Monday, June 20, 2011

Warkah: Muka 35


The beauty of taking trouble...

"musibah adalah sebagai tiket untuk mendekati Allah SWT dan sebagai jalan menuju bahagia"


Itu adalah status daripada seorang kawan dalam facebook yang dibaca tatkala asyik melayari internet.

Assalamualaikum.

Lama rasanya diri ini tidak duduk dan berfikir. Untuk menyepi sementara, membenarkan diri untuk bermuhasabah. Mengimbau kembali masa silam, bukan untuk berangan, tetapi untuk menyelami kembali diri sendiri. Lihat dengan mata hati, mana kuat, mana lemah. Kaji, mana betul dan mana silap.

Kebelakangan ini diri ada menerima kesusahan. Diri mengerti apa itu susah.

Tapi, diri ini lupa untuk belajar daripada kesusahan.

Lebih mudah dan senang, untuk diri menyalahkan orang atau benda lain atas musibah diri. Sedar atau tanpa sedar, semua tomahan-tomahan itu sebenarnya seperti mencela Pencipta sendiri. Sedar atau tanpa sedar, aib orang atau ralat benda yang ingin dibesar-besarkan itu adalah bukti cara diri mengelak cela sendiri daripada diketahui.

Maka, diri ini sedar lemah. Tapi bodoh dan sombong untuk mengakui.

Alahai, andai sahaja segala kesusahan itu tidak diterima dengan keluh dan kesah.

Alahai, andai sahaja segala dugaan itu tidak diterima dengan akal yang pendek.

Cuba sahaja diri ini bawa bertenang, dan bukannya diajak kaki bawa bertendang, dalam kemarahan.

Ambik masa untuk senyum dan bersyukur. Untuk redha dan terima.

Ambik masa untuk fikir dan zikir. Cari rasionaliti, cari motivasi.

Dengan dugaan, maka diri ini lebih dekat pada Ilahi. Tidak sedarkah akan diri ini?

Ibu, atas sayang akan anaknya maka akan dimarahi anaknya jika dia bersalah.

Ayah, atas sayang akan anaknya maka dibiar anaknya susah belajar berjalan, agar kuat kakinya kelak.

Tuhan, lebih sayang akanNya hambaNya, lebih banyak dugaan yang diberikan.

Sedangkan sejarah membuktikan, bagaimana kekasih-kekasih Allah sebelum ini, diberi ujian sebegitu besar dan berat, sebagai bukti cintaNya pada hambanya.

Barangkali diri terlalu lena dengan kesenangan, hinggakan begitu cepat merungut dan mengalah apabila diberi ujian yang begitu kecil.

Ingat kembali, wahai diri.

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan"

Jangan terlalu berharap kesenangan, kerana barangkali kesenangan itu menjadi jalan kepada kecelakaan di akhirat kelak.

"The beauty of taking trouble is to gain one's knowledge"

Dengan kesusahan, baru seorang itu belajar.


Bila susah, baru kita lebih ingat.

Bila kenal erti musibah, lebih bermakna syukur kita. Lebih dihargai nikmat yang diberi.

Maka jangan dan hentikan gusar diri tatkala dalam kesusahan.

Terima ketentuan tuhan, hadapi cabaran yang diberi, dan sabar dalam menempuhnya.

Selepas hujan yang lebat, pasti muncul pelangi yang indah.

Selepas malam yang suram, pasti tiba pagi yang riang.

Sabar sahaja.

No comments:

Post a Comment