Saturday, January 5, 2013

Warkah: Muka 85

Infiniti

Assalamualaikum,

Infiniti
Mari kita mengejar infiniti,
Kerana makhluk sempit dalam imaginasi.
Kerana yang berhitung punya had tak dapat dibatasi.
Kerana dia tak mungkin mampu beri semua yang dihajati.
Kerana waktu mampu merubah yang elok jadi basi.
Kerana isi dunia suatu masa pasti luput dan mati.
Kerana pentas hanya ilusi bagi yang buta hati.
Kerana sini hanya bekalan untuk yang abadi.

Mari kita mengejar infiniti.
Yang Maha Mengasihani.
Yang Maha Abadi.


-nomadmelayu-
Bait no. 48
Syariq Siddiq
Mansurah

Tatkala otak tegang serabut akan limitasi pada informasi.
Perang sarang bakal mendatang. Doakan.

Tuesday, January 1, 2013

Warkah: Muka 84

Bunga dan Kumbang

Assalamualaikum,

Kumbang dan Bunga

Adapun tiba sekuntum bunga,
Mekarnya buat si kumbang merona,
Menutur salam lantas bicara,
"Manis madu mana pilihan hamba?"

Keluh kesat si kumbang merana,
Sedang jawapan di depan mata,
Mungkin sekarang tiba masa,
Untuk kumbang bergelar raja?

Kilauan putih di balik hitam,
Bangkit semangat yang hampir pitam,
"Ampun tuan hamba yang legam"
"Manis bunga belum mampu genggam"

Maka pulang keduanya,
Senyum manis terukir di diri,
Walau belum masanya tiba,
Terjamin tetap harga diri.

Kembaralah kedua ciptaan Ilahi,
Cari makna cinta hakiki,
Jika tercipta hidup semati,
Kelak pasti bertemu lagi.

...
nomadmelayu,
No. 48, Syariq Siddiq
Mansurah




p.s: agak-agak terjawab tak soalan wahai Inchik Ikan?

Warkah: Muka 83

1.1.13 | 13.11 | Ubah

Change of Heart: Kad biasa tetapi luarbiasa kuasanya
Assalamualaikum,

Dalam POSED (Presentation Speech and Debate Team) minggu ni, kata kuncinya adalah UBAH/CHANGE, sesuatu yang saya kira amat bersesuai dengan minggu ini. Pertama, adalah kerana minggu ini berlakunya berubahan tahun, dari 2012 kepada 2013. Tahun ini juga bakal menyaksikan perubahan terhadap sistem pemerintahan di Mesir, InsyaAllah ke arah yang lebih baik. Barangkali juga perubahan kepada Malaysia? Andai bukan kepada pemerintahan sekalipun, ada angin-angin perubahan bertiup pada masyarakat kita.

Dalam POSED, ada seorang kawan memberikan sinonim yang cukup saya kenali berkaitan dengan UBAH, iaitu kad di atas.

Siapa pernah main Yugi-Oh? Bagi saya, permainan ini menghiasi kehidupan saya sepanjang saya di bangku persekolahan. Malahan, sehingga kini saya masih suka akan permainan ini dan kalau bukan dek kerana urusan yang lebih utama, barangkali saya masih bermain.

Kad Change of Heart adalah kad asas, yang pasti ada dalam Dek Asas kad permainan Yugi-Oh. Walau bagaimanapun, ianya merupakan antara kad yang paling digemari. Kegunaannya walaupun hanya pada satu pusingan, mampu merubah corak permainan. Bayangkan, ada berhadapan dengan lawan yang raksasanya mempunyai mata serangan yang cukup tinggi. Dengan menggunakan kad ini, anda mampu menukar posisi raksasa tadi kepada milik anda dan menyerang lawan anda tadi yang kini tiada jaringan pertahanan.

Instant win.

Perubahan yang kecil, membawa impak yang besar. Hebat bukan?

Begitu juga dengan kehidupan. Ramai antara kita ingin berubah. Ada sesuatu lumrah kehidupan, manusia itu ingin menjadi lebih baik dari apa yang sudah dicapai, dan pada pengakhiran kehidupan, semua inginkan pengakhiran yang baik.

Namun dugaan hidup cukup besar dan kuat. Akhirnya, ramai yang memilih untuk tidak berubah atau menangguhkan dahulu perubahan itu. Lebih parah, jika manusia itu memilih untuk kearah kejahatan, kerana jalannya tampak lebih mudah dan menguntungkan, walaupun pada hakikatnya itu sekadar halwa dunia semata-mata.

Di bumi Mansurah, dalam rancak musim perperiksaan, saya lihat ramai yang berubah. Malah saya sendiri juga kelihatan begitu. Sama ada sedikit, mahupun besar, perubahan itu ada berlaku. Saya kurang setuju, jikalau dikatakan perubahan ini berlaku hanya semata-mata kerana demam peperiksaan. Musim peperiksaan itu sebaliknya dapat dilihat sebagai pemangkin, mengurangkan lagi 'action potential' bernama dugaan.

Barangkali tatkala sukar, hati semakin kenal tuhan.

Setahun, atau dua, di Mesir ini, saya kagum melihat rakan-rakan. Mereka mungkin tidak sedar, tetapi mereka kearah kebaikan. Kata kasar berkurang, kalam Quran kerap kedengaran. Bernasihat mesti ada contoh hadis dan tafsir. Dakwah maya makin giat. Hubungan kekeluargaan makin erat.

Dulu saya mungkin lebih suka untuk berdiri di tampuk lama. Atau berubah dengan kadar yang amat selesa (lambat teramat).

Tetapi, melihat mereka, saya rasa rugi.

Rugi, kalau tak berubah bersama mereka. Berjalan selari, menuju redha Ilahi.

Cantik tarikh semalam. 1.1.13, kalau terbalikkan dan buat sedikit pertukaran, maka akan jadi 13:11

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka merubah keadaan mereka sendiri"

Ya Allah...tahun baru penuh pengajaran.

Akhir kata, layan video di bawah dulu. Selamat berubah! :)


p.s: semoga yang baik itu berkekalan.

Friday, December 21, 2012

Warkah: Muka 82

Maaf tuan

Assalamualaikum,



Maaf Tuan

Maaf~ tuan,
Kalau ganggu masa tuan,
Sila duduk tanpa gusar,
Kita bukan buat jualan.

Maaf~ tuan,
Andai kata kurang sopan,
Kadang suara tenggelam,
Andai bicara perlahan-lahan.

Maaf~ tuan,
Kami bukan mahu u-wang,
Cuma mahu berkalam,
Perkara baik buat saham.

Maaf~ tuan,
Kalau kita hendak berpesan,
Jangan lantang di luar,
Tapi lubang berlohong dalam.

Maaf~ tuan,
Kalau dengar khabar bicara,
Duduk selidik dulu,
Jangan terus buat simpulan.

Maaf~ tuan,
Bila bermadah biar sopan,
Bukan sekadar pada rupawan,
Semua kita ada hati dan perasaan.

Maaf~ tuan,
Bila kata mesti kota,
Jangan hanya manis mulut,
Nanti badan juga binasa.

Maaf~ tuan,
Ajal bukan bahan gurauan,
Ingat berbuat baik,
Sebelum roh kita nak balik.

Maaf~ tuan,
Kata orang bukan kuasa,
Timbang semula ikutan,
Laksana apa Tuhan ajarkan.

Maaf~ tuan,
Andai kata ada terkesan,
Bukti hati tak tertutup,
Tinggal lagi nak digilapkan.

...

Maaf~ tuan,
Sudah banyak hamba pesan,
Penat sampai ke perut,
Boleh tak kita kongsi sepinggan?

ehe~
 
-nomadmelayu-
Bait No. 48
Syariq Siddiq
Mansurah
tengah kepadatan di minda,
tapi kelaparan di perut




p.s: ada ke orang datang kat gerai masa kita makan cakap macam ni? Kalau ada memang tak kisah kalau nak kongsi pinggan! :)

Warkah: Muka 81

Sesal | Versi Mat Bunga

Assalamualaikum, 

Sesal | Versi Mat Bunga 

Sesal itu,
Adalah bila hadir mu dekat,
Kiri kanan mata terikat,
Wajar andainya hampir ku cepat,
Perkenal nama pantun berkerat,
Namun ku kaku terantai erat.

Sesal itu,
Tatkala hadir suara memanggil,
Urusan penting bicara singkat,
Wajar ku alunkan nada irama,
Panjang kalam usikan jiwa,
Namun ku kelat cakap ku pelat.

Sesal itu,
Apabila berkepul asap menari,
Lauk pauk kejutan pagi,
Wajar ku lontar kata pujian,
Pandai cekap wanita idaman,
Namun ku bisu sekadar gelengan.

Sesal itu,
Tatkala ada usik gurauan,
Juga saranan untuk luahan,
Wajar ku patuh umumkan semua,
Mungkin kelak bahagia bersama,
Namun ku gentar arahan Tuhan.

Sesal itu,
Bila berduri menjadi bidadari,
Tersenyum disisi penghibur hati,
Wajar sesalan dulu itu tiada,
Andai sabar dengan hikayat,
Di hujung kisah bertemu nikmat.

 
-nomadmelayu
siulan pertama buat POSED, 
16 jam lalu,
Bait No. 48,
Syariq Siddiq,
Mansurah

Wednesday, December 19, 2012

Warkah: Muka 80

Buka Mata

Assalamualaikum,

Tadi ada perjumpaan dengan BKAN negeri Perak. Wakil-wakil pelajar dari Kaherah, yang sanggup serahkan waktu-waktu mereka untuk anak-anak kelahiran negeri Perak. Selain mereka, ada juga ramai kawan-kawan, kenalan-kenalan, yang mana dua puluh empat jam sehari milik mereka itu sanggup mereka serahkan sebahagian, demi orang lain. Terima kasih buat mereka-mereka ini.

Apapun, bulan Disember, penutup bagi tahun 2012 ini, banyak mengajar dan mendidik. Tinggal lagi sama ada pengajaran itu sampai. Tinggal lagi sama ada didikan itu diterima.

Tergerak hendak menulis.  Kalau baca jangan lupa nada rap ala-ala Altime, sebab masa menulis memang terasa macam nak menyanyi, haha.

bukan kah kita dulu begitu teruja untuk melihat?

Buka Mata

Buka mata,
Kamu bukan siapa siapa,
Hanya hamba fakir diberi nikmat sementara.

Buka mata,
Kamu bukan siapa siapa,
Hanya khalifah diuji dengan sebuah dunia.

Buka mata,
Kamu bukan siapa siapa,
Beza warna bangsa untuk kenal mana sama.

Buka mata,
Kamu bukan siapa siapa,
Hikmah itu kelat kerana manisnya ada disyurga.

Maka,

Buka mata,
Jangan lupa kamu siapa,
Hamba bukan tuhan untuk sembahan manusia!

Buka mata,
Jangan lupa kamu siapa,
Khalifah pembina bukan peniup sangkakala!

Buka mata,
Jangan lupa kamu siapa,
Beza bukan bahan untuk tunjuk siapa kuasa!

Buka mata,
Jangan lupa kamu siapa,
Telan racun dunia azab akhirat baik bersedia!

Maka,

Buka mata,
Kamu bukan siapa siapa,
Jangan ajal memanggil terus rapat pintu taubat.

Buka mata,
Jangan lupa kamu siapa,
Masa cukup singkat guna penuh untuk berkat.

Buka mata,
Saya bukan siapa siapa,
Hanya hamba daif yang juga perlu untuk beringat.

Buka mata,
Jangan lupa kita siapa,
Sebelum noktah bicara elok kita duduk bernasihat.

-nomadmelayu-
Bait No. 48
Syariq Siddiq,
Mansurah













p.s: Selamat berjuang buat kawan-kawan untuk peperiksaan akan datang! Doanya semoga kita berjaya, sebagai pengubat jasad, dan juga sebagai pengubat rohani!




Saturday, December 1, 2012

Warkah: Muka 79

Arif | Aref

Assalamualaikum,

Arif | Aref

Nama ku Arif, | Nama ku Aref,
Lahir ku penuh kasih sayang, | Lahir ku penuh kasih sayang,
Anak kedua dari lima orang, | Anak kedua dari lapan orang,
Walau jujurnya ku harap kumbang bukan seorang, | Walau jujurnya ramai sebelum ku syahid di serang,
Namun ku bahagia cukup tenang | Namun ku bahagia cukup tenang

...

Aku lahir di negara permai, | Aku lahir di negara bergolak
Tanah merdeka, tiada tersekat | Tanah dirampas, hak tersekat,
Asalkan patuh pasti selamat, | Namun tetap kami melawan,
Kadang kala mungkin terasa, | Terdidik jiwa yakin bahawa,
Bebasnya jasad, terhamba hati? | Bebas hati walau terikat jasad!

...

Terhibur sungguh hati ini, | Terhibur sungguh hati ini,
Dendangan lagu asyik sekali, | Alunan Quran di malam hari,
Sungguh hati penuh terisi, | Sungguh hati penuh terisi,
Dengan hiburan matlamat hakiki, | Dengan kalam dari Ya Rabbi,
Kadang terasa kosong di hati, | Tiada gusar, tenteram di hari,

...

Hari ini ku rasa tidak senang, | Hari ini ku ketawa riang
Apalah ustaz-ustaz ini, | Apalah askar-askar itu,
Ceramah agama tak henti-henti, | Yang cinta dunia takut mati,
Biarkan sahaja kami ini, | Sedang kami mengerja syurgawi,
Hidup sekali, apa kami rugi? | Mati dunia, apa kami rugi?

...

Hari ini ku telingkah, | Hari ini ku telingkah,
Antara makanan A atau makanan B, | Antara nyawa ku atau nyawa Abi,
Sungguh ku tidak mengerti, | Sungguh ku tidak mengerti,
Akan keras pendirian adik ku ini, | Akan keras pendirian ayah ku ini,
Ada apa pada pemboikotan ini? | Mengapa perlu dia yang melindungku?
Mengapa dia berkeras hati? | Mengapa dia yang harus mati?

...

Takdir Ilahi tersusun indah, | Takdir Ilahi tersusun indah,
Bertemu aku dengan saudara ku, | Bertemu aku dengan saudara ku,
Di bumi asing yang belum ku kenali, | Di tanah pertiwi yang cukup ku kasihi
Meski nama ku sama, | Meski nama ku sama,
Namun kisah kami berbeza, | Namun kisah kami berbeza,
Selamat ke Gaza, ujarnya pada ku gembira | Dari Malaysia, gembira ku sambutnya,

... 

Sungguh kini baru ku sedari, | Sungguh kini baru ku sedari,
Bertapa bertuahnya diri ku ini, | Bertapa bertuahnya diri ku ini,
Dugaan Aref lebih besar untuk digalasi, | Dugaan Arif lebih besar untuk digalasi,
Apa mungkin dapat ku hadapi,
Dugaan sama jikalau terkena padaku ini?

...

-nomad melayu-
Bait No. 48,
Syariq Siddiq,
Mansurah.


p.s: asalnya nak buat ala-ala karangan atau sketsa...hmm..takpa la, asalkan yang terbuku dihati diluahkan. Selamat Malam!