Friday, December 31, 2010

Warkah: Muka 21

R & R

Assalamualaikum.

Selalunya R & R ni nampak kat tepi-tepi jalan sahaja kan? Entah apa maksud sebenarnya, tapi ada orang kata R&R itu sebagai 'Rest and Restore', 'Rehat dan Rilek' dan sebagainya.

Apa kata tanya pada Mr. Yahoo!?

http://plus.com.my/index.php?id=24

Apa pun, alhamdulillah, saya sekarang di Rumah dan sedang Rehat. R&R.

Sebenarnya agak kebosanan, almaklumlah, tak bawa apa-apa untuk dibaca dan laman Facebook pula nyata kesepian pada malam ini, mungkin sebab semua orang sedang asyik membaca tahlil dan doa untuk tahun baru, tidak seperti saya yang lebih leka mengadap 'kitab muka' ni.

Ingin menulis di dalam blog utama, tapi demi mengekalkan rekod 200 blog untuk tahun 2010 (201 adalah nombor yang kurang serinya pada pendapat diri), maka saya beralih kepada blog kedua saya ini.

Saya belum pasti jika saya punya senarai azam-azam dan cita-cita untuk dikecapi pada masa 2011 kelak. Apa yang pasti, azam pertama adalah menyiapkan kerja-kerja yang 'dihadiahkan oleh tahun 2010' kepada saya.

Saya berharap untuk menjadi orang yang lebih baik daripada tahun lepas, namun apabila mengingati semula detik-detik di 2010, saya merasakan cita-cita saya itu seakan-akan sia-sia. Jika ianya merupakan sesuatu yang tidak sekalipun, maka sayalah yang mensia-siakan cita-cita saya itu.

Barangkali, azam terbaik untuk saya pada tahun baru ini adalah untuk mengatur strategi untuk mencapai cita, dan melaksanakannya.

Kalau hanya sekadar buah fikiran, dan tanpa tindakan, maka sia-sia juga la kan?

Seperti mana yang dapat disaksikan pada tahun 2010.

Saya juga pernah berharap agar tidak mengecewakan sesiapa pada tahun 2010 sebagai azam. Namun, sekali lagi saya berjaya menghapuskan cita-cita saya sendiri.

Lebih parah adalah, dalam saya cuba menjaga hati dan perasaan sahabat, kenalan, keluarga, saya lupa dalam menjaga hati dan perasaan saya sendiri. Maka apabila pengakhiran 2010 tiba, saya dapati saya telah mengumpul banyak luka dan parut di dalam hati sendiri.

Maka, untuk tahun 2011, saya berharap untuk lebih PENTINGKAN DIRI SENDIRI.

Ya, saya rasa pada peringkat umur saya ini, barangkali ini adalah yang terbaik.

Saya semakin bosan.

Entah la, penulisan kali ini sedikit kacau bilau.

Cukup la dahulu.

Sekian.

Thursday, December 23, 2010

Warkah: Muka 20

Luar Biasa

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, luar biasa sungguh hari ini.

Pertamanya, lihat saja warkah terbaru ini. Siapa dapat menyangka, si Ariff yang lemah penulisan Bahasa Melayunya, dapat bertahan sehingga ke Muka 20 (Warkahnya)?

"kamu ni tulis merepek Arip"

Ya, saya tahu. Ya saya mengerti. Saya kuat merepek. Penulisan barangkali lebih banyak huraian daripada isi. Huraian-huraian juga mungkin sekali tidak berkaitan, hanya sekadar 'kata-kata kosong'.

Tidak mengapa bagi saya. Malah, saya pasti, tidak mengapa bagi kebanyakan juga.

Bukankah kita suka merepek, sambil makan kerepek didepan tv, memekik atau menangis, penuh emosi, atas benda yang juga merepek?

Bukankah kita suka berbual kosong, sambil lepak di kedai mamak, minum teh kosong (teh-O) dan jamah roti kosong (roti canai)?

Maka, syukur juga rasa diri, sudah jauh saya merepek.

Cukup luar biasa. Saya harap saya dapat teruskan penulisan saya, saya harap kalian bersabar dengan merepek saya, dan moga, sedikit isi-isi yang wujud itu akan dapat kalian tangkap, kunyah, telan, dan rasa nikmatnya.

Maka, apa lagi yang luar biasa hari ini?

Luar biasa hidup saya pagi ini, tatkala saya bangun pukul empat pagi, dengan rasa gembira yang tidak mahu saya kongsi sebabnya disini, dan lepas sedar terus buka buku sejarah.

"eh silap tu Arip!"

Ya, silap, maaf. Bukan buku Sejarah, tapi buku Malaysian Study (maaf pelajar-pelajar IPT, tahu kelak ego kalian tercalar kalau sebut Sejarah, itu cuma untuk budak sekolah saja).

Bagi saya, itu satu keajaiban. Luar biasa. Untuk bangun pagi dan baca buku. Apatah lagi kalau buku sejarah. Teringat kembali, kalau dulu masa sekolah, buku sejarah ini antara buku yang paling akhir dibuka untuk dibaca. Bukan sebab Sejarah itu senang. Tetapi kerana gentar.

Ya, gentar. Buku Sejarah ini punya kuasa tersendiri.

Kuasa, untuk buat badan rasa berat, perut rasa kenyang, tangan rasa berat, mata rasa mengantuk.

Ya, tekaan anda tepat sekali. Sejarah punya kuasa menjadikan semangat belajar anda 'tinggal sejarah'!

Tidak percaya? Maka apa lagi yang dapat saya kata, kalian kan pelajar yang hebat-hebat, barangkali kuasa buku Sejarah ini tidak memberi kesan pada kalian.

Sebagaimana ia tidak memberi kesan pada diri pagi tadi.

Kita tutup kisah itu, kita buka pula kisah baru. Luar biasa juga hari ini, apabila hadir ke kelas dua jam awal. Kalau sejam biasa lagi, almaklumlah, trauma tertinggal bas masih ada walaupun kini punya kereta. Tapi kalau dua jam cukup luar biasa.

"Kenapa Arip?"

Apa lagi dapat saya kata? Pinjam kata-kata Dr. Mahathir, "Melayu mudah lupa"

Maka awal lah saya, dan lewat lah mereka. Apa boleh buat, saya lupa.

Kelas bermula bila tiba waktu, dan dalam kelas sendiri punya keluar biasaan tersendiri. Ambil satu, adalah hari ini saya punya semangat yang luar biasa di dalam kelas. Kelas sejarah, maaf, Malaysian Study pulak tu. Biasanya terpengaruh dengan 'kuasa Sejarah'.

"Entah apa tak kena pada Arip?"

Ya, saya pun keliru. Hari ini awal datang, tetapi awal juga perginya. Lari-lari anak, hampir-hampir mahu melompat sahaja tatkala menuruni tangga, kerana rasa begitu lambat. Ingin segera. Ke Masjid (Pusat Islam MSU).

"Nak solat sunat ke Arip?"

"Ke nak ganti solat?" (Gelak besar-besar)

Alangkah baiknya kalau begitu (ganti solat juga baik, jangan perlekehkan orang!). Tidak, sekadar ingin mengetahui satu keputusan.

Maka komputer riba dibuka, bukan di riba, di lantai (komputer lantai?).

Beberapa tekanan pada kekunci kemudian, hasrat dihati dipenuhi.

Dan hasrat itu dikongsi.

Cukup luar biasa. Hebat rupanya. Pada yang menanya sebentar tadi, tahniah. Lepas ini buat lagi. Tahniah.

"Buat apa Arip?"

Ah, kamu, sibuk! Diam saja, ingin ku terukan kisah ini.

Maka, apa lagi yang hebat hari ini?

Sudah tentulah, pada solat Jumaatnya!

Oh, bukan solat saya ye, saya ini biasa-biasa je. Entah-entah lebih teruk, tapi mohon agar tidak.

Saya tidak pula ingin memberi komentar pada solat orang.

Tapi, saya nak focuskan pada tajuk khutbah tadi.

...saya lupa tajuknya. Tapi focus khutbah, insyallah, adalah mengenai Iman.

Ya, iman dan kita.

"Saya Islam, dan saya beriman", kata monolog dalaman.

"Anda pasti?", balas hati lagi, dengan nada Jamaludin Hassan.

"...."

Sedang diri asyik leka memandang manusia sementara menunggu Imam bermula hujahnya, sedang diri leka dan sibuk mencari kurang dan salah orang, Imam mulakan khutbah dengan hujah-hujah yang menggoncang jiwa.

Diterangkan tentang definisi iman yang sebenar. Terbakar jiwa.

Diterangkan akan cabaran-cabaran orang-orang beriman. Terbakar jiwa.

Diterangkan apa yang diterangkan dalam hadis, akan pertanyaan Jibril kepada nabi tentang apa itu Islam dan apa itu Iman. Terbakar dan terbakar dan terbakar lagi.

"Orang Islam belum tentu beriman, tetapi orang beriman insyallah Islam"

Insyallah

"Arip, insyallah tu bukan ke pakai kalau ragu-ragu?"

"Bongok! Insyallah itu 'dengan izin Allah' bukan 'tak pasti'! Apa kau kira, benda yang dengan izinNya, adalah benda yang tak pasti!?"

Tertikam diri sendiri lagi. Aduhai, sakit.

Tidak mengapa, sakit ini mengajar. Sakit ini mendidik.

Sebagaimana sakitnya tatkala jatuh ketika belajar berjalan. Jatuh, sakit, bangun lagi. Insyallah, pasti, sakit sebegini lebih baik, mendidik diri menjadi insan yang lebih berguna.

Maka, simpulan daripada celoteh ini, khutbah tadi sangat luar biasa.

Maka, atas motivasi luar biasa ini, rasa hendak luang masa sekejap di dalam masjid.

"buat apa? Ikut usrah ye? Baca quran? Bagi tazkirah? Alhamdulillah, sejuk saya"

Bukan, sekadar nak guna internet. Kat sini ada wi-fi, percuma. (gelak)

Duduk dekat belakang, buka komputer (lantai atau riba?). Facebook pujaan hati juga yang terkeluar dulu.


Itu la Arip, gatal sangat, tak pasal-pasal kena perli dengan diri sendiri!


"Kenapa tak duduk depan? Orang luar biasa duduk depan. Tengok imam, luar biasa orangnya, duduk depan. Tengok mereka itu, yang ala-ala Taliban (bak kata orang Islamophobia) tu, duduk depan. Kamu?", sindir diri.

Baiklah, ku maju kehadapan. Duduk sebelah mereka, bukan apa, sekadar mencuri dengar perbualan mereka, mana nak tahu, mereka ni radikal ke, boleh lapor, kita yang 'biasa-biasa' kan nak duduk aman-aman?

Beberapa pemerhatian dan penelitian kemudian, dapat disimpulkan; mereka tidak luar biasa.

Mereka biasa-biasa saja.

Mereka dalam proses, mendapat 'Islam biasa-biasa' sahaja.

"'Islam biasa-biasa' itu apa Arip?"

Hendak tahu? Baca ini.

Ya, mereka biasa-biasa sahaja. Tidak percaya? Tanya sahaja pada mereka, mesti mereka cakap, "Saya biasa-biasa saja". Malah, si Imam yang hadir bersama kelompok mereka sebelum sempat saya duduk ditepi mereka pun pasti akan kata, "Ana biasa-biasa sahaja".

Tapi pada mata saya, mereka luar biasa.

Hari ini, saya duduk sahaja di tepi mereka. Sekejap sahaja, tak lama.

Tapi, pelbagai ilmu yang saya dapat.

Bicara mudah, tentang musafir dan solat. Hmm, topik yang kena pada nama blog saya.

Kalian mungkin tahu, bahawa tempoh musafir adalah tiga hari, kan? TIGA HARI, tidak termasuk hari pergi dan hari berangkat pulang? Tahu kan?

Saya tidak tahu, saya baru tahu.

Kalian mungkin tahu, bahawa doktor yang bakal melakukan perbedahan berjam-jam, boleh jamak, kan? JAMAK, bukan QASAR. Tahu kan?

Saya tidak tahu, saya baru tahu.

Kalian mungkin tahu, ada pendapat mengatakan bahawa, ketika bermusafir, kalau niat dipasang untuk tinggal satu tempat melebihi 3 hari, maka tidak boleh jamak/qasar. Tetapi ada juga berpendapat, andai kata kita pergi sesuatu tempat itu lebih dari sebulan sekalipun (sebagai contoh, tunaikan haji), dan tatkala itu kita bermusafir (pasti bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain kan?), maka boleh jamak/qasar solat kita. Tahu kan?

Saya tidak tahu, saya baru tahu.

Maka saya mohon, jangan tanya saya perkara-perkara ini. Melainkan sebelah saya ada sahabat, ustaz yang lebih Arif. 'Lebih Arif' saya cuma pada huruf 'f', terlebih satu.

Tapi insyallah, satu hari nanti, saya mampu jadi 'lebih Arif' seperti 'lebih Arif' mereka ini. Amin, doakan saya.

Masa sebentar saya bersama mereka, bersama ilmu-ilmu yang saya dapat, cukup luar biasa bagi saya.

"Apa lagi yang luar biasa Arip?"

Apa lagi? Penulisan kali ini. Tidak sangka pula panjang sebegini.

Baiklah, cukup sekadar ini. Banyak lagi kerja lain perlu saya siapkan.

:)



Akhir kata: Orang yang terbaik untuk menegur kita adalah diri kita sendiri.



p.s: kalau tak jumpa link kat atas, boleh ambik kat bawah ni:-
1. http://iqbalsyarie.blogspot.com/2010/12/yang-biasa-biasa-saja.html

jangan lupa baca yang ini sekali:-
2. http://iqbalsyarie.blogspot.com/2010/12/menikam-bayang-sendiri.html
3. blog-blog sahabat yang lain (banyak sangat, malas nak salin semua)

Wednesday, December 22, 2010

Warkah: Muka 19

Lapar

Punya banyak bekalan dalam peti ais, tapi masih lapar.

Kosong, rasa kurang pengisian.

Dalam peti yang penuh itu, penuh makanan. Tapi kurang pengisian.

Sama juga hati ini. Rasa kosong, kurang pengisian.

Pelbagai ilmu, hiburan, gossip, informasi, dan lain-lain dicari. Tapi masih 'lapar'.

Terisi, tapi kosong.

Zat-zatnya terlalu sedikit.

Mungkin benar kata orang, kalau ingin perut terisi, kena keluar cari makan.

Mungkin benar kata orang, kalau ingin hati terisi, kena keluar dari kelompok kebiasaan.

...

Lapar, bila nak kenyang?

Friday, December 17, 2010

Warkah: Muka 18

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya.

1. Pemimpin yang adil

2. Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT

3. Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid


4. Dua
lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT

5. Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan
"Aku Takutkan Allah"


6. Seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya

7. Seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.”


-Hadith Riwayat Muslim-

Tak mahukah kalian, ingin berusaha mendapat lindungan Arasy Allah kelak? Kalau mahu, ayuh kita berusaha!

Tuesday, December 14, 2010

Warkah: Muka 17

Rindu

Sebentar tadi berkongsi pendapat dengan kawan-kawan menerusi laman sosial Facebook.

Berdiskusi sebentar bersama bekas teman serumah (masa di MAIS), buat diri teringat kembali waktu dulu. Bagaimana cara diri dahulu mendapat didikan agama atau apa jua ilmu.

Harus diakui, jika disebut sedikit tentang soal pembelajaran agama, diri ini cukup malas.

Masakan tidak, dulu masa kecik suka ponteng mengaji. Pergi kelas pun sebab dapat biskut gula percuma, kalau mengaji. Atau takut ustaz tunjuk kehebatan jari dan tangannya, selain memegang kapur dan lidi.

Masuk sekolah agama untuk masa yang singkat sewaktu menetap di Penang, banyak masa dihabiskan bermain di Masjid kampung.

Masa awal sekolah menengah, asyik buat alasan nak melengahkan waktu mengaji. Kata nak ambik nota-nota di kelas, masuk kelas main gaduh-gaduh ala-ala cerita "The Matrix" (yang masa itu hangat dipertontonkan).

Dalam kelas malas belajar.

Majlis agama selalu tak hadir.

"Baca Yaasin" dalam dorm, dengan lampu tertutup.

Ya, dahulu dengan kenangan dahulu. Manis sebenarnya, kalau nak difikirkan.

Masa buat dosa memang manis, macam makan gula.

Lepas buat baru rasa perit, macam orang terlebih gula, diabetes jadinya.

Tapi dalam keadaan malas-malas begitu, diri sebenarnya masih tertarik dengan agama.

Kerana itu adalah fitrah manusia. Manusia itu perlu pada agama.

Jadi, macam mana Ariff yang nakal ini, dapat melayani permintaan hatinya yang dahagakan cahaya?

Teringat kembali...

Masa kecil, Atuk teman ke sekolah, di ajak sama-sama "nyanyi"...

"Subhanallah"

"Alhamdulillah"

"Allah hu akbar"

Diulang dan diulang, didendang dan didendang...sehingga merdu rasanya.

Teringat kembali...

Ayah tatkala malam, disuruh "mengajar" ayah apa yang diajar di kelas mengaji.

Maka berebut la kami, anak-anak kecil.

Mengaji depan ayah, sebab pasti ayah akan senyum gembira.

Di sekolah.

Nakal-nakal sekalipun, ada guru yang memahami...

Ustazah yang bijak mengajar...

Sehingga agama terasa seronok sekali...

Ustaz-ustaz penuh variasi...

Ada yang disayangi...

Ada yang digeruni...

Namun semua dihormati...

Mungkin masa muda, jasa-jasa mereka ini tidak begitu dihargai...

Tapi kini, diri rasa amat terhutang budi. Sebab diri bukan lagi yang terbaik, tapi tanpa mereka, barangkali diri tidak pernah mengenal erti BAIK.

Teringat juga di Matrikulasi. Tiba-tiba ada azam yang menggunung tinggi. Nak jadi baik. Nak jadi soleh.

Niat? Entah la, tapi mungkin tersasar pada mulanya.

Allah itu Maha Mengasihani. Maha Bijaksana.

Maka tersusun satu persatu rencana kehidupan. Diberi dugaan. Diberi ujian. Diberi bukti kasihNya.

Sampai si keras kepala ini boleh menangis di malam hari.

Sampai si hati batu ini boleh lebut hatinya.

Sampai si degil ini mampu menangis pada ibunya.

Belum cukup? Memang belum cukup, sebab masih banyak lopongnya.

Alam Universiti.

Maka datang ia dengan cabaran-cabarannya. Hebat, lebih dari apa yang disangkakan.

Dahaga segara hati ini, mana perlu dicari cahayanya?

Ku cuba satu perkara baru. Usrah namanya.

Tapi hati masih keras. Tak lama, sudah ku rasa layu, bosan begitu.

Alasan. Alasan.

Hadir pula kawan-kawan dermawan. Suka memberi ilmu tanpa sebarang harapan.

Maka, di kedai makan itu, ilmu dicurahkan.

Di dalam dan luar bas, ilmu dicurahkan.

Di setiap saat bersembang, disebalik gurau senda, ilmu dicurahkan.

Tatkala senang, ketika susah, ilmu juga dicurahkan.

Kini perkara itu menjadi satu kejarangan. Hidup sudah berubah, cabaran juga sudah berubah. Apa yang pasti, hidup itu cabarannya meningkat, tidak menurun, mustahil terjunam dan hilang.

Tapi andai diri lalai, diri dibiar kehausan, maka diri akan terjunam. Akan hilang.

Dahaga. Memang dahaga.

Rindu. Teramat rindu.

Bilakah lagi dapat dahaga ku dipenuhi? Bilakah lagi dapat rindu ku terubat?

Thursday, December 9, 2010

Warkah: Muka 16

Cinta: Fokus kita?

Assalamualaikum. Selamat pagi.

Sekadar ingin mencuri sedikit masa untuk menulis, kiranya hasil pernulisan kelak tidak memuaskan, harap maaf.

Sudah lama sebenarnya tidak menulis dalam blog ini. Tidak punya banyak alasan selain malas dalam menulis dalam bahasa Melayu.

Pelik bukan? Orang Melayu yang malas tulis dalam bahasa Melayu.

Barangkali saya adalah bukti kesan penularan budaya Barat.

Walau apa pun, hari ini ingin saya bangkitkan satu isu.

Satu isu yang sering terbangkit. Berbangkit. Bangkit.

Isu cinta.

Isu ini, saya akui, memang cukup digemari oleh diri. Sejak baligh, maka isu ini mula berputik didalam diri.

Dan kini ia mekar dengan hebatnya.

Kalau minda diibaratkan sebagai taman, maka taman itu penuh dengan pokok-pokok "Cinta" ini.

Indah dengan "bunga-bunga cinta".

Pernah beberapa kali, diri cuba untuk alihkan pandangan daripada bunga-bunga ini.

Tetapi ianya nyata mustahil.

Kerana cinta adalah fokus manusia.

Cinta adalah harapan manusia.

Jadi, saya cuba untuk melihat semua cinta-cinta yang ada dalam ruangan minda saya.

Kali ini, saya cuba melihat dan menilai dengan ilmu, dan bukan dari perasaan.

Nyata, setelah bertahun-tahun dihidangkan dengan pelbagai bentuk cinta, maka pohon-pohon cinta yang mekar didalam taman ini juga punyai perlbagai variasi. Ada jenis yang lebih mekar daripada lain, malah ada yang hampir mati akibat kurang mendapat perhatian.

Ku kenali mana yang mekar.

Ku kenali mana yang layu.

Sebelum ini, ku cuba tolak cinta. Ku dapat hanya kekusutan.

Kerana cinta itu fokus, kerana cinta itu harapan.

Cinta akan ibu membuatkan kita mahu berjalan tatkala kecil. Cinta akan ilmu membuatkan kita belajar bersungguh-sungguh. Cinta akan bola menyebabkan diri menjerit tatkala Arsenal menang melawan seterunya.

Jadi, perlukah kita nafikannya?

Cinta menggerakkan manusia. Cinta itu fokus manusia.

Tapi, cinta yang mana satu perlu kita fokuskan?

Cinta yang mana kita perlu kurangkan? Cinta yang mana pula, yang hanya bagaikan lalang di dalam taman, sekadar menyemakkan jiwa dan pemikiran?

Ku sudah tau jawapan bagi ku.

batu-batu asas untuk taman ku

Di pagi ini, di taman minda ku, ku bawa bersama sabit dan gunting ku panggil sebagai ilmu.

Untuk mencantas cinta-cinta yang ku rasa tidak perlu, yang ku rasa tidak utama.

Di pagi ini, di taman minda ku, ku bawa juga baja dan air. Juga ku peroleh dari ilmu.

Untuk menghidupkan semula seri yang layu, yang kerap kali ku lupakan.

Dengan ini, ku harap hanya pohon-pohon cinta yang mustahak saja yang mekar di dalam taman.

Hanya wangian bunga-bunga cinta pilihan ini saja yang ingin ku idamkan.

Taman minda ku sudah indah. Ku mohon ia kekal berpanjangan.

Cinta, yang mana satu anda fokuskan?




p.s: Perbandingan dalam kelaziman kita ketika menuntut ilmu atau dalam mencari fokus kehidupan boleh diibaratkan macam mana lazimnya kita memilih makanan. Kita terlalu suka akan sajian pencuci mulut atau sajian2 ringan yang lain, kerana akan manisnya, tetapi kita lupa untuk menitik beratkan sajian utamanya, kerana kurang lazatnya pada pandangan kita, sedangan ia lebih membawa manfaat.

p.s: Ilmu itu penting, maka, tuntutlah ilmu :)

Sunday, November 28, 2010

Warkah: Muka 15

Penggemar Buku?

Jalan-jalan di MPH, SACC, Shah Alam semalam. Ternampak sebuah naskah buku yang sejak dari semester satu ingin membeli.

Inilah buku yang paling banyak alasan dicipta untuk (tidak) dibeli.

Maka semalam, lahir nekad untuk beli. Tapi sekali lagi perang monolog berlaku.

Alasan-alasan halus dicipta.

Hujah-hujah bernas membangkang.

Pusing-pusing jasad dibuat.

Penjaga kedai pasti pelik, melihat kelibat budak berkaca mata ini berlegar-legar di satu sudut ruangan, keluar kedai, masuk semula, dan kembali berlegar ke ruangan itu.

Akhirnya, buku itu berjaya diambil.

Maka berakhirlah penantian lima semester.

Persoalan kini, adakah buku itu akan dibaca?

Adakah kalam Allah itu, yang di tafsirkan dalam bahasa yang ditutur lidah, dan diselit huraian bagi mengelak salah faham, akan ditatap?

Berapa lama? Berapa kerap?

Moga Allah bantu. Allah sentiasa membantu.

Cuma diri yang tidak tahu.

Thursday, November 25, 2010

Warkah: Muka 14

Senyum

Assalamualaikum,

Malam tadi, tergerak hati nak ke surau.

Nak cuba dapat 27 daripada 1.

Terkejut dengan kehadiran ramai jemaah.

Rupanya ada majlis tahlil dan bacaan yasin lepas Maghrib tadi. Menyesal pula tak turut serta.

Usai solat, ada santapan!

Mula-mula hati keberatan, sebab datang pun masa Isyak (Jamuan untuk hadirin yang ikut tahlil)

Rupa-rupanya, ada jiran ikut serta. Maka diajaknya sekali.

Maka ku santap bersama yang lain.

Usai, perut kenyang.

Tergerak pula hati nak tolong angkat pinggan.

Tolong angkat sajalah, cucinya tidak (gelak).

Ke dapur, terlihat gelagak yang buat ku tersenyum.

Gelagak kanak-kanak kecil.

Anak-anak ini berebut-rebut.

Hanya semata-mata untuk mencuci pinggan.

Berebut-rebut. Melakukan kebaikan.

Alangkah indahnya, jika sikap ini diteruskan hingga akhir hayat.

Alangkah indahnya, jika generasi muda punya sikap anak-anak ini.

Alangkah indahnya, jika diri punya istiqamah untuk sentiasa mengejar kebaikan.

Sehingga ditinggalkan kemungkaran, sehingga dikejar-kejar kemungkaran itu, tidak jua berjaya mencapai kita.

Alangkah indahnya.

Hari ini, hari yang cukup indah.

Hari ini, aku ingin senyum.

:)

Tuesday, November 23, 2010

Warkah: Muka 13

JOM BERSENAM!

kalau dah stress atau mengantuk sangat time tengah belajar atau bekerja,
amik masa 7 minit untuk buat senaman ringan ini..


ikut arahan betul-betul

image001.gif

ni ala taichi sikit la…
sebagai intro dan warming up..

image002.gif

tiru la macam ni…
untuk melegakan bahu dan leher..

image003.gif

wa..wa.. aaa

image004.gif

gerak kekanan kemudian ke kiri..

image005.gif

gerak ke kiri kemudian ke kanan

image006.gif

ikut je ler… jangan terpusing kepala sudah la..

image007.gif

tepuk kuat kuat kat dahi..
ni untuk hilang mengantuk..

image008.gif

dah tu buat gerakan tangan dan badan…
buat macam happy aje..

image009.gif

kemudian goyang2 kaki dan badan sikit…
buat macam takde masaalah…

image010.gif

buat secara aggresive pula…
jangan peduli apa orang lain kata..

image011.gif

hilangkan semua stress…

image012.gif

pusingkan kepala…

image013.gif

tengok muka kat cermin
sambil goyang2.. lawa tak…

image014.gif

akhir sekali
buat joget kucing…

kalau tak hilang juga
ambil bantal kecik pergi tidur…

Monday, November 22, 2010

Warkah: Muka 12

...


Terasa agak bosan sekarang. Tak punya aktiviti.

Usai berbasikal tadi, ingatkan nak rehatkan badan.

Tapi rasa macam tak perlu pula.

Jadi, sekarang agak lengang.

Kelas petang berkemungkinan besar dibatalkan (pendapat sendiri)

...

Sunday, November 21, 2010

Warkah: Muka 11

Melihat langit, mengejar mentari

Ahad datang.

Seperti Ahad- Ahad yang lain, hari dimulakan tanpa sebarang aktiviti. Sekadar santai di rumah.

Mengemas rumah, setelah selesai, rehat.

Terfikir untuk memasak. Tapi hari ini hari Ahad. Berfikir di hari Ahad adalah dilarang sama sekali. Maka, tatkala otak ingin mula bergerak (fikir nak masak), ada tangan ghaib yang menekan butang "Tidur".

Maka tidur la saya di petang hari.

Bangun dengan perut lapar.

Sedikit kudapan dijamah.

Dengan badan lebih bertenaga, muncul satu idea (tanpa berfikir panjang, kerana fikir di hari Ahad adalah dilarang sama sekali).

Untuk keluar berbasikal.

Melihat langit, mengejar mentari.

Dan ini adalah hasilnya.



Sangat berharap ada kamera. Huhu.

Warkah: Muka 10

Assalamualaikum,

Saya ingin mempromosikan blog ini:

www.productivemuslim.com

Selamat Membaca (senyum).

Thursday, November 11, 2010

Warkah: Muka 9

Wajah

Terjumpa satu laman web kelakar:

http://turnyournameintoaface.com/

Di bawah ni 4 gambar dari empat nama yang berkait dengan saya...hehe

Monday, November 8, 2010

Warkah: Muka 8



Warna

Putih bunga Biru Merah Hitam Hitam pink Putih hitam Oren coklat Jaket hitam

...

Biru Merah Belang-belang Biru Putih 100Plus Jaket brown Putih jalur-jalur Merah Biru cerah Coklat jalur Oren petak-petak Ungu Hitam oren Biru Putih jalur Petak-petak Kuning Pink jalur Putih Ungu jalur Biru Hitam kuning Petak-petak Jalur biru putih

hehe~

Saturday, November 6, 2010

Warkah: Muka 7

Abang dan Adik

Assalamualaikum,

Malam tadi, tatkala memasuki surau untuk bersolat Isyak, ku gunakan waktu (menunggu) itu untuk melihat gelagak dua orang kanak-kanak dibelakang surau.

"Adik beradik"', pada pendapat ku.

Pada pendapatku lagi, si Abang adalah yang tidak banyak membuat bising dan nakal, sekali sekala melayan kerenah adik lakinya itu, sekali sekala tersenyum dan tergelak, tetapi sering saja duduk dan senyap, faham akan adab di dalam surau.

Si Adik pula ada sebentuk jasad yang memiliki tenaga yang infiniti, riang, dan barangkali berani. Selepas memerhati kehadiranku, si Adik menghadiahkan senyuman yang manis, dan kembali bermain.

Lebih mengharukan lagi, adalah apabila si Adik mencium si Abang di pipi.

Tanda sayang si Adik akan si Abang.

Indah bukan?

Kadang kala, sering juga ku bayangkan diri ini mempunyai adik lelaki atau abang.

Entah apa rasanya?


Berkata tentang Abang dan Adik, selalunya si Abang adalah mereka yang lebih arif dan sering menjadi tempat mengadu atau merujuk bagi si Adik. Itu adalah secara kebiasaannya.

Di Shah Alam ini, ku kenal akan seorang yang ku juga rujuk sebagai Abang.

Dari Abang inilah, banyak ilmu yang diperoleh.

Banyak persoalan yang terjawab.

...

...

Sudah ku kira, hampir-hampir dua tahun ku tidak bertemu dengan Abang ini.

Ku bangkit seribu satu alasan tatkala perpisahan, namun tunjangnya adalah satu: MALAS.

Perasaan malas, dan barangkali takut, untuk mengikut hala tuju akan Abang ku ini.

...

...

Hampir-hampir dua tahun berlalu.

Diri menjadi kosong walaupun luarnya terisi dan diisi.

Cahaya seakan malap walaupun luarnya terang.

Dua tahun berlalu, dan kini dengan izin Allah, ku temu Abang ku lagi.

Sekali lagi ku di ajak bersamanya ke arah perjuangannya.

Sekali lagi ku lontar seribu satu alasan bertunjangkan MALAS.

Keliru.

Waktu. Ku perlukannya.

Pendapat. Ku inginkannya.

Apa perlu aku buat?

rindu akan pertemuan sebegini

Thursday, November 4, 2010

Warkah: Muka 6

Rumah ini


Rumah ini, gelap
Ku cuba meneranginya,
Lampu dipasang, cermin digilap,
Ku harap akan cahaya,
Tapi, rumah ini tetap,
Gelap.

Lagu: Selamat Datang Cinta



denganmu sepiku kan berganti
berganti keindahan
yang belum pernah kurasa

kamu gelora di jiwaku
taklukan keraguan
dan ketakutan hatiku

Reff:
selamat datang cinta di hatiku
ku sebut hadirmu
berikan aku cinta rahasia kehidupan
tanpa engkau cinta aku buta
kau cahaya hati
cinta tak pernah salah dalam memilih

back to Reff

cinta tak pernah salah dalam memilih

Wednesday, November 3, 2010

"Abah.. bagilah balik tangan Ita"

Ini sebuah kisah yang bisa mengundang air mata siapa sahaja yang membacanya. Kisah ini saya dapat dari seorang rakan melalui e-mail. Setiap kali membaca kisah nie mesti bergenang air mata. Walaupu manusia memang sering melakukan kesilapan...mungkin ada kesilapan yang dilakukan boleh di maafkan atau diperbetulkan semula..dan mungkin juga ada kesilapan yang dilakukan bakal mengundang kekesalan yang tidak berpenghujungnya. Kerana itu Allah telah memberi akal kepada setiap manusia supaya boleh menilai menimbang dan berfikir sebaik-baiknya dalam melakukan sesuatu samada baik atau sebaliknya..terlajak perahu boleh diundur..terlajak perbuatan..sesal selamanya...

Kisah Si Kecil Ita...

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar, lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya....kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut besar pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis berbayar, berbatik-batik.

Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, 'Siapa punya kerja ni?' Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. . Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan 'Tak tahu... ! ''Saya tak tahu Tuan..!

''Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?' herdik siisteri lagi.

Bila anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata 'Ita buat ayahhh.. cantik kan !' katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.

Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar abahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya didepannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan. Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia sangat takut .

Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu. Pembantu rumah segera memeluk dengan penuh sayang dan duka, cepat-cepat menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik.

Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar.Menangis teresak-esak keduanya, dalam bilik. Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air.

Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu. 'Sapukan minyak gamat tu!' balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. 'Ita demam... ' jawap pembantunya ringkas. 'Bagi minum panadol tu,' balas si ibu.

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. 'Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap' kata majikannya itu.

Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius. Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu.

'Tiada pilihan..' katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan yang sudah menjadi gangren sudah terlalu teruk.

'Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah' kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan.

Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakanhabis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihat kedua- dua tangannya berbalut putih.

Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata...

'Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama.' katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

'Ita juga sayang Kak Narti..' katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorang pun yang melihat suasana itu tidak menangis.... 'Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi,' katanya bertalu-talu.

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..

"Didiklah dan pukullah anak anda dengan penuh kasih sayang, bukan untuk lepaskan geram & marah anda...." (,")(",)


Sumber: facebook

Monday, November 1, 2010

Saturday, October 30, 2010

Warkah: Muka 4

Malam, Hari Jumaat: Malang

Assalamualaikum,

Jumaat lepas merupakan hari yang amat memenatkan dan malang. Setelah usai melakukan "sesuatu", dalam keadaan lemah tetapi segera, ku cuba bersiap segera untuk ke Rawang. Waktu tatkala itu menghampiri Maghrib dan ku perlu bertolak dari rumah selepas Maghrib untuk segera sampai ke Rawang.

Malang tidak berbau, sesuatu kejadian yang nyata amat menghiburkan hati bagi sesiapa yang mengetahui dan mendengar tetapi sangat memalukan dan mengaibkan (jangan bimbang, diri ini muka tembok. Pasti kelak akan dikhabarkan jua) bagi seseorang individu (bayangan: penulis blog ini) telah berlaku. Maka, segala perancangan yang telah dilakukan telah terbatal.

Masa ku terbazir hanya untuk melepaskan diri daripada kejadian itu.

Cukup sekadar ini dahulu.

Kelak akan bersambung lagi.

Nantikan.

Selamat membaca!

Thursday, October 28, 2010

Warkah: Muka 3

Hari 3

Hari ini sudah masuk hari ketiga duduk berseorangan di rumah ini. Tidak punya banyak kisah untuk dikisahkan, kiranya ada sekalipun, kisah itu harus ku simpan terlebih dahulu. Rumah dalam keadaan yang agak kemas walaupun masih terdapat banyak lagi yang untuk diperkemaskan.

Semalam ku dilanda keletihan yang amat. Tetapi ini bakal ku kisahkan kemudian.

Rindu akan rumah lama tidaklah begitu mendalam pada hari ini. Rindu akan gerai-gerai makanan di kawasan rumah lama...AMAT DIRASAI.

Disini ku temui sedikit kesukaran dalam mencari makanan. Rasa malas, mengantuk dan letih yang mengiringiku semalam pula menyebabkan aku hampir-hampir sahaja tidur kelaparan. Mujurlah, pak cik Man, jiran ku yang sangat prihatin menghulurkan sedikit jamuan. Ku santap dengan segera. Dengan kelaparan sedikit kekurangan (masih lapar), ku cuba untuk menghabiskan masa di rumah dengan sebarang aktiviti. Namun akhirnya, aktiviti tidur mendominasikan segala yang lain.

Tidak banyak yang ingin ditulis. Bahasa Melayu masih lemah. Perlukan pembaikian.

Selamat Membaca!

Jangan campurkan ini

Jangan makan SUSU dengan DAGING
Jangan makan DAGING dengan IKAN
Jangan makan IKAN dengan SUSU
Jangan makan AYAM dengan SUSU
Jangan makan IKAN dengan TELUR
Jangan makan IKAN dengan DAUN SALAD
Jangan makan SUSU dengan CUKA
Jangan makan BUAH dengan SUSU (koktail)

Tuesday, October 26, 2010

Warkah: Muka 2

Periksa

Assalamualaikum,

Tanpa sebarang idea untuk menulis, saya mulakan muka dua ini dengan menulis perkara yang bakal saya lakukan.

Pertama: Jaga peperiksaan.
Beberapa hari yang lepas, ketika kawan saya bertanya, "Ariff, ko nanti jaga exam tak?", yang menjawab, "Tidak". Ironinya, hari ini saya akan mendaftar diri sebagai penolong pengawas. Penipu? Barangkali tidak. Ini adalah apa orang katakan sebagai takdir. Kita merancang, tetapi Allah juga yang menentukan.



Kedua: Pindah.
Akhirnya, setelah dua tahun duduk di Wisma MAIS, saya akan berpindah ke rumah baru. Walaupun flat lama ini lebih suka saya tafsirkan sebagai kotak batu kecil berhawa dingin dan bersewa melampau, namun pelbagai kisah suka duka yang saya lalui di sini. Paling tidaknya, di sinilah tempat saya memulakan blog ini, dengan menggunakan perkhidmatan Internet paling murah yang pernah saya dengar di muka bumi ini! (RM30 sebulan, silalah kira sendiri berapa nilainya dalam masa sejam).
Apa pun, dalam setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Tidak mahu bercakap panjang lebar tentang perpindahan ini (dengan nada sedih dan iringan lagu-lagu yang menggoyang jiwa), saya ingin melihat perpindahan ini sebagai satu langkah baru yang positif. Setidak-tidaknya, saya akhirnya bebas daripada membayar sewa atas sewa!


Ketiga: Membeli belah.
Bila sudah pindah, sudah pasti ada sahaja pembelanjaan yang perlu dikeluarkan. Ini adalah sedikit senarai barangan:

1. Almari baju
2. Rak buku
3. Meja
4. DVD Lagenda Budak Setan

1 hingga 3? Keperluan. 4? Kemahuan.


Cukup sekadar itu.

Selamat Membaca!

Warkah: Muka 1

Pengenalan

Assalamualaikum semua. Seperti yang dirancangkan, saya memulakan lembaran baru untuk menulis blog di dalam bahasa Melayu.

Seperti yang saya jangkakan, terdapat sedikit cabaran bagi diri ini untuk menulis. Apatah lagi dalam bahasa Melayu. Agak memalukan, untuk diri, apabila mempunyai kelemahan yang lebih ketara dalam menulis di dalam bahasa ibunda sendiri berbanding dengan bahasa Inggeris. Kelakar juga apabila meneliti semula catatan ini, kerana diri merasakan seperti kanak-kanak yang baru sahaja belajar menulis.

Walau begitu, tekad sudah dipasak utuh didalam jiwa, untuk cuba pemperkayakan semula bahasa Melayu didalam diri. Semoga penulisan ini dapat membantu sedikit sebanyak.

Pada asalnya, diri terasa untuk menyambung blog ini daripada penulisan di blog sebelum ini. Puas fikir, akhirnya ku putuskan untuk membiarkan blog terbaru ini mempunyai gaya ceritanya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, untuk perawalan, blog ini akan mempunyai gaya penulisan yang hampir serupa dengan blog terdahulu.

Cukuplah sekadar ini dahulu. Sebarang kritikan dan pandangan, amat dialu-alukan.

Selamat menulis!