Monday, February 7, 2011

Warkah: Muka 27

Imam yang Baik?

Assalamualaikum,

Mengambil sedikit masa untuk rehat selepas usai sedikit kerja-kerja yang diberi, saya membuka laman formspring.com untuk melihat sebarang soalan yang diberikan oleh sesiapa.

Biasanya, soalan-soalan yang diberikan adalah berbentuk suka-suka dan santai, barangkali boleh dikatakan remeh. Mohon maaf kiranya ada pembaca yang tersinggung hati.

Tetapi, pagi ini saya disambut dengan satu soalan yang tidak disangka. Maka berikut adalah jawapan saya.


Jawapan itu, bukanlah ditulis atas dasar rendah diri, malahan ianya atas dasar SEDAR DIRI.

Sedar, akan lemahnya diri ini.

Walaupun mungkin tampak hebat dalam kepimpinan kelab atau kelas (Hebatkah? Bagi saya belum lagi), namun harus saya akui, saya masih belum layak menjadi imam.

Imam, pada pendapat saya, adalah dua;

Pertama adalah ketua. Sama ada ketua negara, negeri, daerah, kampung, pekan, organisasi mahupun kumpulan dan kelas.

Kedua adalah ketua rumah tangga, suami.


Untuk ketua, menurut apa yang saya baca daripada laman ini, terdapat empat syarat untuk seseorang itu menjadi ketua.

Pertama, dia mesti punya iman.

Kedua, dia mesti punya ilmu kepimpinan.


Ketiga, dia mesti mampu memimpin diri sendiri.


Keempat, dia mesti pandai berkomunikasi.

Keempat-empat syarat ini, MESTI dipunyai oleh seorang pemimpin.

Mengikut garis panduan Islam pula, seorang pemimpin haruslah:

1. Niat Yang Ikhlas

2. Lelaki

3. Tidak Meminta Jabatan

4. Berpegang Dan Konsisten Pada Hukum Allah

5. Memutuskan Perkara Dengan Adil

6. Senantisa Ada Ketika Diperlukan

7. Menasihati Rakyat

8. Tidak Menerima Hadiah

9. Mencari Pemimpin Yang Baik

10. Lemah Lembut

11. Tidak Meragukan

12. Terbuka Untuk Menerima Idea & Kritikan

Saya syorkan kalian membaca blog ini untuk huraian lanjut.

Maka, itu adalah syarat-syarat dan garis panduan untuk menjadi pemimpin/imam.

Bagi menjadi suami yang baik pula, perlu kita lihat akan ciri-ciri calon suami pilihan muslimah. Sudah pasti, bagi seorang perempuan yang baik, ciri-ciri ini akan menjadi keutamaan:
  • Kuat agamanya
    Biar sibuk sekalipun, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang taat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin. Utamakanlah pemuda yang jujur membimbing dan memelihara iman anda.
  • Baik akhlaknya
    Ketegasannya nyata tetapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara. Mudah di bawa berbincang. Tidak terlalu berahsia.
  • Tegas mempertahankan maruah
    Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam? Adakah dia jujur sebagai pelindung maruah seorang perempuan?
  • Amanah
    Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.
  • Pemurah tetapi tidak boros
    Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dan harta dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.
  • Tidak liar matanya
    Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.
  • Terbatas pergaulan
    Sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah jadi fitnah orang, tetapi dia tidak mengamalkan cara hidup bebas.
  • Rakan pergaulannya
    Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Sebaik-baik teman adalah teman yang soleh.
  • Bertanggungjawab
    Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika ibubapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tidak bertanggungjawab.
  • Tenang wajah
    Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.
Sering kaum lelaki (merujuk kepada diri sendiri terutamanya) menyatakan hasrat mereka akan ciri-ciri calon isteri pilihan mereka. Kami, saya, akan mengatakan, "Seorang isteri itu HARUSLAH sekian sekian".

Tetapi, dalam diri ini sibuk "mencari", lupa akan diri untuk sebaliknya "menjadi" pilihan mereka yang "dicari".

Apa gunanya, andai kata usaha menjadi yang terbaik itu hanya pada sebelah pihak sahaja?

Bukankah, memberi itu lebih baik daripada menerima? Jadi, apa salahnya kita "memberi" diri kita sebagai insan, imam, yang terbaik, daripada terlalu mengharap agar "menerima" seseorang yang baik?

Ini ada satu artikel menarik untuk tatapan semua:

MENCARI ATAU MENJADI?

“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya”, kata seorang mahasiswi.

“Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!”, tegas seorang mahasiswa.

Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?

Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?

Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita pada benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.

Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.

Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.


Maka, buat penanya soalan, beginilah jawapan saya.

Saya, atas dasar SEDAR DIRI, mengakui saya belum layak menjadi imam yang sebenar-benarnya. Terima kasih atas soalan itu, ianya cukup memberi pengajaran. Mohon, doakan saya agar dapat menjadi imam seperti yang dicirikan di atas.

Maka, buat diri, moga ambil ikhtibar. Jangan terlalu lalai dan leka, kerana masa akan berlalu begitu sahaja. Teruskan usaha, tawakal.

Moga diri ini dapat menjadi imam yang soleh. Amin.

1 comment: