Tuesday, February 28, 2012

Warkah: Muka 65

Suasana

Assalamualaikum.

Ada sorang mamat ni, dia telah terbiasa dengan satu jenis suasana dahulu di satu tempat.

Udara di tempat itu barangkali sedikit kotor, barangkali sedikit sesak, dan barangkali gelapnya malam itu lebih lama dan kelam, dan sinar suria itu lebih malap dan suram, namun panas tetap membahang.

Walau apa sekalipun, itu adalah suasana yang dia sering berada dan dia sudah biasa. Malahan selesa.

Home sweet home barangkali.

Apapun kehidupan ini sering berlaku tanpa diduga.

Dan dalam keadaan itu, tidak dijangkakan dia akan berhijrah.

Pada dia konsep hijrah adalah bererti kertas keras di buku merah dia bakal terisi lagi dengan dakwat bermotifkan lokasi destinasi dia. Hijrah itu bererti sebahagian daripada isi almari rumah bakal disumbat kemas di dalam bagasi berkapasiti 30kg. Hijrah itu bermaksud selamat tinggal kepada nasi lemak dan capati dan apa saja makanan istimewa di kampung halaman dan selamat datang kepada makanan baru. Bukan sekadar makanan, selamat datang juga dilaung kepada budaya, rakan, kenalan, suasana baru.

Sekadar itu barangkali. Konsep hijrah didalam buku teks sekolah dahulu itu dia sekadar faham dalam teori. Tidak pula terfikir untuk praktis. Barangkali sekadar tuturan, atau terikut-ikut.

Cuma, dia tak menjangka.

Udara di sini lebih segar dan nyaman.
Jalan lebih lapang dan luas.
Gelap malam itu mendamaikan.
Sinaran pagi itu tenterami jiwa.
Hari-hari sejuk yang ceria.

Terkejut.

Sampai sesak rasanya dada.

Dunia yang seolah selama ini tidak wujud...wujud?

Dia melihat pelbagai kemungkinan di sini. Waras akalnya cuba menolak, tetapi nurani hati akur pada kebenaran yang terpampang.

Keselesaan yang menyesakkan.

Kawan yang dirujuk, dalam jiwa kelut kesah meski luar tanpa gembira dan tenang, menuturkan kata-kata penuh tersurat dan tersirat.

"Allah punya sebab untuk meletakkan diri anda di sana"

"Allah punya sebab kenapa anda melakukan apa yang anda lakukan sekarang"

Benar.

Pelik bukan? Dalam rasionaliti keras kerasan menolak suasana baru ini, jasad dipandu hati membawa kearah itu.

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

Sarat persoalan setelah satu demi satu episod hidup berlaku.

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

EVERYTHING HAPPENS FOR A REASON.

ALLAH MAY NOT GIVE YOU WHAT YOU WANT, BUT HE ALWAYS GIVE THE THING THAT YOU NEED.


ALLAH THE BEST PLANNER OF YOUR LIFE, SO DON'T FRET.

Waras akal, bila agaknya anda mahu akur pada akhirnya?

Hentikan lah teriakan penafian mu.

Dakaplah berubahan ini.





p.s: ironi, tempat baru itu sebenarnya lebih berdebu udaranya dan lebih sesak jalannya...itu zahirnya.

Sunday, January 22, 2012

Warkah: Muka 64

Dua

Assalamualaikum,
Lega


Hari ini baru saja habis kertas kedua ujian akhir tahun. Kertas essay, walau soalan tidak seperti yang dijangkakan (formatnya).

Alhamdulillah, dapat jawab. Betul atau tidak, itu biar mereka yang tentukan.


Dua sudah habis, tinggal lagi dua!

Wednesday, January 18, 2012

Warkah: Muka 63

Musim Peperiksaan.

Assalamualaikum,




Baru Selasa lepas selesai kertas MCQ (Multiple choice questionnaire) untuk ujian akhir tahun pertama semester 1.

Semester 1...hmm...haha, kelakar pula bila dengar pada diri yang makin meningkat usia ini.

Menarik juga peperiksaan di sini. Untuk semester 1, soalan yang diberikan sebanyak 60 soalan untuk disiapkan dalam masa 60 minit bermakna satu soalan hanya diperuntukan masa selama kurang dari 60 saat.

Kenapa kurang? Sebab nak tulis nama pun makan masa, nak belek kertas dulu, nak betulkan tempat duduk, nak ambik alat tulis, semua tu makan masa.

Paling penting, doa dulu sebelum menjawab. Mohon petunjuk dari Allah.

Tapi rasa tak perlu nak mengadu panjang, syukur sahaja. Dengar kata semester akan datang, soalan MCQ akan jadi 200. Banyak tu.

Lepas ni ada tiga kertas lagi; Essay, OSCE dan Medical Terminology.

InsyaAllah dapat hadapi kertas-kertas tu dengan baik.

Tolong doakan. :)


Syair


Jika mensia-siakan usia,

Tangisilah diri,

Seluruh hidup tidak beroleh laba.

Hidup bagai kapal pelayaran,

Semakin hari dan bulan,

Semakin jauh dari pelabuhan.

Hidup akan ditinggalkan,

Akhirnya kubur juga yang berdekatan.



diambil daripada sini

Friday, January 13, 2012

Warkah: Muka 62

Hibernasi! Atau...


Assalamualaikum.

Dalam musim sejuk ni, saya tahu dua benda yang manusia akan buat.

Tidur dengan sebanyak-banyaknya.

Atau...

Makan dengan sebanyak-banyaknya.

Bukan alasan menjadi malas atau apa. Dua-dua tindakan ni ada rasionalnya. Tidur tu, sebab nak simpan tenaga, sebab badan akan lebih bermetabolasi untuk menghasilkan haba. Jadi tidur ni salah satu cara nak simpan tenaga, disamping mengumpul haba dibawah selimut yang tebal tu. 

Andai kata kena bangun juga, maka kena pula makan banyak-banyak. Sebab badan perlu hasilkan tenaga lebih untuk haba!

Harap-harap dapat sesuaikan diri dengan suhu di sini. 8°C sepanjang hari, atau mungkin kurang, rasa macam kalau duduk dalam peti ais pun ada.

Semoga tak lemah semangat di tempat yang memerlukan semangat ini!

Thursday, January 12, 2012

Warkah: Muka 61

Jumaat, 13 

 

Owh!


Hari ni 13 Hari bulan, hari Jumaat!!

Tahun tak apa maksudnya?!!

"Maksudnya hang baik siap mandi, nanti nak gi solat"

Selain tu!??

"err..PCM kat sini buka gerai kat QIS?"

...

...

Baguslah, kalau korang tak tahu apa tu Jummat 13, atau lebih terkenali sebagai "Friday 13"

Friday 13 ni kiranya budaya orang barat, yang menganggap 13 haribulan hari Jumaat itu sebagai satu hari yang malang buat mereka. Macam-macam kisah dikatakan, berkaitan dengan hari ni, kisah-kisah hantu macam Jason yang tak mati-mati tu pun ada terselit dalam hari ini.

Jadi tak hairan la jika ramai yang jadi takut dengan hari ini, sehinggakan hari ini selalunya merupakan hari yang tidak produktif bagi mereka.

Memang betul la malang kan?

Bagi kita orang Islam, tak perlu la kita takut pada hari dan tarikh ini. Takut kita hanya pada Allah. Kalau kita takut, ingat Allah Maha Pelindung, Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Gerenti hati jadi tenang.

Teringat kisah Kak Wardina semalam, seperti yang diceritakan dalam blog dia. Kisah yang menggemparkan, tetapi didalamnya terselit pengajaran. Dapat saya simpulakan di sini adalah:

Ingat Allah, walau apa cara sekalipun.

Rasa kagum saya pada keluarga dia, juga takziah saya ucapkan pada keluarga Kak Wardina. Apa pun, syukur kerana tragedi berakhir tanpa sebarang kemalangan jiwa.

Semangat dah lebih ni! Semoga hari ini hari yang penuh berkat!!






p.s: kisah Kak Wardina boleh dibaca disini: www.wardinasafiyyah.com 

p.s.s: pasal friday 13 pula, di wikipedia... :P

Tuesday, January 10, 2012

Warkah: Muka 60

Keluh Kecewa Ku

Adapun keluh kesah ku di pagi ini, adalah bukan kerana kesedihan ku terpaksa berpuas hati dengan permainan komputer zaman SPM ke bawah dek kerana komputer yang semakin uzur, mahupun keletihan ku dalam lebih banyak mengeluh daripada berkerja bagi menyiapkan suatu tugasan ku yang ku akur telah lama ku abaikan. Adapun pandangan yang sunggul ini bukan lah kerana kekecewaan ku kerana lebih berangan dan kurang melihat helaian buku-buku mahupun kertas-kertas nota ilmiah pembelajaran ku, dengan alasan dunia serba kini memudahkan aku untuk melihatnya hanya menerusi skin 13 inci ini, yang mana sekejap saja azamnya jika dipasang sekalipun, lantas dengan segera terlupa aku akan tanggungjawab ku dan kembali aku ke muka buku.

Adapun aku sedikit muram ini adalah pertamanya adalah perut ku masih lagi meragam meskipun sudah ditelan kuah tomyam dan mihun, dan sudah ditelan kushairi SUPER hasil air tangan orang arab yang semakin ku lazimi dalam menu ku. Sungguh, ketagihan aku kepada makanan ringan bernama TODO itu semakin menjadi. Tak ku jamah hari ini walau satu, dan perut ku merusuh bagaikan amuknya orang tidak diberi kebebasan. Mungkin sekadar aku terlalu rindu akan masakan Melayu, tetapi andai tidak kerana malas sekalipun terlalu sedikit sumber dan cara untuk ku melunaskan keinginan ku. Maaf la wahai jelitawan arab andai mata mu besar berkilauan sekalipun tapi kalau bau sambal nasi lemak tidak dapat singgah walau sekalipun di ruang makan rumah idaman kelak, maka sungguh ampun maaf aku tiada minat padamu.

Adapun keduanya aku ini begitu kelam sehinggakan perlu akan nyanyian yang ceria seperti lagu Edcoustic, adalah kerana aku melihat diri ku sebagai insan sebenar-benar insan tidak begitu memberangsankan disini. Kecewa ini bukan terarah pada orang lain walau ada kalanya unsur luar itu faktor, tapi penggerak kepada jasad ini adalah diri ini dan kuasa veto untuk diri bertindak adalah pada diri. Maka pada setiap kelemahan dan kesilapan mahupun kesalahan tidak perlu lah mengada-ngada menunding satu jari itu kepada sesiapa. Sedangkan empat lagi mengakui kebodohan dan keangkuhan diri sendiri. Lebih baik tunjuk sahaja kesemua jari jemari itu pada diri sendiri, tepuk dada dan tanya waras akal serta iman.

Maka faktor kedua ini yang ku lihat lebih dominan keatas keluh kesah ku di pagi ini, sedang faktor pertama itu sekadar mukadimah penyeri kata...teringat pula pada seri muka, entah apa kaitannya. Mengidam sungguh pada kuih itu, semoga isteri kelak mahir benar untuk buat itu, mungkin serinya seperti nama kuih itu?

Empat bulan. Buka satu tempoh yang lama namun tidak juga singkat. Wajar, selama arbaa' bulan ini banyak benda sudah dipelajari. Didalami. Dimahiri.

Kecewa, kerana empat bulan berlalu bagaikan hanya duduk dibawah tempurung. Terlalu selesa dalam keselamatan dan kedamaian di dalam, sehingga jendela ke dunia luar pun tertutup. Bila waktunya perlu untuk berurusan dengan realiti, maka tercungap-cungap jadinya. Sehinggakan empat bulan datangnya ke dunia arab ini tuturnya masih bagaikan hari pertama disini. Kasihan diri? Kasihan lagi orang arab yang barangkali terpaksa bersabar dengan keangkuhan diri yang merasa orang lain lebih angkuh daripada sendiri. Empat bulan dan kerja hanya mengadu akan kisah silam. Budak kecik pun tidak begitu. Andai mereka luka di hari semalam, maka hari ini tiada lagi muka-muka masam atau kata-kata kesedihan tentang apa yang berlaku di hari yang lepas. Parut mungkin ada, tapi tidak mereka pedulikan. Apa guna mengenang parut, sedang hari ini terbentang luas untuk diterokai daripada dibiar terabai. Diri? Hal kecil dibesarkan. Sedih, kerana setelah empat bulan rakan-rakan yang baru seolah-olah masih baru, kurang interaksi dan kurang reaksi. Maka, di dalam posisi perlu memahami, diri sekali lagi tewas dalam lamunan dan tidak mampu memberikan kata putus dan tindakan yang sebaiknya. Hanya membisu itu bagai menabur garam di luka. Tetapi bila berkata atau berpena maka bagaikan menabur racun pula dalam luka itu.

Maka ku luah kan segalanya di dalam ruangan maya ini, entah kenapa dan apa kebaikannya tidak pula aku pasti. Sungguh, manusia ini sungguh-sungguh benar mereka pada benda yang tidak sungguh pasti. Atau barangkali hanya diri.

Barangkali ku harapkan jawapan. Ransangan. Keluh kecewa ku ini perlukan solusi yang bukan hanya sekadar kata-kata semangat dan penuh ilmiah mahupun emosi, tetapi lebih dari itu, perlulah ianya rasional untuk diamalkan dengan berterusan.

Ku tahu, jawapan untuk itu hanya ada pada ku. Dua puluh dua tahun itu bagaikan empat bulan di Mansoura. Bukan tempoh yang lama, namun bukan juga tempoh yang singkat untuk seorang manusia itu hidup sehinggakan masih tidak kena erti baik dan buruk.

Tuhan, andai empat bulan ini telah ku bazirkan begitu sahaja, maka ku pohon jadikan baki hari hari di semester pertamaku di padang pasir ini hari yang penuh pengisian. Dan ku pohon, Ya Allah, jadikan hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari-hari yang silam.

Maaf, luahan ini sebenarnya ada cuba ku selit satu dua atau barangkali tiga pedoman dan tauladan, namun selebihnya, adalah luahan, dan sebagaimana seseorang yang sakit perut dan loya-loya tekak itu, apabila dia "meluahkan" sungguh dia rasa selesa dan segar sahaja tetapi orang disekelilingnya pula yang akan rasa tidak senang akan hasil "luahan" itu. Maka maaf, andai luahan ini menjengkelkan.

Insyallah warkah mendatang akan lebih ceria!









p.s: Andai ku ingin memohon maaf, maka harus didahulukan dengan penyesalan dan diakhirkan dengan tindakan. Berterusan. Berterusan. Berterusan.