Saturday, October 30, 2010

Warkah: Muka 4

Malam, Hari Jumaat: Malang

Assalamualaikum,

Jumaat lepas merupakan hari yang amat memenatkan dan malang. Setelah usai melakukan "sesuatu", dalam keadaan lemah tetapi segera, ku cuba bersiap segera untuk ke Rawang. Waktu tatkala itu menghampiri Maghrib dan ku perlu bertolak dari rumah selepas Maghrib untuk segera sampai ke Rawang.

Malang tidak berbau, sesuatu kejadian yang nyata amat menghiburkan hati bagi sesiapa yang mengetahui dan mendengar tetapi sangat memalukan dan mengaibkan (jangan bimbang, diri ini muka tembok. Pasti kelak akan dikhabarkan jua) bagi seseorang individu (bayangan: penulis blog ini) telah berlaku. Maka, segala perancangan yang telah dilakukan telah terbatal.

Masa ku terbazir hanya untuk melepaskan diri daripada kejadian itu.

Cukup sekadar ini dahulu.

Kelak akan bersambung lagi.

Nantikan.

Selamat membaca!

Thursday, October 28, 2010

Warkah: Muka 3

Hari 3

Hari ini sudah masuk hari ketiga duduk berseorangan di rumah ini. Tidak punya banyak kisah untuk dikisahkan, kiranya ada sekalipun, kisah itu harus ku simpan terlebih dahulu. Rumah dalam keadaan yang agak kemas walaupun masih terdapat banyak lagi yang untuk diperkemaskan.

Semalam ku dilanda keletihan yang amat. Tetapi ini bakal ku kisahkan kemudian.

Rindu akan rumah lama tidaklah begitu mendalam pada hari ini. Rindu akan gerai-gerai makanan di kawasan rumah lama...AMAT DIRASAI.

Disini ku temui sedikit kesukaran dalam mencari makanan. Rasa malas, mengantuk dan letih yang mengiringiku semalam pula menyebabkan aku hampir-hampir sahaja tidur kelaparan. Mujurlah, pak cik Man, jiran ku yang sangat prihatin menghulurkan sedikit jamuan. Ku santap dengan segera. Dengan kelaparan sedikit kekurangan (masih lapar), ku cuba untuk menghabiskan masa di rumah dengan sebarang aktiviti. Namun akhirnya, aktiviti tidur mendominasikan segala yang lain.

Tidak banyak yang ingin ditulis. Bahasa Melayu masih lemah. Perlukan pembaikian.

Selamat Membaca!

Jangan campurkan ini

Jangan makan SUSU dengan DAGING
Jangan makan DAGING dengan IKAN
Jangan makan IKAN dengan SUSU
Jangan makan AYAM dengan SUSU
Jangan makan IKAN dengan TELUR
Jangan makan IKAN dengan DAUN SALAD
Jangan makan SUSU dengan CUKA
Jangan makan BUAH dengan SUSU (koktail)

Tuesday, October 26, 2010

Warkah: Muka 2

Periksa

Assalamualaikum,

Tanpa sebarang idea untuk menulis, saya mulakan muka dua ini dengan menulis perkara yang bakal saya lakukan.

Pertama: Jaga peperiksaan.
Beberapa hari yang lepas, ketika kawan saya bertanya, "Ariff, ko nanti jaga exam tak?", yang menjawab, "Tidak". Ironinya, hari ini saya akan mendaftar diri sebagai penolong pengawas. Penipu? Barangkali tidak. Ini adalah apa orang katakan sebagai takdir. Kita merancang, tetapi Allah juga yang menentukan.



Kedua: Pindah.
Akhirnya, setelah dua tahun duduk di Wisma MAIS, saya akan berpindah ke rumah baru. Walaupun flat lama ini lebih suka saya tafsirkan sebagai kotak batu kecil berhawa dingin dan bersewa melampau, namun pelbagai kisah suka duka yang saya lalui di sini. Paling tidaknya, di sinilah tempat saya memulakan blog ini, dengan menggunakan perkhidmatan Internet paling murah yang pernah saya dengar di muka bumi ini! (RM30 sebulan, silalah kira sendiri berapa nilainya dalam masa sejam).
Apa pun, dalam setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Tidak mahu bercakap panjang lebar tentang perpindahan ini (dengan nada sedih dan iringan lagu-lagu yang menggoyang jiwa), saya ingin melihat perpindahan ini sebagai satu langkah baru yang positif. Setidak-tidaknya, saya akhirnya bebas daripada membayar sewa atas sewa!


Ketiga: Membeli belah.
Bila sudah pindah, sudah pasti ada sahaja pembelanjaan yang perlu dikeluarkan. Ini adalah sedikit senarai barangan:

1. Almari baju
2. Rak buku
3. Meja
4. DVD Lagenda Budak Setan

1 hingga 3? Keperluan. 4? Kemahuan.


Cukup sekadar itu.

Selamat Membaca!

Warkah: Muka 1

Pengenalan

Assalamualaikum semua. Seperti yang dirancangkan, saya memulakan lembaran baru untuk menulis blog di dalam bahasa Melayu.

Seperti yang saya jangkakan, terdapat sedikit cabaran bagi diri ini untuk menulis. Apatah lagi dalam bahasa Melayu. Agak memalukan, untuk diri, apabila mempunyai kelemahan yang lebih ketara dalam menulis di dalam bahasa ibunda sendiri berbanding dengan bahasa Inggeris. Kelakar juga apabila meneliti semula catatan ini, kerana diri merasakan seperti kanak-kanak yang baru sahaja belajar menulis.

Walau begitu, tekad sudah dipasak utuh didalam jiwa, untuk cuba pemperkayakan semula bahasa Melayu didalam diri. Semoga penulisan ini dapat membantu sedikit sebanyak.

Pada asalnya, diri terasa untuk menyambung blog ini daripada penulisan di blog sebelum ini. Puas fikir, akhirnya ku putuskan untuk membiarkan blog terbaru ini mempunyai gaya ceritanya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, untuk perawalan, blog ini akan mempunyai gaya penulisan yang hampir serupa dengan blog terdahulu.

Cukuplah sekadar ini dahulu. Sebarang kritikan dan pandangan, amat dialu-alukan.

Selamat menulis!