Wednesday, April 4, 2012

Warkah: Muka 70

Tidur

gambar baby, sebab gambar sendiri tengah tidur sangat tak macho...

Assalamualaikum,

Orang kata, buat kerja kena istiqamah. Berterusan.

Jadi tidur pun kena begitu. Berterusan. Bukan maksudnya tidur tak bangun-bangun dah, melainkan ajal menjemput. Tapi tidur ikut waktu, bukan kejap tidur malam kejap tidur pagi. Terganggu sistem dalam badan, sebab tak seimbang peredaran waktu rehat dan waktu kerja.

Orang kata, buat sesuatu kena bersederhana. Tak kurang, tak pula lebih.

Jadi tidur pun kena begitu. Bersederhana. Bukan maksudnya tidur nak lama-lama. Bukan juga maksudnya tidur nak kejap sangat, kononnya boleh ganti kemudian. Sekali sekala bila memerlukan, mungkin boleh. Mungkin. Yang pasti, benda yang lebih pada badan jadi racun. Kalau kurang pun, akan jadi racun. Sakit baru tahu. Tidur kurang, longlai. Tidur lebih, pening otak, mual-mual macam orang mengandung.

Orang kata, penasihat terbaik adalah diri sendiri.

Jadi ni pun sama. Bukan untuk tulis pada orang lain, saja nak ingatkan diri sendiri, dah pukul 2 pagi dah ni.

PERGI TIDUR!!

Dan INGAT BANGUN AWAL!!

Sekian.

kan dah cakap... =~="



Tuesday, April 3, 2012

Warkah: Muka 69

Lelah

Assalamualaikum,

Lelah diri ingin membawa hati lari dari kekusaman yang ada dalam jiwa ini. Sungguh, bulan ini bukan lagi bulan yang ku nanti. Silam mengajar dalam bulan inilah badan ku lemah dan terdedah, hingga kerap kali sakit dan tersadai di kamar. Andai demam, maka demam adalah luar biasa, andai batuk, maka batuknya hingga kering tekak, perit terasa.

Lemah diri ini untuk pujuk diri untuk tetap gagah meniti hari hari kerana tidak mungkin bulan ini kurang harinya, tetap jua ia berkitar tidak mungkin masa dapat diundur. Masa juga tidak mungkin kaku terpahat melekat beku di situ dan bagaikan bulan-bulan yang berlalu, bulan ini juga pasti akan habis kitarannya. Terpahatnya waktu hanya jika terpahatnya jasad kaku dingin beku, maka tatkala itu tiada lagi guna esok mahupun lusa kerana dunia telah habis saatnya untuk bersama. Namun hari-hari terasa lamanya dalam bulan ini, seakan akan masa berehat dari lariannya yang biasa.

Letih diri ini kerana terpaksa berperang jiwa. Ya, inilah dia bulan perpisahan. Inilah dia bulan dimana sesalan demi sesalan bertandang di lubuk minda mahupun di lubuk hati mahupun dimana saja ruang dan liang dan rongga di dalam diri ini. Bertandang mereka dan bertenggek mereka mengelilingi mereka akan diri ini dengan mata-mata tanpa keperikemanusiaan. Berkumpul mereka menyanyikan lagu-lagu rindu kecewa amarah murka sengsara sehingga perit amat telinga ini merasa. Ingin sekali aku meraung berteriak bertempek merayu agar aku bebas dari sengsara jiwa dan minda yang bersarang. Sungguh aku rasa mahu gila. Luar ku tampak biasa. Bedah isi dalam ku pasti tercurah air-air duka yang mengalir tiada hentinya. Tidak ku tunding jari pada sesiapa. Tiada orang yang wajar ku lontar tomahan serta sumpah seranah hingga tujuh keturunan. Andai itu mahu ku, akan ku lakukan dengan depan ku menghadap cermin. Kerana akulah selayaknya. Mereka-mereka ini, yang bersatu berlagu pilu, hadir kini di dalam ruang diri ku, adalah kerana aku. Aku yang rupakan pintu itu, dan aku yang buka. Mereka hanya masuk, walau tanpa dijemput.

Longlai diri, andai ini adalah hukuman minda yang bakal ku tanggung sepanjang hidup ku. Barangkali ini adalah ganjaran akan salah silap ku dahulu.

Cuma ku harap, andai reput sekalipun dalam ku ini, luar ku tetap bagai besi yang utuh.

Ku harap.










p.s: Ya Allah, jadikan rindu ku padaMu melebihi segala rindu yang ku ada pada dunia dan isinya. Jadikan lah sayang ku pada insan-insan yang ku sayang ini mengukuh sayang ku padaMu, dan bukan pendinding diri ku pada Mu. Ampun ya Allah, andai tatkala duka ini lupa ku akan hadirnya kasihMu.

Monday, March 26, 2012

Warkah: Muka 68

Beri aku kekuatan

 

Assalamualaikum,

Bulan tiga hampir sampai ke penghujungnya.

Bulan empat akan datang, sambut dengan ujian.

Dan bulan empat, sejak peristiwa itu, akan sentiasa menjadi bulan ujian untuk ku.

Duhai hati, sabar lah.

Duhai hati, terima lah.

Duhai hati, sudah lah.

Hapus kesal itu.


Tuesday, March 6, 2012

Forum: Kau Tercipta Untukku

Ini adalah rakaman video bagi forum anjuran Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Management and Science University (MSU).

Terima kasih bagi mereka yang memuatturunkan video ini kedalam YouTube.















Kalau video tak keluar, korang klik link bawah ni:
http://www.youtube.com/watch?v=M09nphrDw2M&feature=channel

Friday, March 2, 2012

Warkah: Muka 67

Sayang itu

Sayang itu,
Adakalanya sekadar cukup di hujung bibir,
Dan hilang dilantunan udara,

Sayang itu,
Adakalanya sampai singgah di kulit,
Hanya hangat untuk seketika,

Sayang itu,
Adakalanya tusuk ke isi hati,
Buat rindu, buat sengsara,



Sayang itu,
Adakalanya ke hujung dunia,
Mati kelak lupuslah ia,

Sayang itu,
Adakalanya untuk sampai ke syurga,
Kurang disekali, namun kekal abadi,

Maka sayang kamu,
Maka sayang aku,
Maka sayang-sayang itu,
Kemana dituju?




nyu2
Syariq Siddiq

10:57, Jumaat

Thursday, March 1, 2012

Warkah: Muka 66

Semalam.

Assalamualaikum.



Adapun musim sejuk di Mansoura ini sepatutnya sudah mula tampak menyepi, namun realitinya tidak sebegitu.

Di penghujung musim ini, suhunya semakin menggigit tulang dan hujan pula kerap bertandang. Seolah-olah sesuatu di luar logik akal.

Dan semalam, dingin itu semakin terasa.

Sebuah episod hidup penuh pengajaran.

Allah, kalau dia sayang hambaNya, semakin kuat Dia duga bukan?

Sampai kita kerap mengeluh, "Ya Allah, apa hidup kami di dunia ini hanya sengsara? Letih penat kami beribadah padaMu (Sedangkan amalan suam-suam kuku), dan kenapa begini pula ujian Engkau beri pada kami?"

Apa hidup ini, untuk makan bala?

Apa nafas ini, untuk hirup sengsara?

Anehnya, andai kita berdiam diri untuk berlaku amal, dan berdiam diri tatkala sekitar bergelumang dosa, malah kita juga turut berpesta, maka sengsara dunia ini seakan tiada.

Tapi hati, tidak menipu.

Hati ini, yang punya cebisan iman ini, sakit sekali.

Pedih. Mengalir air mata tatkala dingin malam hadir. Dosa-dosa di pagi hari, apa sekerat malam dan secebis doa mampu menghilangkan pedih itu?

Buka mata. Allah uji ramai saudara kita di seluruh pelusuk dunia. Andai Islam tidak dicemuh oleh bahasa, maka dihujani pula dengan peluru-peluru durjana.

Andai kita dipesan agar Amal Makruf Nahi Mungkar dengan anggota, lisan dan hati, maka tidak hairanlah andai dugaan juga datang dari bentuk anggota (physical), lisan (verbal) dan hati (psychological).

Tapi, ujian-ujian itu, bukankah supaya kelak kita peroleh ganjaran yang besar?

Subhanallah! Malah Allah bantu kita, permudahkan kita mencari ganjaran itu!

Berbalik pada semalam.

Sejuk dingin tubuh ini. Ini adalah musibah kami.

Kami kini dalam terowong hitam bernama ujian.

Kami boleh pilih untuk sesat didalamnya.

atau..

Kami boleh pilih untuk terus melangkah, walau perit dan letih, walau kekadang tidak tahu arah tuju.

Andai kami terpimpin, InsyaAllah, di hujung sana, punya cahaya menyambut kami.

Semalam yang kelam, adalah untuk esok yang cerah!








p.s: Islam itu bersaudara. Sungguh aku takut akan terheret andai saudara ku jatuh, tapi aku wajar lebih takut jika ada saudara ku yang jatuh! Sayang saudara ku, maka aku benci dosanya.

Tuesday, February 28, 2012

Warkah: Muka 65

Suasana

Assalamualaikum.

Ada sorang mamat ni, dia telah terbiasa dengan satu jenis suasana dahulu di satu tempat.

Udara di tempat itu barangkali sedikit kotor, barangkali sedikit sesak, dan barangkali gelapnya malam itu lebih lama dan kelam, dan sinar suria itu lebih malap dan suram, namun panas tetap membahang.

Walau apa sekalipun, itu adalah suasana yang dia sering berada dan dia sudah biasa. Malahan selesa.

Home sweet home barangkali.

Apapun kehidupan ini sering berlaku tanpa diduga.

Dan dalam keadaan itu, tidak dijangkakan dia akan berhijrah.

Pada dia konsep hijrah adalah bererti kertas keras di buku merah dia bakal terisi lagi dengan dakwat bermotifkan lokasi destinasi dia. Hijrah itu bererti sebahagian daripada isi almari rumah bakal disumbat kemas di dalam bagasi berkapasiti 30kg. Hijrah itu bermaksud selamat tinggal kepada nasi lemak dan capati dan apa saja makanan istimewa di kampung halaman dan selamat datang kepada makanan baru. Bukan sekadar makanan, selamat datang juga dilaung kepada budaya, rakan, kenalan, suasana baru.

Sekadar itu barangkali. Konsep hijrah didalam buku teks sekolah dahulu itu dia sekadar faham dalam teori. Tidak pula terfikir untuk praktis. Barangkali sekadar tuturan, atau terikut-ikut.

Cuma, dia tak menjangka.

Udara di sini lebih segar dan nyaman.
Jalan lebih lapang dan luas.
Gelap malam itu mendamaikan.
Sinaran pagi itu tenterami jiwa.
Hari-hari sejuk yang ceria.

Terkejut.

Sampai sesak rasanya dada.

Dunia yang seolah selama ini tidak wujud...wujud?

Dia melihat pelbagai kemungkinan di sini. Waras akalnya cuba menolak, tetapi nurani hati akur pada kebenaran yang terpampang.

Keselesaan yang menyesakkan.

Kawan yang dirujuk, dalam jiwa kelut kesah meski luar tanpa gembira dan tenang, menuturkan kata-kata penuh tersurat dan tersirat.

"Allah punya sebab untuk meletakkan diri anda di sana"

"Allah punya sebab kenapa anda melakukan apa yang anda lakukan sekarang"

Benar.

Pelik bukan? Dalam rasionaliti keras kerasan menolak suasana baru ini, jasad dipandu hati membawa kearah itu.

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

Sarat persoalan setelah satu demi satu episod hidup berlaku.

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

EVERYTHING HAPPENS FOR A REASON.

ALLAH MAY NOT GIVE YOU WHAT YOU WANT, BUT HE ALWAYS GIVE THE THING THAT YOU NEED.


ALLAH THE BEST PLANNER OF YOUR LIFE, SO DON'T FRET.

Waras akal, bila agaknya anda mahu akur pada akhirnya?

Hentikan lah teriakan penafian mu.

Dakaplah berubahan ini.





p.s: ironi, tempat baru itu sebenarnya lebih berdebu udaranya dan lebih sesak jalannya...itu zahirnya.