Wednesday, May 1, 2013

Warkah: Muka 95

[Anxiety, Dilemma, Telur]

Sebentar tadi gaduh dengan adik di Skype, lawan antara penggunaan perkataan "Anxiety" dan "Dilemma" bila mana dia ingin cerita 1001 masalah dunia dan remaja yang dia terima.

Dia kata "Anxiety" lebih boleh diterima, sebab "Anxiety: The feeling of being very worried about something that may happen or may have happened, so that you think about it all the time" sedangkan aku memilih "Dilemma" yang membawa maksud "A situation in which it is difficult to decide what to do, because all the choices seem equally good or equally bad". Memikir sejenak isi perbualan, aku tersenyum kecil, tidak disedari oleh adikku dengan "video call" ditutup. Dalam diri sudah tahu salah, fahaman dan pembawakan (dalam perkataan) aku sudah salah, tapi dek kerana bosan, dan juga barangkali sebab ego yang menebal, sedangkan aku abang dan aku lebih tua dan sewajar lebih banyak makan garam dalam bahasa, aku panjangkan perdebatan dengan harapan adikku luntur walau benar.

Tapi anak muda ini pantang dicabar. Maka aku tak sedar sebenarnya dah berlebam-lebam mukaku dipanah dan ditumbuk fakta. Sedangkan aku? Cuma mampu mengingatkan akan kisah lama zaman kegemilangan ayah aku (eh, kami, terlupa kami saudara bila bergaduh ni) yang kurang kaitannya dengan aku apatah lagi dengan isu perbalahan kami. Tak lupa juga dengan memanggil adik ku dengan nama 'manja' yang sudah pasti menyebabkan mulutnya tertarik tepi, seakan-akan merajuk.

Usai Skype, aku bangkit....untuk ke Panda. Ataupun Banda, seperti mana ammu ammu disini sering sebutkan. Degil atau adat, huruf P yang kita sebut "PI" mahu juga disebut "BI" atau mudahnya huruf B. Habis pening lalat semua yang bukan warga tempatan untuk biasakan diri. Teringat kadang kala, bila kita hendak terangkan sesuatu yang baru kepada mereka yang lebih tua. Kadang kala mereka terima, tapi selalunya:

"Malas la pak cik nak belajar, LAIN KALILAH buat cara ni"

"Kita kan dah biasa dengan cara lama, memang la lambat sikit, sakit sikit, tapi kan sama jer hasilnya?"

"Pandai pula kamu nak mengajar ye, aku lebih tahu dari kamu tahu!"

Tersentap pula aku dengan lamunan aku sendiri. Teringat perbualan dengan adik di Skype tadi.

Akulah orang tua itu.

Barangkali, berpuluh tahun tidak buka minda (aku baru 20-an, bukan 50-an ye?), jadi keras hati nak terima perubahan.

Owh, aku nak cerita apa sebenarnya?

Di Panda...Banda...Panda, aku hendak beli telur. Sepapan. Kononnya nak jadi Chef esok. Konon.

Dan aku tengok telur sepapan itu tidak berapa adil. Saiz telur adalah pemboleh ubah dimanipulasi dan bukannya malar, sedangkan harganya malar dan bukan pemboleh ubah bergerak balas. Aku ada hak pengguna, sepatutnya aku boleh tukar. Tapi sebab aku MALAS HENDAK AMBIL KISAH, juga 'syukur' saja dengan apa yang sudah disediakan, aku pun ambil dan bayar. Apa hendak susah? Harga telur-telur ini pun sudah cukup murah, dikurangkan harga dari bulan lepas (usah dikira harga sebelum ini, sebab dunia memang putarnya begini, makin lama makin sukar, dan begitulah juga dengan harga barangan).

Balik rumah. Ada telur busuk. Pecah sikit, tapi isi dalamnya segan nak keluar, maka segala tindak balas bacteria berlaku didalam.

Luar nampak indah, isi dalam busuk.

Kelakarnya, yang aku fikirkan adalah "Anxiety" dan "Dilemma".

Kenapa aku malas baca? Kenapa aku malas teliti?

Maka busuk satu telur aku ini, tidak mampu menyumbang tenaga untuk generasi akan datang, apatah lagi untuk diri sendiri.

nomadmelayu.
separa fiksyen, separa benar.
beberapa minit sebelum Maghrib
Hari Pekerja, 2013
Syariq Siddiq, Mansoura.
 
p.s: Tulis ni untuk POSED...dan lain kali, mari gaduh lagi ye wahai adikku?   :)

No comments:

Post a Comment