Friday, June 24, 2011

Rahsia Khusyuk - Adab Adab Membaca Al-Fatihah

Artikel di bawah berasal dari sini. Disebabkan rasa ada baiknya artikel ini disebarkan, maka saya letak pada blog ini. Mohon dibaca dan dimanfaatkan.


Rahsia Khusyuk - Adab Adab Membaca Al-Fatihah



Al Fatihah ialah kata-kata Munajat . Dengan ayat Al Fatihah kita berkata-kata secara langsung dengan Allah s.w.t. Maka sebelum itu kita perlu membaca kalimah ‘Ta’awwuz’ dengan tujuan memohon perlindungan diri dengan Allah SWT dari segala gangguan dan bencana yang datang dari Iblis dan syaitan yang terkutuk, kerana dialah yang sentiasa berusaha untuk memalingkan hati kita dari menghadapi Allah.

Kemudian kita diperlukan pula membaca “Bismillah” untuk mendapatkan berkat dengan nama Allah sebelum melaksanakan sesuatu pekerjaan, sambil mengingat bahawa Allah sahajalah yang menguasai segala-segalanya dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh kerana Al Fatihah adalah Ibu Segala Ayat di dalam Quran, hati dan jiwa kita hendaklah dipusatkan kepadanya ketika lidah kita membacanya. Ketika membaca Al Fatihah, sebaik-sebaiknya hati hendaklah mendahului lidah, atau sekurang-kurangnya hendaklah lidah menjadi guru bagi hati, iaitu hati hendaklah mengingat makna sesudah lidah membacanya.

1. Ketika kita membaca "Alhamdulillahi Rabbil Alamin" kita ingat di dalam hati bahawa segala kepujian adalah hak-kepunyaan Allah kerana Allah menjadikan seluruh alam dan mengatur serta menguasainya. Maka tidaklah ada sesiapa selain dari Allah yang berhak menerima kepujian itu. Kemudian kita berhenti sejenak untuk menanti reaksi kepada pujian kita itu, seolah-olah kita dengar Allah menjawab: “ Aku telah disanjung oleh hambaKu.”

2. Bila kita membaca "Ar Rahmanir Rahim" kita tekankan dalam hati bahawa fungsi Allah sebagai Penguasa dan Pengatur alam berlaku kerana sifat Pengasih dan PenyayangNya. Maka segala yang kita terima dari kurniaanNya adalah dengan RahmatNya semata-mata. Jika tidak kerana Rahmat-Nya, alam ini tidak mungkin terjadi dan tidak pula tersusun seperti yang kita lihat.

3. Ketika kita membaca "Maliki Yaumid-Din" hendaklah kita ingat bahawa Allah s.w.t adalah Penguasa dan Hakim yang Maha Agung di Akhirat. Hanya Dia yang membuat perhitungan dan memberi ganjaran kepada segala amalan kita di dunia. Maka tidaklah ada kuasa lain yang boleh diharap-harapkan selain dari Allah.

4. Apabila kita mebaca “Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in” ingatan kita tertumpu kepada Allah yang Maha Agung dengan ikrar bahawa tidak ada sesuatu pun yang disembah melainkan ‘Engkau’. Maka secara langsung kita berikrar: KepadaMu aku beribadat dan kepadaMu jua aku memohon pertolongan! Dengan ikrar ini juga kita harap akan diperteguh i’tiqad di dada kita bahawa walaupun bantuan dari makhluk diperlukan juga dalam kehidupan kita sehari-hari, tetapi Allah adalah Penggerak dan Penolong Yang Sebenar di sebalik usaha dan ikhtiar makhlukNya.

5. Ketika kita membaca “Ihdinas-Siratal-Mustaqim” ucapan ini adalah doa dan permintaan kita supaya Allah memberi petunjuk kepada kita ke jalan yang benar dalam segala hal, baik yang mengenai amalan atau ilmu yang kita perlukan sebagai hambaNya yang taat. Doa ini penting kerana kita tidak mungkin menemui jalan yang lurus dan benar itu jika Allah tidak memberi petunjukNya kepada kita.

6. Ketika kita membaca “Shiratal-lazina An’amta Alaihim” kita harus sematkan dalam ingatan bahawa ‘ Jalan Lurus’ yang kita pohonkan dari Allah sebenarnya adalah jalan yang pernah dinikmati oleh hamba-hamba Allah yang lain oleh pemberianNya jua. Dengan kesedaran ini semoga kita mencontohi amalan orang-ornag yang telah diberi nikmat oleh Allah di dunia ini, semoga kita akan menyertai mereka di akhirat nanti.

7. Ketika kita membaca “Ghairil Maghdubi Alaihim Waladh-Dhaal-Liiin” kita memohon pada Allah supaya dijauhkan kita dari jalan, perbuatan dan sifat manusia yang dibenci dan dimurkai oleh Allah kerana kecenderungan mereka melakukan kebatilan dan kemungkaran, sedangkan kebatilan membawa kepada kesesatan. Pada akhir ayat ini kita berhenti sejenak untuk menanti jawapan dari Allah, yang kita harap-harapkan akan berkata: “Aku beri kepada hambaKu, dan bagi hambaKu ini apa yang ia minta”.

Monday, June 20, 2011

Warkah: Muka 35


The beauty of taking trouble...

"musibah adalah sebagai tiket untuk mendekati Allah SWT dan sebagai jalan menuju bahagia"


Itu adalah status daripada seorang kawan dalam facebook yang dibaca tatkala asyik melayari internet.

Assalamualaikum.

Lama rasanya diri ini tidak duduk dan berfikir. Untuk menyepi sementara, membenarkan diri untuk bermuhasabah. Mengimbau kembali masa silam, bukan untuk berangan, tetapi untuk menyelami kembali diri sendiri. Lihat dengan mata hati, mana kuat, mana lemah. Kaji, mana betul dan mana silap.

Kebelakangan ini diri ada menerima kesusahan. Diri mengerti apa itu susah.

Tapi, diri ini lupa untuk belajar daripada kesusahan.

Lebih mudah dan senang, untuk diri menyalahkan orang atau benda lain atas musibah diri. Sedar atau tanpa sedar, semua tomahan-tomahan itu sebenarnya seperti mencela Pencipta sendiri. Sedar atau tanpa sedar, aib orang atau ralat benda yang ingin dibesar-besarkan itu adalah bukti cara diri mengelak cela sendiri daripada diketahui.

Maka, diri ini sedar lemah. Tapi bodoh dan sombong untuk mengakui.

Alahai, andai sahaja segala kesusahan itu tidak diterima dengan keluh dan kesah.

Alahai, andai sahaja segala dugaan itu tidak diterima dengan akal yang pendek.

Cuba sahaja diri ini bawa bertenang, dan bukannya diajak kaki bawa bertendang, dalam kemarahan.

Ambik masa untuk senyum dan bersyukur. Untuk redha dan terima.

Ambik masa untuk fikir dan zikir. Cari rasionaliti, cari motivasi.

Dengan dugaan, maka diri ini lebih dekat pada Ilahi. Tidak sedarkah akan diri ini?

Ibu, atas sayang akan anaknya maka akan dimarahi anaknya jika dia bersalah.

Ayah, atas sayang akan anaknya maka dibiar anaknya susah belajar berjalan, agar kuat kakinya kelak.

Tuhan, lebih sayang akanNya hambaNya, lebih banyak dugaan yang diberikan.

Sedangkan sejarah membuktikan, bagaimana kekasih-kekasih Allah sebelum ini, diberi ujian sebegitu besar dan berat, sebagai bukti cintaNya pada hambanya.

Barangkali diri terlalu lena dengan kesenangan, hinggakan begitu cepat merungut dan mengalah apabila diberi ujian yang begitu kecil.

Ingat kembali, wahai diri.

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan"

Jangan terlalu berharap kesenangan, kerana barangkali kesenangan itu menjadi jalan kepada kecelakaan di akhirat kelak.

"The beauty of taking trouble is to gain one's knowledge"

Dengan kesusahan, baru seorang itu belajar.


Bila susah, baru kita lebih ingat.

Bila kenal erti musibah, lebih bermakna syukur kita. Lebih dihargai nikmat yang diberi.

Maka jangan dan hentikan gusar diri tatkala dalam kesusahan.

Terima ketentuan tuhan, hadapi cabaran yang diberi, dan sabar dalam menempuhnya.

Selepas hujan yang lebat, pasti muncul pelangi yang indah.

Selepas malam yang suram, pasti tiba pagi yang riang.

Sabar sahaja.