Sebentar tadi gaduh dengan adik di Skype, lawan antara penggunaan
perkataan "Anxiety" dan "Dilemma" bila mana dia ingin cerita 1001
masalah dunia dan remaja yang dia terima.
Dia kata "Anxiety"
lebih boleh diterima, sebab "Anxiety: The feeling of being very worried
about something that may happen or may have happened, so that you think
about it all the time" sedangkan aku memilih "Dilemma" yang membawa
maksud "A situation in which it is difficult to decide what to do,
because all the choices seem equally good or equally bad". Memikir
sejenak isi perbualan, aku tersenyum kecil, tidak disedari oleh adikku
dengan "video call" ditutup. Dalam diri sudah tahu salah, fahaman dan
pembawakan (dalam perkataan) aku sudah salah, tapi dek kerana bosan, dan
juga barangkali sebab ego yang menebal, sedangkan aku abang dan aku
lebih tua dan sewajar lebih banyak makan garam dalam bahasa, aku
panjangkan perdebatan dengan harapan adikku luntur walau benar.
Tapi anak muda ini pantang dicabar. Maka aku tak sedar sebenarnya dah
berlebam-lebam mukaku dipanah dan ditumbuk fakta. Sedangkan aku? Cuma
mampu mengingatkan akan kisah lama zaman kegemilangan ayah aku (eh,
kami, terlupa kami saudara bila bergaduh ni) yang kurang kaitannya
dengan aku apatah lagi dengan isu perbalahan kami. Tak lupa juga dengan
memanggil adik ku dengan nama 'manja' yang sudah pasti menyebabkan
mulutnya tertarik tepi, seakan-akan merajuk.
Usai Skype, aku
bangkit....untuk ke Panda. Ataupun Banda, seperti mana ammu ammu disini
sering sebutkan. Degil atau adat, huruf P yang kita sebut "PI" mahu juga
disebut "BI" atau mudahnya huruf B. Habis pening lalat semua yang bukan
warga tempatan untuk biasakan diri. Teringat kadang kala, bila kita
hendak terangkan sesuatu yang baru kepada mereka yang lebih tua. Kadang
kala mereka terima, tapi selalunya:
"Malas la pak cik nak belajar, LAIN KALILAH buat cara ni"
"Kita kan dah biasa dengan cara lama, memang la lambat sikit, sakit sikit, tapi kan sama jer hasilnya?"
"Pandai pula kamu nak mengajar ye, aku lebih tahu dari kamu tahu!"
Tersentap pula aku dengan lamunan aku sendiri. Teringat perbualan dengan adik di Skype tadi.
Akulah orang tua itu.
Barangkali, berpuluh tahun tidak buka minda (aku baru 20-an, bukan 50-an ye?), jadi keras hati nak terima perubahan.
Owh, aku nak cerita apa sebenarnya?
Di Panda...Banda...Panda, aku hendak beli telur. Sepapan. Kononnya nak jadi Chef esok. Konon.
Dan aku tengok telur sepapan itu tidak berapa adil. Saiz telur adalah
pemboleh ubah dimanipulasi dan bukannya malar, sedangkan harganya malar
dan bukan pemboleh ubah bergerak balas. Aku ada hak pengguna, sepatutnya
aku boleh tukar. Tapi sebab aku MALAS HENDAK AMBIL KISAH, juga 'syukur'
saja dengan apa yang sudah disediakan, aku pun ambil dan bayar. Apa
hendak susah? Harga telur-telur ini pun sudah cukup murah, dikurangkan
harga dari bulan lepas (usah dikira harga sebelum ini, sebab dunia
memang putarnya begini, makin lama makin sukar, dan begitulah juga
dengan harga barangan).
Balik rumah. Ada telur busuk. Pecah
sikit, tapi isi dalamnya segan nak keluar, maka segala tindak balas
bacteria berlaku didalam.
Luar nampak indah, isi dalam busuk.
Kelakarnya, yang aku fikirkan adalah "Anxiety" dan "Dilemma".
Kenapa aku malas baca? Kenapa aku malas teliti?
Maka busuk satu telur aku ini, tidak mampu menyumbang tenaga untuk generasi akan datang, apatah lagi untuk diri sendiri.
nomadmelayu. separa fiksyen, separa benar. beberapa minit sebelum Maghrib Hari Pekerja, 2013 Syariq Siddiq, Mansoura.
p.s: Tulis ni untuk POSED...dan lain kali, mari gaduh lagi ye wahai adikku? :)