Monday, April 18, 2011

Warkah: Muka 33

Sehari Sebelum

Selamat hari jadi buat diri. Seperti kebiasaan tahun-tahun lepas, bulan April merupakan bulan dimana kecintaan (affinity, bak kata mat saleh) penyakit kepada saya meningkat. Alhamdulillah, syukur kerana bulan ini saya tidak 'dicintai' demam dan selsema. Malangnya, saya 'dicintai' pula oleh sakit perut.

Sabar sahaja.

Maka elok juga saya ambik ini sebagai ikhtibar. Allah sayang saya. Tiap kali hari jadi menjelma, saya akan diberi peringatan. Teguran, dalam bentuk kiasan yang lebih berseni dan lebih indah daripada bahasa dan tindak tanduk manusia. Hebat.

Sakit ini sebagai pertanda. Nyata setahun berlalu dengan diri ini tidak lekang oleh dosa. Ingat. Allah masih beri peluang untuk kamu berubah.

Alhamdulillah, hadiah harijadi saya pada kiraan saya amat ringkas tapi bermakna. Sekadar kata-kata, melalui telefon. Nasihat dan doa bermakna daripada ibu. Mengah tatkala menaiki basikal petang tadi seolah-olah hilang tatkala kegembiraan datang selepas usai membuat panggilan.

Kalau ada orang perhati, mesti dia fikir lain.

Apa pun, diri masih seperti kebiasaan, lebih selesa menyambut hari jadi dengan bersendirian, atau dengan cara sendiri. Bukan bermakna cara tradisi seperti memotong kek dan membuat majlis makan itu tidak digemari. Cuma, rasanya dengan bersendiri, diri akan lebih mudah untuk bermunasabah. Setahun sudah berlalu, berapa lama lagi masa diberi untuk melakukan ibadah padaNya.

Maka, sehari sebelum.

Sehari sebelum hari ini iaitu 17 haribulan April yang jatuh pada hari Ahad merupakan hari yang cerah tanpa hujan. Diri yang bangun lebih awal pada hari itu teruja sebab ada dua aktiviti dalam perancangan. Pertama adalah untuk bermandi di Air terjun Chilling. Kedua adalah untuk melihat kelip-kelip bersama adik.

Sekitar pukul 8.30-9.00 pagi, saya dan 5 orang lagi (Najwa, En. Rusdi, Najmi, Kak Rai, Syuhada) bergerak daripada Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu. Alhamdulillah, walaupun ini adalah kali pertama kami ke sana, kami tidak punya masalah untuk sampai ke destinasi kami.


Air Terjun Chilling merupakan tempat yang menarik bagi penggemar hutan dan sungai kerana perjalanan ke sana memerlukan kita meredah sungai sebanyak 5 kali. Air terjun itu terdapat 3 terjunan, dan kebanyakkan orang akan bermandi dan berkelah di air terjun yang pertama. Air terjun kedua tidak boleh disinggah kerana kedudukan geografinya yang bahaya. Saya, Najmi dan Syu, setelah sampai ke Air Terjun pertama, terus meneruskan pendakian ke Air Terjun ketiga. Di sini, air terjunya lebih deras dan kawasannya lebih aman dan sunyi. Kawasan untuk berkelah juga sangat terhad, dan atas sebab-sebab itu, mungkin ramai tidak memilih untuk naik ke sini.





Setelah puas bermandi manda di Air Terjun 1 dan 3 serta menjamu selera, kami pulang dan tiba di Shah Alam sekitar pukul 6.30 petang. Saya langsung dengan aktiviti saya yang kedua. Malangnya, adik tidak dapat turut serta dan kawan yang diajak juga tidak berkelapangan. Perjalanan yang bermula sekitar 7.45 malam ke Kg. Kuantan di Kuala Selangor mengambil masa yang agak lama. Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin untuk meneruskan pencarian Kg. Kuantan, setelah beberapa kali tersesat. Tapi akhirnya, sekitar 9 malam, saya tiba. Lima belas minit kemudian, saya menaiki sebuah sampan bersama 3 orang remaja dan 2 orang kanak-kanak (tua sangat ke aku ni? haha) dan kami dibawa ke habitat kelip-kelip. Pemandangan disitu nyata berbaloi dengan bayaran rm10 seorang untuk menaiki sampan itu. Cahaya berkelip-kelip di hampir setiap sudut pokok-pokok pelembang yang tumbuh meliar di Sungai Selangor (menurut juru pandu sampan).

Lawatan kami selama 20-30 minit itu nyata menyeronokkan. Sesekali sekecil yang mengikut kami berjenaka. Ragam mereka yang bersama saya pada malam itu juga sangat melucukan.

Insyallah, lain kali saya akan melawat semula ke dua tempat ini, tetapi bersama kawan-kawan dan ahli keluarga.

Semoga.


p.s: gambar oleh En. Rusdi.

No comments:

Post a Comment