Wednesday, August 24, 2011

Warkah: Muka 48

Hitam

Assalamualaikum,

Sedikit coretan sebelum berhempas pulas menyiapkan tugasan akhir.

Alhamdulillah, semakin hari, semakin mengakhiri pengajian tiga tahun.

Hari-hari akhir ini, andai tidak ditemani suram akibat pedih sebuah pengakhiran yang bakal mendatang, maka akan "diserikan" pula dengan tugasan-tugasan akhir yang memeritkan setiap salur-salur merah biru di dalam badan.

Juga kerisauan akan sebuah penantian dan harapan. Usaha dilaksanakan, dan doa diutuskan. Moga semuanya baik-baik sahaja.

Namun ada juga kegembiraan.

Alhamdulillah, hitam itu menawan.

Hitam sudah penglihatan akan sesuatu yang tidak wajar dilihat. Hadir cahaya akan perubahan seorang teman. Doa moga istiqamah dan kuat dalam meneruskan perubahan.

Hitam adalah warna dilangit malam, namun terang suasana dengan gelak tawa dan hadirnya rakan-rakan. Mungkin kelak tiada lagi sebegini, namun memori ini tak mungkin akan mudah padam.


Hitam itu memberi senyuman. Dalam terharu dan gembira, kerana ada harga pada diri yang dihargai.

Terima kasih.

Itu sahaja mampu ku lakarkan.

Terima kasih.

Syukur. Terima kasih.








p.s: (mengeluh)...ayat yang ditulis ni bunyinya merepek. Mohon abaikan andai membacanya hanya memeritkan mata (gelak)

Friday, August 19, 2011

Warkah: Muka 47

Quartet

Assalamualaikum,

source: Google


Baru sahaja petang tadi usai membaca buku ini. Ini pertama kali baca buku karya Saidatul Saffaa. Entah la, kadang-kadang datang angin membaca genre triller, kadang-kadang datang angin membaca novel...jiwang?

Novel ini, dalam kategori jiwang ke?

Entah la, susah nak kelaskan novel-novel melayu ni. Sebab hampir semua yang dibaca akan diselit unsur romantis ke dalam. Tak sah, macam tak sah hidup diri kalau tak minum susu...erk, tak da kaitan. (mula dah nak merepek)

Apa sekalipun, pujian diberikan kepada penulis kerana berjaya mengarang novel yang pada pendapat saya, punya jalan cerita yang menarik. Tapi, seperti biasa, sifat skema dalam diri ini tidak sudah-sudah geram sebab gaya penulisan yang bersahaja dan tidak mengikut tertib dan tatabahasa Bahasa Melayu. Penulisan seperti blogger, bebas dan bersahaja.

Pada pendapat saya, watak utama dalam novel ini sangat menarik dan lain dari kebiasaan. Juga kisah bagaimana watak ini bermetamorphosis daripada individu luar biasa kepada individu biasa (luar biasa bermaksud luar daripada kebiasaan orang Islam). Saya yakin kisah yang dikarang ini mampu memberi semangat kepada para pembaca untuk turut berubah kearah kebaikan.

Sepanjang perjalanan kisah novel ini juga, kerap kali saya tertanya akan diri, "Adakah diri sedang berubah kearah kebaikan". Banyak juga nasihat-nasihat dari sahabat watak utama ini, Azra (spoiler) sebagai contoh seolah-olah terkena pada diri sendiri. Meskipun ini adalah kisah perjalanan hidup seorang wanita, namun pengajaran yang dapat diambil bersifat universal.

Tutup buku.

Tepuk buku, buang debu yang melekat.

Tapi hati yang berdebu ini, sudah ditepuk?







p.s: Saya bila pilih buku, kebiasaannya saya akan memilih berdasarkan rupa luaran dulu, sebab pada saya, "we can judge a book by it's cover, but don't judge too much before reading". Begitu juga prinsip dalam memilih kawan/teman. Penampilan itu sebenarnya penting. Cuma, definisi penampilan itu bukan hanya sekadar wajah dan rupa. Tidak salah kan?

Monday, August 15, 2011

Warkah: Muka 46

Islam is cool and Islam is the only way of life.



T.T

Lesson learnt, but will lesson apply?

Ya Rabbi, bimbinglah hambaMu ini.

Saturday, August 13, 2011

Warkah: Muka 45

Pilihan

Ya Allah, jika benar ini terbaik untukku, maka hapuskan ragu dalam jiwa ini. Ya Rabbi jika pilihanku adalah sebaliknya, berikan aku petunjuk dan jauhkan aku darinya...Hanya padaMu aku mampu berharap. Amin.

Aku yakin keputusan aku tepat. Tetapi ada sahaja angin-angin keraguan berhembus di telinga ini, menyisip masuk kedalam rongga dada ini, melingkari salur-salur di otak ini.

Aku perlukan keyakinan. Barangkali sekiranya aku bertindak, maka keyakinan itu akan hadir.

Insyallah.

Semoga diberi petunjuk.

Amin.


Thursday, August 4, 2011

Warkah: Muka 44

Kelakuan

‎"Kalau benda itu baik, ceritakan lah. Kalau benda itu tak baik, tak perlu lah"

Assalamualaikum.

Kadangkala, kita menyangka dengan menceritakan atau mendengar buruk orang lain, kita telah melakukan kebaikan. Sebab apa? Sebab alasannya kita mendapat pengajaran. Tapi, bukankah perbuatan kita itu sebenarnya salah? Apatah lagi kalau cerita itu ditokok tambah, atau jauh menyimpang daripada kebenaran. Secara tidak langsung, kita sudah mempunyai satu persepsi yang salah terhadap orang itu.

Bayangkan, kalau orang lain buruk sangka pada kita, apa pula perasaan kita kalau kita mendapat tahu?

Ayuh, kita latih diri supaya kurang berkata tentang keburukan orang. Lebih baik memuji. Kalau hendak menasihati, pastikan orang yang kita khabarkan pun ada sekali dengan kita. Itu barulah komunikasi yang efektif!

Andai tidak, tidak perlu kata apa-apa.

Senyum, jauhkan diri daripada "gossip".

Senyum, tak perlu kata apa-apa.

:)

Tuesday, August 2, 2011

Warkah: Muka 43

Stanza Cinta

Assalamualaikum.


Baru sahaja usai membaca novel Stanza Cinta karya Nurull Halawati.

Sedikit ulasan.

Rasanya novel ini layak untuk diri beri pujian. Tahniah! Bukan mudah untuk melihat karya Islamik, dan bukan mudah untuk melihat karya Islamik yang berkualiti, bukan sekadar novel jiwang melarat yang ada terselit sedikit unsur Islam dan moral.

Jalan ceritanya juga agak segar, dengan kesudahan yang tidak disangka-sangka.

Apa yang menarik pada pendapat diri, adalah novel ini kerap mempunyai unsur muhasabah diri. Seiring dengan perjalanan cerita, kita akan menjadi saksi akan sisi hidup watak utama bernama Amni Sorfina yang tidak lekang daripada dugaan hidup, dan bagaimana dia cuba meleraikan dengan cara terbaik; melalui agama. Cerita ini juga menberi gambaran akan senario biasa manusia yang tak lari daripada kesilapan dan kelemahan, bahkan mereka yang mempunyai ilmu agama juga tidak terkecuali.

Diri juga tertarik akan watak Irfan yang dalam mengejar cinta Amni, dia telah menemui cinta yang kekal abadi, iaitu cinta kepada Rabbi. Nyata perjalanan menuju redhaNya itu bukan mudah, dan novel ini memberikan gambaran hidup sebagai hamba Allah dengan sebaik mungkin.

Novelis yang merupakan anak keluaran UiTM serta giat dalam Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga menghiburkan diri apabila menyelitkan tempat-tempat yang tidak asing bagi diri di kampus UiTM (walaupun diri tidak menuntut disana), dan kawasan Shah Alam. Ada juga nama beberapa individu yang menarik perhatian. Tidak dapat dipastikan jikalau mereka ini sebenarnya karakter fantasi, atau ilham daripada manusia sebenar.

Apapun, rasanya tak perlu la nak bagi sinopsis cerita di sini. Kesian pada kalian yang mungkin tidak membaca lagi novel ini.


Kalau kalian ada menonton drama di malam ahad di saluran TV3, ada drama berjudul "Stanza Cinta" yang dikaryakan daripada novel ini.

Namun, saya melihat drama itu punya beberapa perubahan jalan cerita. Tidak berani saya untuk mengulas atau memberi pandangan, kerana saya sendiri tidak begitu kerap melihat drama ini atas kesibukan diri.

Cuma saya sangat berharap, agar drama itu dapat mengikut seboleh mungkin jalan cerita novel, malah kalau boleh ajaran agama Islam yang ada terselit bersama dapan pula diterjemahkan dalam drama terbabit.

Sayang, andai motif karya ini tidak diketengahkan.

Tutup. Usai. Sila baca, moga kalian terhibur dan terdidik.

...




Monday, August 1, 2011

Warkah: Muka 42

Muhasabah diri

Assalamualaikum, selamat beribadah di bulan Ramadhan buat pembaca.

Sekadar sedikit kisah.

1 Ramadhan hadir dengan diri masih bersalut dengan dosa-dosa yang lazim dibuat. Masih dengan tabiat dan kelemahan yang gagal dibuang.

Maka, tidak hairan apabila 1 Ramadhan hadir dalam keadaan diri yang masih di tampuk lama.

Tapi sesal juga rasanya. Kenapa susah sangat untuk menjadi lebih baik?

Kenapa lebih mudah jatuh, daripada bangkit?

Kisah.

Pagi adalah seperti biasa, dipenuhi dengan kuliah. Kawasan kampus sedikit lengang, diri menyangka mungkin disebabkan semua keletihan berpuasa. Nyata jangkaan melesit. Hampir terlupa, hari ini rakan-rakan dan warga kampus yang lain ada peperiksaan.

Semoga kalian menjawab dengan baik, amin.

Petang pula adalah sesi makmal yang tidak disangka. Tidak mengapa, apa lagi yang boleh dibuat melainkan ikut sahaja sesi kuliah yang menggantikan sesi makmal.

Lewat petang, Maghrib menghampiri dengan diri tidak tahu ke mana ingin membawa diri. Matlamat Ramadhan ini; tidak mahu pergi ke pasar dan berbelanja boros. Tapi sejak duduk seorang, rasa sunyi bila makan tidur belajar tidak berteman. Lebih terasa bila Ramadhan menjelma.

Teringat kenangan masa duduk di Wisma MAIS dulu. Teringat kenangan matrikulasi di Kulim dulu.

Semuanya ceria bila ada sahabat-sahabat. Hendak beribadah pun senang.

Akhirnya, ke kampus juga, buka puasa bersama sahabat.

Malam itu juga, buat perbandingan diri. Banding kualiti antara diri dengan orang lain.

Nyata masih jauh di belakang.

Pulang, sebelum itu sempat singgah ke Giant.

Stanza Cinta. Terbeli pula.

Tetapi rasanya tidak rugi.

Cukuplah membaca, esok perlu bangun awal.

"Apabila sudah berkopiah macam ini, terbentenglah diri dari hal-hal yang tidak elok"

Itu jelas Irfan.

Aku? Kopiah buat pengingat, atau sekadar olok-olok?

Selamat Malam.






p.s: andai menangis di malam hari, biarlah ianya kerana mengingat dosa pada Tuhan.