Monday, February 18, 2013

Warkah: Muka 91

18032013

Assalamualaikum,

Maaf lebih banyak ku bisu,
Maaf jasad ku beku bagai batu,
Terlalu banyak syaitan di sisi ku,
Bisikan qasidah perit dan pilu.
Dan jujur aku sedikit terkesan,
Lirikan merdu maknanya menekan,
Sedut semangatku hilangnya entah,
Asalnya tabah kian rebah.

Maka ku pohon titipkan masa,
Walau seulit untuk bertapa,
Ku ingin menangis pada yang Esa,
Mengeluh mengadu pada Raja semua,
Kerna aku tanpaNya tanpa apa-apa,
Dialah Memberi, Dialah tempat meminta,
Ku mohon BerkatNya dekat,
Ku mohon agar RedhaNya erat.

...
(tiada lagi tulisan atau nukilan, maaf aku perlu bersendirian)


...
~nomadmelayu~
tatkala petah memberi semangat,
tak disangka hilang milikan diri,
kini dalam proses mengutip kembali.

Saturday, February 16, 2013

Warkah: Muka 90

Kadang kala

Assalamualaikum,

source: Google


Kadang kala,
Aku juga rasa lelah,
Aku juga rasa perit,
Aku juga rasa lemah,
Letih, ampuh, rapuh.

Aku juga ada rasa itu,
Aku juga hamba tiada daya.

Kadang kala,
Aku juga rasa lebih enak tidur,
Aku juga rasa lebih baik undur,
Lebih sedap kalau mengalah,
Beralah, diam, tak mengapalah.

Aku juga ada rasa itu,
Aku juga hamba tiada daya.

Kadang kala,
Aku persoal tindakan ku,
Aku persoal tutur bicara ku,
Aku menyangkal hasrat murni ku,
Mengapa perlu semua itu?

Aku juga ada rasa itu,
Aku juga hamba tiada daya.

Cumanya,
Aku dahulu pernah janji setia,
Menjadi hambaNya taat, patuh sentiasa,
Tak mudah rebah, jatuh dan sujud,
Melainkan kucup bibir ke bumi kernaNya.

Aku juga tahu semua itu,
Aku hamba daya izinNya

Cumanya,
Aku dahulu sudah sedia tahu,
Khalifah bumi itu bukan keldai tapi aku,
Tegak agama itu bukan unta tapi aku,
Kejar redha bukan sekadar ulama tapi aku,

Aku juga tahu semua itu,
Aku hamba daya izinNya

Cumanya,
Aku maklum akan pentas dunia,
Andai tak hanyut maka sakit rasa ombaknya,
Namun harus terus gah melawan dugaannya,
Kerna ku pemimpin bukan lembu bertali hidungnya.

Aku juga tahu semua itu,
Aku hamba daya izinNya

Aku hamba daya izinNya

Aku hamba daya izinNya






p.s: Aku rasa lemah, barangkali itu tanda aku jauh dariNya. Astagfirullah. Kena kuatkan semangat untuk akan datang! Untuk diri, untuk keluarga, untuk rakan-rakan, untuk semua!

Saturday, January 12, 2013

Warkah: Muka 89

Bayang

Add caption
Assalamualaikum,

Aku takut, andainya satu hari nanti aku jadi seperti bayang-bayang. Satu makluk hitam, tampak seram. Mengikut dari belakang, seolah-olah menunggu waktu untuk terkam. Tidak punya wajah, mahupun bentuk yang tetap, sehingga sukar untuk manusia menafsir, apatah lagi mengagak gerak geri yang diatur. Barangkali tangan yang dihulur, tiba-tiba menjadi cabang-cabang duri yang menghiris orang yang menghulur.

Aku takut kalau aku ini bagai bayang-bayang, ngeri dalam jaga mahupun tidur, juga peneman yang tak diingini tatkala sunyi. Penghasut, penbawa duka, pemuram suasana. Menambah cuka dalam hubungan, penambah luka dalam perselisihan pandangan. Menjadi fitnah, penabur fitnah.

Kadang-kadang dalam meniti hari, aku rasakan seolah-olah akan semakin menghampiri bayang-bayang. Seolah tangan kaki semakin hitam, merebek cepat melalui liang-liang dan urat-urat, merapati dan membaluti hati. Bagaikan sudah penuh diri dengan dakwat hitam, tinggal lagi di kuasai dan menjadi gila dalam diri.

Banyak kali aku fikir cara untuk hilangkan bayang ini, sebelum aku adalah ia dan sebelum ia adalah aku. Sebelum terlambat.

Aku lupa, aku ingat dan beringat dan barangkali lupa kembali.

Bahawa bayangan ini mampu dikawal. Bayangan ini boleh ditepis jauh dari diri.

Barangkali kalian juga tahu bukan? Barangkali kalian lupa juga bukan?

Prinsip mudah dalam Fizik.

Bayang terbentuk dari cahaya.

Kegelapan wujud adalah dengan kerana ketiadaan cahaya.

Dengan cahaya, bayang boleh dikawal, malah dibentuk.

Kecil, besar, dekat, jauh, belakang atau depan.

Tinggal lagi, dimana letak cahaya itu?


"Dengan Kitab itulah Allah Memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah Mengeluarkan orang itu dari gelap gelita kepada cahaya dengan izinNya, dan Mununjukkan ke jalan yang lurus."
                                                                                        al-Maidah, ayat 16 








p.s: Aku mahu baca, baca dan terus membaca. Hanya dengan ilmu, manusia tidak buta. Hanya dengan ilmu, badan disirami cahaya. Moga diberi kekuatan, dan moga diri sentiasa beringat untuk ingat dan ingat untuk beringat.

Wednesday, January 9, 2013

Warkah: Muka 88

Kabus Dingin

Assalamualaikum,

 Kabus Dingin

Kabus dingin di pagi hari,
Asap berkepul keluar menari,
Walau sejuk menerkam jemari,
Hati terhibur melihat kondensasi.

Kabus dingin di pagi hari,
Kemuncak sejuk kian hampiri,
Rancak tetap di waktu pagi,
Seolah musim tidak dihargai.

Kabus dingin di pagi hari,
Nikmat yang mudah dilupai,
Kelak musim mula berganti,
Syukur belum keluhan dahului.

Kabus dingin di pagi hari,
Naik mentari hilanglah pergi,
Duduk ku renung memohon Ilahi,
Janganlah Iman seperti kabus pagi.


~nomadmelayu~
Bait No. 48,
Syariq Siddiq,
Mansurah.



p.s: antara mahu tak mahu untuk mandi pagi, namun perlu tetap perlu, kerana ada imtihan kurang dua jam lagi.

Warkah: Muka 87

ISU
Assalamualaikum,

Isu

Isu, isu, isu,
Tak sudah satu,
Bangkit yang baru,
Solusi tak pernah tahu,
Melalak macam hantu,
Akhirnya semua buntu,

Kesian mata buta itu,
Terikut tanpa arah tuju,
Ada yang tahu,
Tapi cuma mampu bisu,
Biar hantu seronok dulu,
Menang dalam menipu,

Kemudian tiba waktu sang tahu,
Cungkil yang sembunyi bawah batu,
Terkebil hantu hantu,
Terasa mati kutu,
Hendak melawan...mampu?

Akhirnya dibangkit isu isu,
Biar yang lapok atau baru,
Gigil harap aib ghaib begitu.





p.s: duduklah sepakat, barulah berkat

Monday, January 7, 2013

Warkah: Muka 86

Bosan+Beban 

Assalamualaikum,

dulu, ada kawan pesan.

Selamat menjalani kehidupan yang bosan dan beban.

Tapi tu bergantung.

Pada bagaimana anda mendefinisikan hidup anda sendiri.





p.s: 90:4 dan 94:5, 94:6. Ambil iktibar.

Saturday, January 5, 2013

Warkah: Muka 85

Infiniti

Assalamualaikum,

Infiniti
Mari kita mengejar infiniti,
Kerana makhluk sempit dalam imaginasi.
Kerana yang berhitung punya had tak dapat dibatasi.
Kerana dia tak mungkin mampu beri semua yang dihajati.
Kerana waktu mampu merubah yang elok jadi basi.
Kerana isi dunia suatu masa pasti luput dan mati.
Kerana pentas hanya ilusi bagi yang buta hati.
Kerana sini hanya bekalan untuk yang abadi.

Mari kita mengejar infiniti.
Yang Maha Mengasihani.
Yang Maha Abadi.


-nomadmelayu-
Bait no. 48
Syariq Siddiq
Mansurah

Tatkala otak tegang serabut akan limitasi pada informasi.
Perang sarang bakal mendatang. Doakan.