Friday, December 23, 2011

Warkah: Muka 56

...

Di sini, pagi adalah sejuk dan malam adalah beku.

Tapi hidup tidak sentiasa begitu.

Hidup tidak selalu dingin kaku dan bisu.

Sejuk dalam hidup kadangkala nyaman, kadang kala sehingga sakit setiap sendi dan urat.

Panas dalam hidup kadangkala selesa, kadang kala sehingga perit dan pedih.

Takkan mungkin hidup dilalui hanya untuk bahagia.

Mesti, dan barangkali kerap sekali dugaan menduga.

Tak siapa suka akan sengsara.

Tapi... bukan dengan itu, baru manis itu punya rasa?

Sabar wahai diri.

Anda tidak maju kalau anda tidak diuji.

Terima apa yang mendatang.

Hadapi.

Dan langkah dengan berani.

Hadapi.

Dan bukti anda itu lelaki!

Sunday, December 4, 2011

Warkah: Muka 55

Sepi

"Hapus air mata mu dan jangan bersedih lagi"



...


Aku, punya harapan bahawa akan ada yang menyambung lagu di atas...

"Aku disini, menemani mu, melukis hari"

...

Saturday, December 3, 2011

Warkah: Muka 54

Kembali

Assalamualaikum,

Hari ini adalah hari Ahad, berbaki 8 minit sebelum jarum panjang menghala 12 dan jarum pendek turun ke 5. Pagi. Subuh memanggil. Ini adalah situasi sekarang di Mesir.

Agak lama, saya kira, untuk saya meninggalkan blog ini; penulisan lebih cenderung kepada blog utama saya.

Sedikit pengkabaran dari Mesir. Andai saya tidak silap menghitung, saya kira sudah 68 hari saya menjejak kaki ke Mesir. Lebih dua bulan. Namun makanan ruji tetap lah nasi, bukan roti. Lagu pilihan masih lagu-lagu yang dibawa daripada Malaysia, bukan lagu mendayu-dayu yang dinyanyikan oleh penyanyi dari Benua Afrika ini. 2 bulan berlalu itu hanya sekadar cuba menyesuaikan diri dengan sistem di sini. Atau barangkali itulah kehidupan pelajar perubatan, di mana jua mereka berada. Bangun pagi, kuliah, balik, makan, mengadap buku, dan tidur. Tiada lain. Jadual yang seolah-olah telah direncana terlebih dahulu kepada mereka-mereka yang bakal menyarungkan lab coat putih bersama stethoscope tersemat di atas bahu. Keluh pun tiada guna, ini adalah pilihan hidup. Ingin bersedih akan putaran hidup yang kini kembali kepada fasa pertama pelajar perubatan, kembali kepada tahun pertama, kembali kepada pengajian asasi, kembali kepada mengenali what is cell dan what is the medical terminology dan what is the overview of systems in the body dan sebagainya, adalah satu perbuatan yang sia-sia. Hanya satu pembaziran ATP, mahupun kerahan kerja lebih kepada darah-darah supaya bergerak lebih ke otak dan menghantar lebih banyak oksigen kepada sel di gray and white matter hanya semata-mata untuk mengeluh resah akan pilihan diri adalah sesuatu yang kurang Arif untuk dilaksanakan oleh diri yang nama sewajarnya mempamirkan kebijaksanaan.

Di sini, di bumi yang bertuah ini, adalah satu kerugian jika tidak dicapai segala ilmu yang melimpah ruah di sini. Dan malang sekali, diri memang masih tergolong dalam golongan kerugian. Masih ada anak-anak kecil dalam minda yang lebih gemar hiburan dan tidur berbanding keluar meredah udara sejuk di Mesir yang semakin menghampiri musim sejuk (barangkali sudah musim Sejuk, sekadar belum kemuncaknya) untuk duduk bersama menimba ilmu. Nukilan hari ini, adalah untuk peringatan pada diri agar kejar apa yang patut, dan bukan pada apa yang tidak.

Sedikit pendapat pada apa yang dipandang dan dilihat mahupun didengar. Tidak perlu lah kita tertumpu perhatian kita kepada penduduk-penduduk Mesir di sini kerana benar, mereka itu barannya lain, benar, kasar mereka itu lain, dan benar, adab mereka itu juga jauh berbeza jika di bandingkan dengan kita. Mereka  Mesir, kita Malaysia. Maka buat apa terlalu merungut pada sesuatu yang memang terlalu berbeza. It's like comparing between an apple and an orange. Madah sesorang kepada ku dahulu, tapi atas sesuatu situasi yang lain. Tapi harus ku akui, ini adalah sesuatu yang terlintas di kepala selepas puas merungut akan orang-orang Arab. Sedih, diri ini mudah lupa. Lepas habis puas lepas geram, madah dendam, perlaku kejam, baru nak beringat dan menjadi pendakwah. Kesian. Oleh itu, tidak salah juga, selepas usai menyesal atas tersilap kata dan berburuk sangka, kalau kita cuba kenal sisi putih masyarakat sini, yang mana perpaduan dan keakraban dilihat sesuatu yang sangat kuat di sini. Dengan perpaduan, mereka berjaya menggulingkan pemerintah yang zalim. Dan dengan perpaduan, kini Mesir dalam fasa pilihan raya, memilih masa depan mereka sendiri.

Apa yang pasti, mereka lebih kenal Tuhan dengan mereka lebih memahami apa terkandung dalam Al-Quran. Aplikasi? Itu soalan yang mereka perlu jawab, tidak perlu kita mengulas panjang. Kita urus kita dahulu, baru fikir orang.

Kalau hendak bersembang dan menulis lagi tentang politik atau masyarakat tempatan di Mesir, maka akan lebih berdenyut kepala yang sudah pun berdenyut sejak semalam.

Tidak berminat ke arah itu, tumpuan lebih kearah pelajar Malaysia di sini. Bukan, bukan ingin mencari jodoh. Adalah sesuatu yang kelakar apabila itu adalah perkara yang sering dibangkitkan oleh pelajar-pelajar di sini. Mungkin jarak pemisah bersama insan tersayang di Asia Tenggara itu menjadi penyebab kepada pemikiran sebegini. Entah la. Entah kenapa perlu dibangkitkan dalam blog ini juga adalah satu persoalan yang mungkin tidak perlu kan jawapan. Entah la.

Pilihan raya perwakilan pelajar di sini semakin dekat, dan ianya adalah sepanas pilihan raya di mana sahaja. Kelakar juga tengok apabila manusia kelihatan berubah kepada sesorang yang lain, baru daripada kebiasaan. Atau mungkin hanya ilusi sendiri, yang lebih banyak memandang ke bawah daripada menatap manusia-manusia, bukan kerana malu atau merendah diri atau inferior complex atau sebagainya, tapi lebih kerana untuk menjaga langkah, awas kerana khuatir terpijak tahi keldai dan kuda yang ada dimana-mana sahaja.

Sekarang adalah waktu subuh dan adalah sia-sia jika penulisan ini didahulukan sebelum solat.

Insyallah, penulisan akan datang akan hadir dengan sesuatu yang lebih bermanfaat.

Thank you for reading this random rant. Have a great day.

:)





Hampir terlupa, niat asal adalah untuk menulis tentang khabar diri. Saya di Mesir, sihat alhamdulillah. Sedikit rindu akan Malaysia. Sedikit pening dengan manusia. Sedikit letih dengan kerja. Tapi selain itu, biasa-biasa sahaja. Sekian. :P

Sunday, October 9, 2011

Warkah: Muka 53

Sudut berbeza

Assalamualaikum.

Hari ini ada sedikit kejadian yang kurang menyenangkan.

Oleh sebab itu tidak perlu untuk diceritakan. Cuma, kejadian ini membuatkan diri terfikir akan manusia-manusia dan bagaimana kita memiliki pandangan dan pendapat yang pelbagai. Dari sudut yang berbeza.

Ambik contoh mudah, persepsi sebelum berangkat ke Mesir adalah berbeza dengan persepsi sesudah tiba. Jauh berbeza. Belum kira lagi sekiranya panjang umur, dan menetap di sini dengan lebih lama.

Contoh lagi, pelajaran. Perkataan itu jika dieja, setiap mulut akan menuturkan huruf-huruf yang sama. Mula dengan "P" dan di akhiri dengan "N". Namun, setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza akan pelajaran. Mungkin asas yang sama, tetapi acuan pemikiran yang berlainan.

Apa pun, diharap sesuatu yang baik itu mampu diteruskan dan sesuatu yang tidak itu, moga terhenti setakat masa ini. Tidak perlu diulang di masa hadapan, malu kepada Tuhan yang memberi rahmat.

Malam ini, dikatakan bulan kelihatan sangat cantik di Malaysia. Itu dari sudut mereka yang di Malaysia. 

Di Mansoura, bulan kelihatan sama. Tiada gelang halo di sekeliling bulan. Malahan disini bulannya tidak begitu bulat. Ada yang tersembunyi di balik bayangan.

Apa kalian fikirkan, melihat bulan cerah dilangit hitam pada malam ini?

Adakah sama, dengan apa yang terlintas di diri ini?

Thursday, September 29, 2011

Warkah: Muka 52

Warna Warni Hidup

Assalamualaikum.

Hari ni niat nak tengok bintang terbatal. Ada tengok sekejap. Subhanallah, sangat cantik. Meskipun tak tahu apa nama gugusan-gugusan bintang yang terhias di langit, namun sekadar melihat kilauan-kilauan di balik gelap malam pun cukup buat hati terhibur.

Apa pun, niat untuk terus star-gazing terbatal dek amarah yang mendatang.

Kesian siapa yang terkena.

Rasanya diri ni masih lemah. Tak mampu mengawal emosi. Tak mampu mengguna akal dengan sebaik mungkin.

Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum berangkat ke Mesir. Memang habiskan masa bersama adik-adik dan mak dan nenek dirumah. Tambah ayah, yang baru tiba hari ni.

Kalau di sini, memang ragam macam-macam. Kadang-kadang ceria, kadang-kadang keanakan, kemudian matang dan dewasa, kemudian gila-gila, kemudian sedih, atau marah dan bengang. Tapi, tak pernah satu emosi itu tinggal lama, pasti ada kitarannya.

Itulah manusia, saya kira.


Maka, terdetik di pemikiran, bagaimana manusia boleh bersengketa? Bukankah kilaf itu sifat manusia, bukankah alpa itu juga manusia? Bukankah manusia adalah mustahil daripada sempurna, dan bukankah hati masing-masing adalah berbeza? Citarasa, pemikiran, pandangan, persepsi...semuanya bukan dari kilang yang sama dengan bar code yang serupa, meskipun hampir 99% isi manusia adalah sama.

Kenapa susah manusia nak terima kelemahan sesama sendiri? Atau bermaafan tatkala ada kesalahan, menerima disebalik kekurangan.

Itu adalah aku tadi. Terlalu tergerak mengikut emosi.

Cakap di mulut, tapi perbuatan tak serupa. Bagaimana hendak menjadi contoh?

Langit hari ini gelap.

Ada sedikit bintang yang memberi harapan.

Harapan, agar esok segala terang benderang semula.

Senyuman yang hapus bakal kembali semula.

Bila lagi, untuk kami bergurau senda?


Monday, September 12, 2011

Warkah: Muka 51

Contengan Jalanan

Assalamualaikum,



Ulasan bagi novel ini?


Boboiboy pernah cakap dah. Dia cakap,


"TERBAIK"

Perlu lagi ke untuk diulas?

Novel ini adalah dwi novel, kelihatan seperti meniru gaya novel terbaru Andre Hinata. Untuk membaca novel ini, anda perlu mulakan pada I. Fend (I tu 1 dalam tulisan Roman) dan disusuli II. K2.

Novel ini membawa kita kepada perjalanan hidup dua orang watak utama, Fend dan K2 yang merupakan kawan baik. Pendapat saya, Hlovate (penulis) memberikan nafas baru kepada penulisan novel Islamik apabila mengisahkan dua orang yang berlatar belakangkan pelajar jurusan Seni di sebuah Universiti tempatan. Selalunya, watak dalam novel-novel Islamik ini di monopoli oleh watak pelajar jurusan agama atau yang mahir dalam agama, ini pula berbeza.

Selain itu, penulis membawa kita kepada nilai-nilai masyarakat di desa yang meskipun tidak secanggih dan sehebat bandaraya seperti KL, namun kaya dengan adat dan tatatertib.

...

Pendek kan cerita, timeline kisah di novel ini adalah sebelum, ketika dan selepas Ramadhan (rasa berbaloi beli masa Ramadhan lepas, tapi kesal tak dapat dihabiskan baca sebelum Raya) dan perjalanan hidup dua watak ini yang ingin mencari erti hidup sebenar dapat dilihat dipengaruhi oleh beberapa faktor dan individu.

Lia

Chad

dan baris kata,


"The man that decided to change on the 12th hour died on the 11th"

Nak tau lebih lanjut? Baca.

Reed and heed.








p.s: seriously, I'm at my worst when it comes to writing review...sigh

Warkah: Muka 50

Demi masa lalu

"sometimes, all we need is a step back in time, to move forward"

Assalamualaikum,

Hari ke...hari ke-4 di rumah ku syurga ku. Tak banyak aktiviti pun, separuh hari terluang semata-mata nak pastikan kereta warna ungu tak ungu tu (macam kelabu pun ada) berjalan dengan baik pada masa akan datang.

Rasanya lepas ini akan resume kerja masa cuti-cuti lepas SPM dan Matrik dulu:

House-lad (nak sebut suri rumah seram semacam pula), driver, cook, dispatcher, entertainer

Kerja akhir sekali tu tak wajib pun, entah-entah tiada sorang pun nak.

Tapi takpa, ikhlas dari hati.

Bila lagi si adik si emak ni nak tengok lagak abang dia yang gila-waras ni?

Hadir malam, banyak luang masa depan kotak besi ni.

Rasa rindu juga masa belajar dulu, ada juga la kerja dan tugasan nak kena selesaikan. Kalau tak, belek buku novel ilmiah, nak belajar la katakan. Tapi tak mengapa, untuk itu pasti akan ada, di masa hadapan.

Usai makan malam, mak ajak teman dia lipat kain jap. Mulut nak keluar seribu satu alasan (malas punya budak), tapi akur saja la dengan permintaan. Takut nanti tambah tanda seru pula pada second call mak.

Bila mak tanya pasal annual dinner "Vintage kan?", kaku kejap badan. Jamuan fakulti yang susah gila nak dibuat tu, yang faham akan kesungguhan kawan-kawan mahupun junior yang nak buat tu, ada kebarangkalian besar tak dapat nak dihadiri.

Banyak benda kena korban.

Kemudian bila mak recommend lagu-lagu vintage siap tunjuk satu dua demo, kaku balik badan. Rasa macam deja vu pula. Bila pernah rasa suasana macam ni ye? Em, rasa terbawa kembali zaman kecik-kecik dulu, manja melebih nak tidur minta dilagukan.

Well, that ain't a lullaby, but everything you do is soothing. 

Tak terluah pula, simpan dalam hati. Agaknya kalau pakai ayat ni kat marka (bahasa orang Penang, maksudnya kekasih) agak-agak cair tak? (gelak)

Terima kasih mak, sebab baik balik ke masa silam. Patut rakam, buat pembakar semangat. Entah patut ke tak buat macam tu. 

Separuh bulan lagi. 

Masa untuk tidak membazir masa.









p.s: sebenarnya nak ulas novel Contengan Jalanan...but then again, I'm bad at giving review, haha


Thursday, September 1, 2011

Warkah: Muka 49

Hari Raya, Kahwin, dan Pening

Assalamualaikum,

Tak sangka pula hari raya tahun ni boleh kena demam. Aiseh...otak dah pening, sudah la ada lagi kerja yang belum disiapkan. Padah akibat last minute. Padan muka.

Apapun, hari raya tahun ini mesti disambut sebaik-baiknya. Bukan segila-gilanya, sebaik-baiknya. Ala kadar, tapi kalau boleh diri nak ingat+rakam semua kenangan yang ada. Entah tahun depan dapat lagi ke tak.

Semalam selamat sudah seorang lagi abang sedara jadi suami orang. Diri dari awal pagi tadi, walaupun tak berapa sihat, sanggup ambik kamera ayah dan volunteer jadi photographer tak bertauliah.

Memang tak bertauliah langsung, but I enjoy snapping pictures nonetheless.

"Arip tak ada kamera", kena rephrase oleh ayah. Baik punya perli.

Itu la, bila nikmat ada, kita abaikan, tak jaga elok. Bila dah langsung kena tarik, baru menyesal.

Dalam kes diri, si L11 yang menjadi kenangan dan ingatan. Tapi tu kisah lama.

Pening ini masih ada. Tapi bukan sekadar disebabkan blood vessel dilatation di otak akibat peningkatan suhu badan selari dengan pengaktifan sistem imuniti badan melawan penyakit.

Pening ini dedikasinya kepada masa hadapan. Masih ada kerisauan.

Bukan takut salah pilih. Cuma takut pilihan tak menjadi.

Apapun, Allah Maha Menentukan.

Selamat Berhari Raya semua. :)

Wednesday, August 24, 2011

Warkah: Muka 48

Hitam

Assalamualaikum,

Sedikit coretan sebelum berhempas pulas menyiapkan tugasan akhir.

Alhamdulillah, semakin hari, semakin mengakhiri pengajian tiga tahun.

Hari-hari akhir ini, andai tidak ditemani suram akibat pedih sebuah pengakhiran yang bakal mendatang, maka akan "diserikan" pula dengan tugasan-tugasan akhir yang memeritkan setiap salur-salur merah biru di dalam badan.

Juga kerisauan akan sebuah penantian dan harapan. Usaha dilaksanakan, dan doa diutuskan. Moga semuanya baik-baik sahaja.

Namun ada juga kegembiraan.

Alhamdulillah, hitam itu menawan.

Hitam sudah penglihatan akan sesuatu yang tidak wajar dilihat. Hadir cahaya akan perubahan seorang teman. Doa moga istiqamah dan kuat dalam meneruskan perubahan.

Hitam adalah warna dilangit malam, namun terang suasana dengan gelak tawa dan hadirnya rakan-rakan. Mungkin kelak tiada lagi sebegini, namun memori ini tak mungkin akan mudah padam.


Hitam itu memberi senyuman. Dalam terharu dan gembira, kerana ada harga pada diri yang dihargai.

Terima kasih.

Itu sahaja mampu ku lakarkan.

Terima kasih.

Syukur. Terima kasih.








p.s: (mengeluh)...ayat yang ditulis ni bunyinya merepek. Mohon abaikan andai membacanya hanya memeritkan mata (gelak)

Friday, August 19, 2011

Warkah: Muka 47

Quartet

Assalamualaikum,

source: Google


Baru sahaja petang tadi usai membaca buku ini. Ini pertama kali baca buku karya Saidatul Saffaa. Entah la, kadang-kadang datang angin membaca genre triller, kadang-kadang datang angin membaca novel...jiwang?

Novel ini, dalam kategori jiwang ke?

Entah la, susah nak kelaskan novel-novel melayu ni. Sebab hampir semua yang dibaca akan diselit unsur romantis ke dalam. Tak sah, macam tak sah hidup diri kalau tak minum susu...erk, tak da kaitan. (mula dah nak merepek)

Apa sekalipun, pujian diberikan kepada penulis kerana berjaya mengarang novel yang pada pendapat saya, punya jalan cerita yang menarik. Tapi, seperti biasa, sifat skema dalam diri ini tidak sudah-sudah geram sebab gaya penulisan yang bersahaja dan tidak mengikut tertib dan tatabahasa Bahasa Melayu. Penulisan seperti blogger, bebas dan bersahaja.

Pada pendapat saya, watak utama dalam novel ini sangat menarik dan lain dari kebiasaan. Juga kisah bagaimana watak ini bermetamorphosis daripada individu luar biasa kepada individu biasa (luar biasa bermaksud luar daripada kebiasaan orang Islam). Saya yakin kisah yang dikarang ini mampu memberi semangat kepada para pembaca untuk turut berubah kearah kebaikan.

Sepanjang perjalanan kisah novel ini juga, kerap kali saya tertanya akan diri, "Adakah diri sedang berubah kearah kebaikan". Banyak juga nasihat-nasihat dari sahabat watak utama ini, Azra (spoiler) sebagai contoh seolah-olah terkena pada diri sendiri. Meskipun ini adalah kisah perjalanan hidup seorang wanita, namun pengajaran yang dapat diambil bersifat universal.

Tutup buku.

Tepuk buku, buang debu yang melekat.

Tapi hati yang berdebu ini, sudah ditepuk?







p.s: Saya bila pilih buku, kebiasaannya saya akan memilih berdasarkan rupa luaran dulu, sebab pada saya, "we can judge a book by it's cover, but don't judge too much before reading". Begitu juga prinsip dalam memilih kawan/teman. Penampilan itu sebenarnya penting. Cuma, definisi penampilan itu bukan hanya sekadar wajah dan rupa. Tidak salah kan?

Monday, August 15, 2011

Warkah: Muka 46

Islam is cool and Islam is the only way of life.



T.T

Lesson learnt, but will lesson apply?

Ya Rabbi, bimbinglah hambaMu ini.

Saturday, August 13, 2011

Warkah: Muka 45

Pilihan

Ya Allah, jika benar ini terbaik untukku, maka hapuskan ragu dalam jiwa ini. Ya Rabbi jika pilihanku adalah sebaliknya, berikan aku petunjuk dan jauhkan aku darinya...Hanya padaMu aku mampu berharap. Amin.

Aku yakin keputusan aku tepat. Tetapi ada sahaja angin-angin keraguan berhembus di telinga ini, menyisip masuk kedalam rongga dada ini, melingkari salur-salur di otak ini.

Aku perlukan keyakinan. Barangkali sekiranya aku bertindak, maka keyakinan itu akan hadir.

Insyallah.

Semoga diberi petunjuk.

Amin.


Thursday, August 4, 2011

Warkah: Muka 44

Kelakuan

‎"Kalau benda itu baik, ceritakan lah. Kalau benda itu tak baik, tak perlu lah"

Assalamualaikum.

Kadangkala, kita menyangka dengan menceritakan atau mendengar buruk orang lain, kita telah melakukan kebaikan. Sebab apa? Sebab alasannya kita mendapat pengajaran. Tapi, bukankah perbuatan kita itu sebenarnya salah? Apatah lagi kalau cerita itu ditokok tambah, atau jauh menyimpang daripada kebenaran. Secara tidak langsung, kita sudah mempunyai satu persepsi yang salah terhadap orang itu.

Bayangkan, kalau orang lain buruk sangka pada kita, apa pula perasaan kita kalau kita mendapat tahu?

Ayuh, kita latih diri supaya kurang berkata tentang keburukan orang. Lebih baik memuji. Kalau hendak menasihati, pastikan orang yang kita khabarkan pun ada sekali dengan kita. Itu barulah komunikasi yang efektif!

Andai tidak, tidak perlu kata apa-apa.

Senyum, jauhkan diri daripada "gossip".

Senyum, tak perlu kata apa-apa.

:)

Tuesday, August 2, 2011

Warkah: Muka 43

Stanza Cinta

Assalamualaikum.


Baru sahaja usai membaca novel Stanza Cinta karya Nurull Halawati.

Sedikit ulasan.

Rasanya novel ini layak untuk diri beri pujian. Tahniah! Bukan mudah untuk melihat karya Islamik, dan bukan mudah untuk melihat karya Islamik yang berkualiti, bukan sekadar novel jiwang melarat yang ada terselit sedikit unsur Islam dan moral.

Jalan ceritanya juga agak segar, dengan kesudahan yang tidak disangka-sangka.

Apa yang menarik pada pendapat diri, adalah novel ini kerap mempunyai unsur muhasabah diri. Seiring dengan perjalanan cerita, kita akan menjadi saksi akan sisi hidup watak utama bernama Amni Sorfina yang tidak lekang daripada dugaan hidup, dan bagaimana dia cuba meleraikan dengan cara terbaik; melalui agama. Cerita ini juga menberi gambaran akan senario biasa manusia yang tak lari daripada kesilapan dan kelemahan, bahkan mereka yang mempunyai ilmu agama juga tidak terkecuali.

Diri juga tertarik akan watak Irfan yang dalam mengejar cinta Amni, dia telah menemui cinta yang kekal abadi, iaitu cinta kepada Rabbi. Nyata perjalanan menuju redhaNya itu bukan mudah, dan novel ini memberikan gambaran hidup sebagai hamba Allah dengan sebaik mungkin.

Novelis yang merupakan anak keluaran UiTM serta giat dalam Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga menghiburkan diri apabila menyelitkan tempat-tempat yang tidak asing bagi diri di kampus UiTM (walaupun diri tidak menuntut disana), dan kawasan Shah Alam. Ada juga nama beberapa individu yang menarik perhatian. Tidak dapat dipastikan jikalau mereka ini sebenarnya karakter fantasi, atau ilham daripada manusia sebenar.

Apapun, rasanya tak perlu la nak bagi sinopsis cerita di sini. Kesian pada kalian yang mungkin tidak membaca lagi novel ini.


Kalau kalian ada menonton drama di malam ahad di saluran TV3, ada drama berjudul "Stanza Cinta" yang dikaryakan daripada novel ini.

Namun, saya melihat drama itu punya beberapa perubahan jalan cerita. Tidak berani saya untuk mengulas atau memberi pandangan, kerana saya sendiri tidak begitu kerap melihat drama ini atas kesibukan diri.

Cuma saya sangat berharap, agar drama itu dapat mengikut seboleh mungkin jalan cerita novel, malah kalau boleh ajaran agama Islam yang ada terselit bersama dapan pula diterjemahkan dalam drama terbabit.

Sayang, andai motif karya ini tidak diketengahkan.

Tutup. Usai. Sila baca, moga kalian terhibur dan terdidik.

...




Monday, August 1, 2011

Warkah: Muka 42

Muhasabah diri

Assalamualaikum, selamat beribadah di bulan Ramadhan buat pembaca.

Sekadar sedikit kisah.

1 Ramadhan hadir dengan diri masih bersalut dengan dosa-dosa yang lazim dibuat. Masih dengan tabiat dan kelemahan yang gagal dibuang.

Maka, tidak hairan apabila 1 Ramadhan hadir dalam keadaan diri yang masih di tampuk lama.

Tapi sesal juga rasanya. Kenapa susah sangat untuk menjadi lebih baik?

Kenapa lebih mudah jatuh, daripada bangkit?

Kisah.

Pagi adalah seperti biasa, dipenuhi dengan kuliah. Kawasan kampus sedikit lengang, diri menyangka mungkin disebabkan semua keletihan berpuasa. Nyata jangkaan melesit. Hampir terlupa, hari ini rakan-rakan dan warga kampus yang lain ada peperiksaan.

Semoga kalian menjawab dengan baik, amin.

Petang pula adalah sesi makmal yang tidak disangka. Tidak mengapa, apa lagi yang boleh dibuat melainkan ikut sahaja sesi kuliah yang menggantikan sesi makmal.

Lewat petang, Maghrib menghampiri dengan diri tidak tahu ke mana ingin membawa diri. Matlamat Ramadhan ini; tidak mahu pergi ke pasar dan berbelanja boros. Tapi sejak duduk seorang, rasa sunyi bila makan tidur belajar tidak berteman. Lebih terasa bila Ramadhan menjelma.

Teringat kenangan masa duduk di Wisma MAIS dulu. Teringat kenangan matrikulasi di Kulim dulu.

Semuanya ceria bila ada sahabat-sahabat. Hendak beribadah pun senang.

Akhirnya, ke kampus juga, buka puasa bersama sahabat.

Malam itu juga, buat perbandingan diri. Banding kualiti antara diri dengan orang lain.

Nyata masih jauh di belakang.

Pulang, sebelum itu sempat singgah ke Giant.

Stanza Cinta. Terbeli pula.

Tetapi rasanya tidak rugi.

Cukuplah membaca, esok perlu bangun awal.

"Apabila sudah berkopiah macam ini, terbentenglah diri dari hal-hal yang tidak elok"

Itu jelas Irfan.

Aku? Kopiah buat pengingat, atau sekadar olok-olok?

Selamat Malam.






p.s: andai menangis di malam hari, biarlah ianya kerana mengingat dosa pada Tuhan.

Saturday, July 16, 2011

Warkah: Muka 41

Permulaan baru

"We could leave this town, and run forever"

Semalam dan kelmarin adalah hari yang agak luar dari kebiasaan.

Takdir Tuhan, apa yang dirancangkan akhirnya tidak menjadi. Akhirnya berlaku perubahan.

Kelmarin, adalah satu perjalangan pulang yang penuh dengan keceriaan. Gelak ria dan gurau senda, sambil diiringi lagu-lagu lama dan baru. English, Melayu, Nasyid, apa saja asal isi dalam ceria dan bertenaga.

Dalam bergurau, soalan dari benak fikiran yang terlintas atau dari mulut yang menyatakan membuat diri sedikit terfikir.

Kelakar, lagu-lagu seolah-olah kena pada tempatnya, tatkala diri kembali mengimbau akan masa silam...

Masa silam penuh warna.

"It's not easy, to be me"


"I got a crush on you, I hope you feel the same as I do"


"Kau masih ku cintai, sungguh"


"I drive myself crazy, thinking of you"


"Sesegar, hijau daunan"


"Tangisannya kini, ku serah padamu"


Semalam. Pulang ke realiti, selepas semalaman diselimut kedamaian dan ketenangan di kampung. Namun realiti semalam adalah menarik. Hadir ke pusat pengumpulan penyokong Merah. Acara penuh meriah.

Si Kuning kurang sekali. Dalam suasana yang riuh, dengan si Merah tampak perkasa dan penyokong madah berbisa, si Kuning tetap ada taringnya. Paling tak lupa, apabila penyorak-penyorak si Merah seakan-akan lupa apabila menyorak si Kuning.

"Luar jer Liverpool bang, dalam Malaysia"

Harap kalian tak salah anggap ye? Kuning dan merah, dan biru adalah warna asas yang kebelakangan ini menjadi warna yang cukup sensitif untuk disebut.

Walau pasukan berlainan, tabiat tetap sama. Hence, the typical Malaysian, always with unnecessary byproduct. Sampah, merata-rata. Sedih dalam gembira. Kacau suasana.

...

Rehat selepas pesta. Mendapat peringatan dari sahabat.

Hari ini adalah buku baru. Permulaan baru.

Peminat baru? Entah ke situ pula soalan yang keluar.

Jati diri tetap jati diri. Ada yang lama itu yang suka dikekalkan. Sekalipun membawa duka. Mohon tiada yang sengsara. Sepuluh jari menyusun rapat, pohon kemaafan sekalipun tidak kelayakan. Agar diri bersih semula.

Agar diri bersih sentiasa.

Permulaan yang baru, ayuh kita mulakan.

Namun, ada jua kenangan yang lama yang ingin disimpankan.

Hence, the lyrics are so nostalgic


If I could find you now things would get better

We could leave this town and run forever

...

It's not easy, to be...me















p.s: usah resah, sayang usah ragu...aku milikmu -Awie

p.s.s: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah. Indah, andai segalanya pada Yang Maha Indah. :)

Thursday, July 14, 2011

Warkah: Muka 40

Kopiah


...

Kopiah itu, adalah tanda sayang

...

Kopiah itu, adalah rahsia hidup

...

Kopiah itu, adalah suka duka

...

Kopiah itu, adalah kenangan

...












p.s: pendengar cerita, mohon agar rahsia dibiar rahsia, agak tidak perlu air mata untuk diseka.







Saturday, July 9, 2011

Warkah: Muka 39

aA+bB

Assalamualikum...

Ikut perintah hari ini. Duduk di rumah. Tak buat apa-apa.

Usai baca buku aA+bB.

Kelakar, dulu masa duduk di wisma MAIS dengan kawan-kawan, langsung tak tertarik pada karya Hlovate meskipun ada seorang kawan yang memang kaki novel Hlovate. Diri menjadi saksi apabila hampir tiap-tiap novel Hlovate menjadi simpanan koleksinya.

Nampak macam jiwang sangat buku ni. Tak minat, diri lebih terarah kepada thriller dan novel-novel klasik English.

Konon manly la, padahal ada je novel-novel romantis ni, yang ada diulit sedikit dengan unsur Islamik.

Maaf ya Hlovate, waktu tu tak kenal lagi novelnya.

Tapi akhirnya, tergerak hati nak beli, bila membaca blog Pondok Cinta. Aish, tak sangka dia ni baca buku ni juga, mungkin memang menarik kot.

Jadi beli la buku aA+bB, di MPH pada hari Rabu.

Dan hari ini baru usai baca.

Lama bukan? Ada sebabnya.

Buku ini, memang jiwang. Karat. Sampai kadang-kadang otak ini terpaksa angkat bendera putih, sebab dan overheated dah.

Mana tak nya, tuan punya otak ini kalau membaca akan berimaginasi. Menganalisis. Membayangkan. Meletakkan diri dalam watak-watak. Menjiwai.

Maka haru la hati. (gelak)

Sambil baca, cuba cari mana bahagian tarbiyyah dia. Ada, pada akhir-akhir cerita. Tapi cara cerita itu berjalan memang baik. Benar, bukan semua manusia baik dari awal-awal lagi. Malah, cara dua karakter utama ini bermonolog dalaman itu memang logik. Agak tipu la kalau nak kata manusia sentiasa bersangka baik, atau sentiasa dalam keadaan bersetuju kepada orang lain.

Pada mulanya, cerita dalam novel ini agak boleh dijangkakan...tapi tidak sangka pula pada akhir-akhir ada kejutan.

Apa yang pasti, novel ini memang menarik.

Cuma aftereffect dia yang tak senang.

Sebab sekarang diri dah asyik terawang-awang.

Hlovate, you're a magician. You cast a spell on me already.

I hate to admit, but I'm hooked already.










p.s: kagum dengan kemampuan penulis dalam menulis. Sudah pasti, untuk menghasilkan novel, banyak pembacaan dan kajian perlu dilakukan. Hebat. Ingin jadi macam kalian.

Friday, July 8, 2011

Warkah: Muka 38

Ingat sampai mati



“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia tertimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya.” (HR. Muslim)


Nak ingat hadis ini. Sampai mati.

Warkah: Muka 37

Manusia

Assalamualaikum, mengambil sedikit masa daripada sibuk hidup.

Tadi baru usai baca nukilan Fikriyyah di blog dia. Memang sangat setuju dengan pandangan dia, tentang apa yang berlaku pada hari Rabu itu.

Manusia, tak kira la HO ke, MO ke, Specialist ke, Nurse/Sister ke, Pak Cik Guard dan pesakit sekalipun, kena la sentiasa beringat.

Manusia bukan batu, bukan pokok untuk di buat sebegitu.

Sebelum kita buat biadab atau buat orang sakit hati, ada wajarnya kita cuba letakkan diri kita dalam posisi mereka yang kita nak aniaya tu.

Kalau kita kena layan dengan kasar, dengan biadab, tak sakit ke hati kita ni?

Kita juga sudah pasti mahukan yang terbaik, bukan?

Maka, kalau mahu yang baik, kita pun mesti la buat yang terbaik, kan?

...

Tiba-tiba rasa macam kena perli dengan diri sendiri.

Only the best gets the best.

Moga pengalaman yang diperoleh menjadi motivasi dan pendorong untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Juga, di hospital pada hari itu juga, tergerak diri untuk ikut saranan seorang kawan.

Doakan untuk si sakit.

Diri sedikit menyesal, kerana tidak berbuat demikian pada minggu lepas. Lebih-lebih pada kakak yang ada stage 4 cancer itu. Semangat dia, mengalahkan orang yang sihat!

Lebih terharu, apabila melihat senyumannya apabila bertanyakan tentang anaknya yang baru, barangkali yang terakhir.

Mungkin, itu la punca semangat kakak kan?

Entah la, kita cuma merancang, Allah juga penentu.

Berbalik pada cerita tadi, diri cuba pasang niat untuk doa pada pesakit. Mula-mula tiada kelapangan, apatah lagi apabila mengikut MO dan HO yang laju membuat ward round.

Kemudian, bila ada ruang dan peluang, di akhir sesi temu duga kami pada seorang abang yang cedera kemalangan, semasa kami beransur pergi, saya sempat mengalih semula ke belakang.

Pandang abang tu. Dia makin pulih.

Buka mulut, getarkan peti suara.

"Semoga abang cepat sembuh"

Tak mampu nak kata panjang-panjang. Takut ada kawan dengar, campur dengan segan kat abang tu.

Almaklum la, tak biasa doakan orang depan orang tu. Sombong dan poyo sangat sebelum ni.

Pusing, berlalu.

Tapi hati berbunga-bunga. Bahagia.

Insyallah, akan buat lagi.

Semoga kalian sembuh.

Semoga kalian sembuh.

Semoga kalian sembuh.











p.s: Maaf kalau rasa penulisan ini gedik semacam, kerna penulisan dah terpengaruh dengan jiwa. Jiwa pula dah terpengaruh dengan aA+bB. Hlovate, kamu memang nak kena! :P

Thursday, July 7, 2011

Warkah: Muka 36

Jumpa semula

Assalamualaikum, salam Sha'ban semua.

Cerita ringkas malam semalam.

Usai kelas, tergerak hati ikut kawan pergi ke Masjid Shah Alam, teman dia buka puasa kat sana. Diri nak kata puasa tu memang ada...niatnya. Malangnya niat tu sekadar bertahan sampai pukul 4 pagi. Tutup mata, buka semula, dah dengar azan. Kalau dah malas tu memang susah juga nak diubat!

Apa-apa pun, pelawaan kawan ini diterima ada sedikit kejutan, bukan apa, disuruhnya orang pakai jubah.

Jubah ye? I have no problem with that!

Pekena la diri jubah putih yang memang dia sebenarnya minat dan berkenan nak pakai, cuma segan tu macam bertambah-tambah kuasanya (segan kuasa infinity?!) bila nak dikenakan kat luar rumah, sebab takut orang ingatkan budak sekolah tahfiz mana pula. Bukan malu nak dipanggil begitu, cuma takut nanti orang tanya soalan agama, diri ni jadi tergagap pula.

Teringat pula masa balik Perak hujung minggu lepas, masa temankan ibu pergi ke pasar pagi beli barang dapur. Ditegur ibu dengan seorang kenalan dia, guru.

"Anak sekolah tahfiz ke?"

"Tak lah, dia belajar kat U"

"Owh, sebab gaya dia macam tu, ingatkan Imam Muda"

Aiyo...ke situ pula pakcik. Kalau pak cik ikut saya ke Shah Alam balik, tau la pak cik saya ni manusia macam mana. Tapi tak pula dikata begitu, sekadar diam sahaja.

Ibu pula sekadar gelak kecil. Tapi dalam hati agaknya mesti dia harapkan anak lelaki tunggal dia jadi macam apa yang pak cik tu cakap. Mesti di aminkan apa yang terkeluar dari mulut lelaki itu.

Sekurangnya, dalam diri sendiri, senyap perkataan "Amin" itu dilafazkan.

Teringat peristiwa itu, entah dalam sedar atau tidak, diri bermonolog dalam kereta dalam perjalanan ke Masjid.

"Baik? Ko bukan ke dah baik ke buat apa nak minta lagi?"

Kawan aku yang terdengar aku mengelamun ini bertanya. Aiyoo....dengar la pula.

Diri ini, baik ke?

"That was a very clever question. Are you clever Ariff?"

Entah la, walaupun di jawab "I'm trying to be clever", tapi diri sebenarnya tertanya-tanya juga.

Entah apa bukti diri ini baik. Entah apa bukti diri ini pandai.

Sekadar perlakuan, itu luaran, sesiapa boleh buat. Sekadar keputusan peperiksaan, tiada apa untuk dibanggakan. Naik pentas pun berapa kerap sangat.

Tiba di Masjid.

Kereta letak di tempat yang patut, terus gerak ke bahagian bawah masjid.

Jamuan sudah menunggu.

Ramai juga jemaah, ada yang tengah ambil nasi dan lauk, tapi ramai yang dah duduk di meja makan.

"Kat sini ada gak budak MSU", ujar pemberi maklumat.

Sekilas pandang ke pukul 1, nampak kelibat mereka.

Sekilas cukup la. Gurau-gurau, gatal-gatal pun, cuma dengan kekawan yang ada Y kat kromosom.

Habis gurau, datang realiti, bila tiba masa, tetap pada pendirian diri.

Bukan kalian tak menarik, cuma bukan sekarang masanya nak tertarik pada yang menarik.

Aiyoo...bunyi macam poyo pulak. Biarkan saja!

Sekarang masa untuk berbuka. Er, teman orang berbuka.

Tunggu Maghrib, perhati gelagat kawan dengan kekawan dia yang tidak mustahil kekawan diri juga. Cuma perlu masa, diri yang Perfect Melancholy ini memang susah nak buat kawan.

Sabar-sabar la ye.

Masjid biru itu banyak kenangan di dalamnya.

Lama tak pergi.

"Aku rasa, nanti mesti boleh jumpa balik geng-geng usrah lama aku balik", ujarku pada kawan sebelah ni, ringkas.

Tapi barangkali aku berdoa akan perjumpaan semula itu.

Maghrib dah dekat, ku pandang ke kanan.

Kelibat mamat berbaju oren itu menarik pandangan.

Macam kenal...

Kenal?

Memang kenal! Abang Khairul!

Kelip-kelip mata. Tangan melambai. Kelip-kelip diseberang. Lambaian dibalas.

Sah! Memang dia!

Memang masin punya mulut, sah tak puasa!

Apa lagi, reunion la! Kami berdakap.

Usai makan, usai solat (rindu solat kat Masjid ni, rindu).

Jumpa semula. Duduk bawah tiang, bawa bersembang.

Tanya kawan-kawan usrah yang lama. Ramai yang dah abis belajar kot.

"Ariff ada join mana-mana usrah ke?"

Telan air liur. Kelat. Berat.

Susah juga nak menjawab. "Tak" Perlahan.

"Ariff dulu keluar sebab apa ye?"

Killer question! Habis. Berat lidah rasa nak menjawab.

"Aktiviti kelab. Jawatan"

Alasan. Diri takut akan perubahan. Itu lebih tepat.

Tak sangka nak dapat kebaikan, nak berubah kepada lebih baik pun boleh ditakuti. Apa punya lelaki la diri ini.

Tapi itu kebenaran. Sebab?

Diri ini bukan baik sangat.

"Ya Allah, sekiranya sesuatu itu baik untuk diriku, maka Engkau dekatkan la ia kepada ku..."

Penambahan pada doa yang lazim dibaca. Doa masa solat sunat, dekat masjid.

Seolah-olah termakbul doa itu. Sebab usai solat, lepas kena soal siasat dengan Abang Khairul, ini pula yang keluar dari mulut dia,

"Kalau Ariff nak ikut semula usrah, Abang Khairul alu-alukan"

Kelakar, tiba-tiba diri belah jadi dua. Satu bergerak ke depan, satu bergerak kebelakang. Satu berani, satu takut.

"Tengok la, Insyallah". Diberi jawapan selamat. Benda ringkas boleh jadi memeningkan pula.

Yes or no? Maybe. I don't know.

Aduhai Ariff ni.

Teringat lagi kata-kata kawan ibu, guru tua itu.

Pak cik, saya harap kata-kata pak cik itu doa yang mujarab.

Amin.

Friday, June 24, 2011

Rahsia Khusyuk - Adab Adab Membaca Al-Fatihah

Artikel di bawah berasal dari sini. Disebabkan rasa ada baiknya artikel ini disebarkan, maka saya letak pada blog ini. Mohon dibaca dan dimanfaatkan.


Rahsia Khusyuk - Adab Adab Membaca Al-Fatihah



Al Fatihah ialah kata-kata Munajat . Dengan ayat Al Fatihah kita berkata-kata secara langsung dengan Allah s.w.t. Maka sebelum itu kita perlu membaca kalimah ‘Ta’awwuz’ dengan tujuan memohon perlindungan diri dengan Allah SWT dari segala gangguan dan bencana yang datang dari Iblis dan syaitan yang terkutuk, kerana dialah yang sentiasa berusaha untuk memalingkan hati kita dari menghadapi Allah.

Kemudian kita diperlukan pula membaca “Bismillah” untuk mendapatkan berkat dengan nama Allah sebelum melaksanakan sesuatu pekerjaan, sambil mengingat bahawa Allah sahajalah yang menguasai segala-segalanya dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh kerana Al Fatihah adalah Ibu Segala Ayat di dalam Quran, hati dan jiwa kita hendaklah dipusatkan kepadanya ketika lidah kita membacanya. Ketika membaca Al Fatihah, sebaik-sebaiknya hati hendaklah mendahului lidah, atau sekurang-kurangnya hendaklah lidah menjadi guru bagi hati, iaitu hati hendaklah mengingat makna sesudah lidah membacanya.

1. Ketika kita membaca "Alhamdulillahi Rabbil Alamin" kita ingat di dalam hati bahawa segala kepujian adalah hak-kepunyaan Allah kerana Allah menjadikan seluruh alam dan mengatur serta menguasainya. Maka tidaklah ada sesiapa selain dari Allah yang berhak menerima kepujian itu. Kemudian kita berhenti sejenak untuk menanti reaksi kepada pujian kita itu, seolah-olah kita dengar Allah menjawab: “ Aku telah disanjung oleh hambaKu.”

2. Bila kita membaca "Ar Rahmanir Rahim" kita tekankan dalam hati bahawa fungsi Allah sebagai Penguasa dan Pengatur alam berlaku kerana sifat Pengasih dan PenyayangNya. Maka segala yang kita terima dari kurniaanNya adalah dengan RahmatNya semata-mata. Jika tidak kerana Rahmat-Nya, alam ini tidak mungkin terjadi dan tidak pula tersusun seperti yang kita lihat.

3. Ketika kita membaca "Maliki Yaumid-Din" hendaklah kita ingat bahawa Allah s.w.t adalah Penguasa dan Hakim yang Maha Agung di Akhirat. Hanya Dia yang membuat perhitungan dan memberi ganjaran kepada segala amalan kita di dunia. Maka tidaklah ada kuasa lain yang boleh diharap-harapkan selain dari Allah.

4. Apabila kita mebaca “Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in” ingatan kita tertumpu kepada Allah yang Maha Agung dengan ikrar bahawa tidak ada sesuatu pun yang disembah melainkan ‘Engkau’. Maka secara langsung kita berikrar: KepadaMu aku beribadat dan kepadaMu jua aku memohon pertolongan! Dengan ikrar ini juga kita harap akan diperteguh i’tiqad di dada kita bahawa walaupun bantuan dari makhluk diperlukan juga dalam kehidupan kita sehari-hari, tetapi Allah adalah Penggerak dan Penolong Yang Sebenar di sebalik usaha dan ikhtiar makhlukNya.

5. Ketika kita membaca “Ihdinas-Siratal-Mustaqim” ucapan ini adalah doa dan permintaan kita supaya Allah memberi petunjuk kepada kita ke jalan yang benar dalam segala hal, baik yang mengenai amalan atau ilmu yang kita perlukan sebagai hambaNya yang taat. Doa ini penting kerana kita tidak mungkin menemui jalan yang lurus dan benar itu jika Allah tidak memberi petunjukNya kepada kita.

6. Ketika kita membaca “Shiratal-lazina An’amta Alaihim” kita harus sematkan dalam ingatan bahawa ‘ Jalan Lurus’ yang kita pohonkan dari Allah sebenarnya adalah jalan yang pernah dinikmati oleh hamba-hamba Allah yang lain oleh pemberianNya jua. Dengan kesedaran ini semoga kita mencontohi amalan orang-ornag yang telah diberi nikmat oleh Allah di dunia ini, semoga kita akan menyertai mereka di akhirat nanti.

7. Ketika kita membaca “Ghairil Maghdubi Alaihim Waladh-Dhaal-Liiin” kita memohon pada Allah supaya dijauhkan kita dari jalan, perbuatan dan sifat manusia yang dibenci dan dimurkai oleh Allah kerana kecenderungan mereka melakukan kebatilan dan kemungkaran, sedangkan kebatilan membawa kepada kesesatan. Pada akhir ayat ini kita berhenti sejenak untuk menanti jawapan dari Allah, yang kita harap-harapkan akan berkata: “Aku beri kepada hambaKu, dan bagi hambaKu ini apa yang ia minta”.

Monday, June 20, 2011

Warkah: Muka 35


The beauty of taking trouble...

"musibah adalah sebagai tiket untuk mendekati Allah SWT dan sebagai jalan menuju bahagia"


Itu adalah status daripada seorang kawan dalam facebook yang dibaca tatkala asyik melayari internet.

Assalamualaikum.

Lama rasanya diri ini tidak duduk dan berfikir. Untuk menyepi sementara, membenarkan diri untuk bermuhasabah. Mengimbau kembali masa silam, bukan untuk berangan, tetapi untuk menyelami kembali diri sendiri. Lihat dengan mata hati, mana kuat, mana lemah. Kaji, mana betul dan mana silap.

Kebelakangan ini diri ada menerima kesusahan. Diri mengerti apa itu susah.

Tapi, diri ini lupa untuk belajar daripada kesusahan.

Lebih mudah dan senang, untuk diri menyalahkan orang atau benda lain atas musibah diri. Sedar atau tanpa sedar, semua tomahan-tomahan itu sebenarnya seperti mencela Pencipta sendiri. Sedar atau tanpa sedar, aib orang atau ralat benda yang ingin dibesar-besarkan itu adalah bukti cara diri mengelak cela sendiri daripada diketahui.

Maka, diri ini sedar lemah. Tapi bodoh dan sombong untuk mengakui.

Alahai, andai sahaja segala kesusahan itu tidak diterima dengan keluh dan kesah.

Alahai, andai sahaja segala dugaan itu tidak diterima dengan akal yang pendek.

Cuba sahaja diri ini bawa bertenang, dan bukannya diajak kaki bawa bertendang, dalam kemarahan.

Ambik masa untuk senyum dan bersyukur. Untuk redha dan terima.

Ambik masa untuk fikir dan zikir. Cari rasionaliti, cari motivasi.

Dengan dugaan, maka diri ini lebih dekat pada Ilahi. Tidak sedarkah akan diri ini?

Ibu, atas sayang akan anaknya maka akan dimarahi anaknya jika dia bersalah.

Ayah, atas sayang akan anaknya maka dibiar anaknya susah belajar berjalan, agar kuat kakinya kelak.

Tuhan, lebih sayang akanNya hambaNya, lebih banyak dugaan yang diberikan.

Sedangkan sejarah membuktikan, bagaimana kekasih-kekasih Allah sebelum ini, diberi ujian sebegitu besar dan berat, sebagai bukti cintaNya pada hambanya.

Barangkali diri terlalu lena dengan kesenangan, hinggakan begitu cepat merungut dan mengalah apabila diberi ujian yang begitu kecil.

Ingat kembali, wahai diri.

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan"

Jangan terlalu berharap kesenangan, kerana barangkali kesenangan itu menjadi jalan kepada kecelakaan di akhirat kelak.

"The beauty of taking trouble is to gain one's knowledge"

Dengan kesusahan, baru seorang itu belajar.


Bila susah, baru kita lebih ingat.

Bila kenal erti musibah, lebih bermakna syukur kita. Lebih dihargai nikmat yang diberi.

Maka jangan dan hentikan gusar diri tatkala dalam kesusahan.

Terima ketentuan tuhan, hadapi cabaran yang diberi, dan sabar dalam menempuhnya.

Selepas hujan yang lebat, pasti muncul pelangi yang indah.

Selepas malam yang suram, pasti tiba pagi yang riang.

Sabar sahaja.

Monday, May 16, 2011

Warkah: Muka 34

Diam itu lebih baik...

Daripada berkata dusta. Atau, diam itu lebih baik daripada berkata sesuatu dengan akal singkat. Atau, diam itu lebih baik jika ianya mendatangkan kebaikan, dan memelihara diri.

Maka, diam.

Itu telah diri ini lakukan. Sedang diri ini lakukan. Diam sahaja.

Hasilnya, diri merasa kelainan. Perubahan sikap, perubahan pendapat, perubahan persepsi. Oleh diri dan kepada diri.

Dengan berdiam, baru diri ini lebih matang dalam menilai, dalam menerima, dalam menterjemahkan persekitaran.

Dengan menutup satu pancaindera, maka mata lebih tajam, telinga lebih peka.

Dan, dengan berdiam, maka orang juga lama kelamaan akan turut diam.

Tiada lagi cerita dusta. Oleh diri atau kepada diri.

Diam itu indah.

Diam itu perlu, bila ianya perlu.

Monday, April 18, 2011

Warkah: Muka 33

Sehari Sebelum

Selamat hari jadi buat diri. Seperti kebiasaan tahun-tahun lepas, bulan April merupakan bulan dimana kecintaan (affinity, bak kata mat saleh) penyakit kepada saya meningkat. Alhamdulillah, syukur kerana bulan ini saya tidak 'dicintai' demam dan selsema. Malangnya, saya 'dicintai' pula oleh sakit perut.

Sabar sahaja.

Maka elok juga saya ambik ini sebagai ikhtibar. Allah sayang saya. Tiap kali hari jadi menjelma, saya akan diberi peringatan. Teguran, dalam bentuk kiasan yang lebih berseni dan lebih indah daripada bahasa dan tindak tanduk manusia. Hebat.

Sakit ini sebagai pertanda. Nyata setahun berlalu dengan diri ini tidak lekang oleh dosa. Ingat. Allah masih beri peluang untuk kamu berubah.

Alhamdulillah, hadiah harijadi saya pada kiraan saya amat ringkas tapi bermakna. Sekadar kata-kata, melalui telefon. Nasihat dan doa bermakna daripada ibu. Mengah tatkala menaiki basikal petang tadi seolah-olah hilang tatkala kegembiraan datang selepas usai membuat panggilan.

Kalau ada orang perhati, mesti dia fikir lain.

Apa pun, diri masih seperti kebiasaan, lebih selesa menyambut hari jadi dengan bersendirian, atau dengan cara sendiri. Bukan bermakna cara tradisi seperti memotong kek dan membuat majlis makan itu tidak digemari. Cuma, rasanya dengan bersendiri, diri akan lebih mudah untuk bermunasabah. Setahun sudah berlalu, berapa lama lagi masa diberi untuk melakukan ibadah padaNya.

Maka, sehari sebelum.

Sehari sebelum hari ini iaitu 17 haribulan April yang jatuh pada hari Ahad merupakan hari yang cerah tanpa hujan. Diri yang bangun lebih awal pada hari itu teruja sebab ada dua aktiviti dalam perancangan. Pertama adalah untuk bermandi di Air terjun Chilling. Kedua adalah untuk melihat kelip-kelip bersama adik.

Sekitar pukul 8.30-9.00 pagi, saya dan 5 orang lagi (Najwa, En. Rusdi, Najmi, Kak Rai, Syuhada) bergerak daripada Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu. Alhamdulillah, walaupun ini adalah kali pertama kami ke sana, kami tidak punya masalah untuk sampai ke destinasi kami.


Air Terjun Chilling merupakan tempat yang menarik bagi penggemar hutan dan sungai kerana perjalanan ke sana memerlukan kita meredah sungai sebanyak 5 kali. Air terjun itu terdapat 3 terjunan, dan kebanyakkan orang akan bermandi dan berkelah di air terjun yang pertama. Air terjun kedua tidak boleh disinggah kerana kedudukan geografinya yang bahaya. Saya, Najmi dan Syu, setelah sampai ke Air Terjun pertama, terus meneruskan pendakian ke Air Terjun ketiga. Di sini, air terjunya lebih deras dan kawasannya lebih aman dan sunyi. Kawasan untuk berkelah juga sangat terhad, dan atas sebab-sebab itu, mungkin ramai tidak memilih untuk naik ke sini.





Setelah puas bermandi manda di Air Terjun 1 dan 3 serta menjamu selera, kami pulang dan tiba di Shah Alam sekitar pukul 6.30 petang. Saya langsung dengan aktiviti saya yang kedua. Malangnya, adik tidak dapat turut serta dan kawan yang diajak juga tidak berkelapangan. Perjalanan yang bermula sekitar 7.45 malam ke Kg. Kuantan di Kuala Selangor mengambil masa yang agak lama. Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin untuk meneruskan pencarian Kg. Kuantan, setelah beberapa kali tersesat. Tapi akhirnya, sekitar 9 malam, saya tiba. Lima belas minit kemudian, saya menaiki sebuah sampan bersama 3 orang remaja dan 2 orang kanak-kanak (tua sangat ke aku ni? haha) dan kami dibawa ke habitat kelip-kelip. Pemandangan disitu nyata berbaloi dengan bayaran rm10 seorang untuk menaiki sampan itu. Cahaya berkelip-kelip di hampir setiap sudut pokok-pokok pelembang yang tumbuh meliar di Sungai Selangor (menurut juru pandu sampan).

Lawatan kami selama 20-30 minit itu nyata menyeronokkan. Sesekali sekecil yang mengikut kami berjenaka. Ragam mereka yang bersama saya pada malam itu juga sangat melucukan.

Insyallah, lain kali saya akan melawat semula ke dua tempat ini, tetapi bersama kawan-kawan dan ahli keluarga.

Semoga.


p.s: gambar oleh En. Rusdi.

Friday, April 1, 2011

Warkah: Muka 32

Koleksi Gambar Expedisi ke Gunung Tok Wan


Santapan pagi: MESTI!


3km pertama (^.^)

2.5km... (==)"

100m terakhir dan akhirnya! Puncak! (^.^)v

Kembali ke Broga, dengan muka lebam-lebam (-__-)"

Saturday, March 19, 2011

Warkah: Muka 31

Rindu Sarawak Bakal Terubat.

Assalamualaikum.

Ahh...harus diri ini terlebih dahulu memohon maaf kepada tubuh. Ya, ampun dan maaf kepada tubuh sendiri, kerana kebalakangan ini tidak begitu menjaga ia dengan baik. Malah, malam ini tubuh wajar mendapat rehat yang cukup, tapi diri memaksa untuk mengerah saki baki tenaganya.

Teruja yang teramat sebenarnya, hati ini, untuk hari mendatang.

Hari ini, saya bersama beberapa orang kawan-kawan akan melawat Sarawak.

Malas rasa diri untuk menulis aktiviti yang akan datang itu. Kelak mungkin akan ada penulisan tentang program kami, andai bukan di blog ini, maka ianya akan ada di blog utama saya.

Harap dinantikan.

Saya pada malam ini, terasa gembira, teruja, dan takut. Hati ini berdebar-debar untuk menjejak kaki ke Sarawak.

Sarawak, selepas Perak, merupakan negeri yang paling lama saya duduki. Mulanya saya di kepulauan Borneo, pada darjah dua, di Mukah yang pantainya cukup indah, sehingga ke tingkatan dua, di Simunjan, yang pada kiraan saya cukup aman dan permai.

Hampir enam tahun rasanya, saya tidak menjejak kaki di Sarawak.

Namun, negeri itu begitu dekat di hati.

Hari ini, rindu di hati ini akan terubat.

Sarawak. Moga ketemu.

Saturday, March 12, 2011

Warkah: Muka 30

Bertahan

Tiba lagi aku kepada situasi ini. Di sebuah persimpangan, dimana pilihan harus dibuat. Nyata pilihan yang diberi jelas. Cuma kehendak hati sahaja, yang kabur. Samar-samar. Begitu kuat kekeliruan hati, seolah-olah hati ini mengeluarkan kabus, dan kabus-kabus itulah yang keluar dan menyelimuti jalan yang dilalui. Sehinggakan di persimpangan itu, penuh kabus. Pilihan-pilihan yang jelas tadi sudah tidak kelihatan lagi.

Maka diri menjadi buntu.

Ikut hati binasa. Itu kata orang.

Tapi akal terlalu pendek kadangkala. Tidak mampu memberi panduan. Akal hanya dengan malasnya berkata, "Ikut saja kata hati". Sedang hati pula tidak mampu menentu, sekadar mendendangkan jiwa dengan lagu-lagu yang damai, tapi hakikatnya runsing.

Situasi makin runcing.

Seperti biasa, pilihan akhir adalah dengan berundur. Lari dari kekalutan sebentar. Duduk dan fikir. Berdiri, berjalan dan berfikir. Apa saja. Asalkan berfikir. Kerana akal itu penting, dan akal perlu dilatih untuk jadi penting.

Namun, bukan semua situasi membenarkan itu. Adakalanya, pilihan yang diberi harus ditentukan segera. Ya atau tidak sahaja jawapannya.

Sekali lagi, hidup bertemu persimpangan. Persimpangan, yang cabangnya cukup banyak. Cukup mengelirukan.

Kali ini, keputusan harus segera.

Jendela dihati perlu ditutup. Jangan dilihat hati lama-lama, takut kabus didalam keluar semula. Biarlah, hati dikata dingin sekalipun. Janji akal ku hangat.

Kelakar. Tatkala pilihan dipilih, ada suara yang membantah. Ada bisikan menggoda.

"Nilai semula pilihanmu"

"Pilihan ini lebih mudah"

"Jalan itu jalan yang malap, tidak meriah"

"Nilai semula, pilihlah aku"

Enaknya bisikan itu, dinginnya suara-suara itu. Teringin aku pergi mengikutnya.

Tapi aku enggan. Dan kini suara itu bertukar. Dari halus menjadi kasar. Dari menggoda menjadi menggentar.

Sakit hati. Tapi ku cuba bertahan.

Senyum. Terus berjalan.

Terus bertahan.




p.s: maaf, merepek.