.

:)





Hampir terlupa, niat asal adalah untuk menulis tentang khabar diri. Saya di Mesir, sihat alhamdulillah. Sedikit rindu akan Malaysia. Sedikit pening dengan manusia. Sedikit letih dengan kerja. Tapi selain itu, biasa-biasa sahaja. Sekian. :P

Sunday, October 9, 2011

Warkah: Muka 53

Sudut berbeza

Assalamualaikum.

Hari ini ada sedikit kejadian yang kurang menyenangkan.

Oleh sebab itu tidak perlu untuk diceritakan. Cuma, kejadian ini membuatkan diri terfikir akan manusia-manusia dan bagaimana kita memiliki pandangan dan pendapat yang pelbagai. Dari sudut yang berbeza.

Ambik contoh mudah, persepsi sebelum berangkat ke Mesir adalah berbeza dengan persepsi sesudah tiba. Jauh berbeza. Belum kira lagi sekiranya panjang umur, dan menetap di sini dengan lebih lama.

Contoh lagi, pelajaran. Perkataan itu jika dieja, setiap mulut akan menuturkan huruf-huruf yang sama. Mula dengan "P" dan di akhiri dengan "N". Namun, setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza akan pelajaran. Mungkin asas yang sama, tetapi acuan pemikiran yang berlainan.

Apa pun, diharap sesuatu yang baik itu mampu diteruskan dan sesuatu yang tidak itu, moga terhenti setakat masa ini. Tidak perlu diulang di masa hadapan, malu kepada Tuhan yang memberi rahmat.

Malam ini, dikatakan bulan kelihatan sangat cantik di Malaysia. Itu dari sudut mereka yang di Malaysia. 

Di Mansoura, bulan kelihatan sama. Tiada gelang halo di sekeliling bulan. Malahan disini bulannya tidak begitu bulat. Ada yang tersembunyi di balik bayangan.

Apa kalian fikirkan, melihat bulan cerah dilangit hitam pada malam ini?

Adakah sama, dengan apa yang terlintas di diri ini?