Thursday, January 20, 2011

Warkah: Muka 23

Keanak-anakkan.

Hari ini hendak menulis santai. Mengambil sedikit masa untuk berehat, walhal rehat diri ini sudah lebih dari cukup. Kerja yang perlu dilaksanakan bertimbun, maka teramatlah hairan diri ini akan diri ini yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kerisauan.

"Ariff ni cool la", masih teringat kata-kata seorang kawan.

Entah apa 'cool' nya saya sendiri tidak tahu. Saya setakat ini mencirikan diri saya sebagai orang yang cepat gelabah. Lagak tenang itu barangkali hanya terpacar tatkala perlu sahaja.

Lagak, bukan sifat sebenar.

Atau mungkin sahaja kawan itu bermaksudkan lain. Almaklumlah, 'cool' itu banyak cara untuk diertikan.

'Cool' barangkali adalah sejuk. Mungkin saya kurang sedar, tatkala memandu, penghawa dingin yang lebih menghala ke ruangan penumpang dibelakang itu terlalu sejuk. Mungkin.

'Cool' itu juga mungkin tersalah dengar sebagai 'Cold'. Juga sejuk, tetapi juga bermaksud dingin. Maka seorang manusia itu apabila digelar dingin, sudah pasti kalian tahu bagaimana cirinya. Sikap tidak ambik peduli adalah kemestian.

Dingin. Harus saya akui sikap itu saya miliki. Malah boleh saya katakan sikap itu semakin menebal. Saya tidak tahu bagaimana sikap itu boleh ada. Saya juga tidak tahu bagaimana sikap itu boleh menebal. Saya juga tidak mengerti akan kaedah untuk melunturkan sikap itu.

Saya tidak Arif dalam hal-hal perasaan. Sering saya menasihati rakan, tetapi bila datang tentang diri, saya juga tidak mengerti.

Dingin ini saya rasakan perlu, kerana saya khuatir akan hati ini. Hati yang mudah tersentuh, mudah risau, mudah terasa. Barangkali saya dilahirkan dengan hati yang punya urat-urat yang lebih luar biasa daripada manusia biasa, maka hati ini lebih mudah tersentuh. Saya risau akan itu. Maka saya dinginkan hati. Mungkin.

Maaf. Saya juga masih belajar, dan saya juga buntu.

Barangkali apabila kawan itu berkata 'cool', ianya merujuk kepada suhu badan diri. Entah kenapa, diri terasa sejuk. Malam ini, rumah tidak dipasang penghawa dingin atau kipas, kerana terasa sejuk. Komputer riba ini sudah meraung kepanasan, malah kepanasan itu terasa di tapak tangan yang menyandarkan diri atas permukaan komputer ini. Tapi badan masih terasa sejuk.

Andai kata panas sekalipun, penghawa tetap akan ditutup. Membukanya adalah seperti memanggil nikmat dan kenyamanan yang teramat luar biasa untuk hinggap pada diri. Bagaikan diselimut oleh bidadari, angin-angin yang keluar menyanyikan lagu-lagu kedamaian ditelinga, hingga otak waras tidak mampu lagi melaksanakan tugasnya dek terasyikan yang teramat sangat.

Dengan kata lain, kalau penghawa dingin dipasang, maka tidur menjadi tindakan seterusnya.

Sungguh diri tidak boleh tidur pada malam ini. Dipaksa untuk tidak tidur, bukan sahaja kerana belum lagi menunaikan kewajipan, tetapi juga kerana kerja-kerja yang bertimbun memerlukan usaha yang lebih untuk menyelesaikannya.

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Demi masa, sesungguhnya diri dalam kerugian.

Berbalik kepada 'cool' dan penghawa dingin, kedua ini mengingatkan akan satu kejadian pada minggu lepas.

Penghawa dingin tatkala itu di fasa akhir pembaikiannya. Maka datanglah Encik Hadi yang walaupun lebih tua, tetapi lebih selesa dipanggil Hadi (wajahnya juga nampak muda). Hadi datang ke rumah untuk memasang suis untuk penghawa dingin yang sebelum ini amatlah mesra kepada renjetan kilat sehinggakan rosaklah ia akibat terlalu akrab bersahabat dengan benda yang memudaratkan.

Maka pengajaran daripada penghawa dingin ini adalah berwaspadalah dalam memilih sahabat dan berpada-padalah dalam bersahabat. Tapi sekiranya sahabat itu baik seperti elektrik bervoltan 20 atau bateri AA, maka tidak mengapa.

Apapun, hadirnya Hadi kali ini untuk menambahkan pendinding atau hijab (Hadi ini bagaikan bomoh atau ulama pula bunyinya) kepada penghawa dingin itu, adalah tidak berseorangan.

Dia membawa bersama puteranya yang masih hingusan, seorang budak berumur 4 tahun.

Budak ini mudah ramah, walaupun tidak berkata banyak. Andai kata dia berkata sekalipun, amat sukar difahami. Barangkali kurang kawan disekitar kawasannya menyebabkan dia sukar untuk mempelajari pertuturan seperti kanak-kanak sebayanya.

Budak ini juga datang berteman, dan temannya adalah mainan robot 3 dalam satu. Satu robot kecil, satu Trisetops dan satu burung gergasi yang saya lupa akan namanya.

Bersatu, maka mereka membentuk satu robot yang hebat perkasa.

Tetapi, dalam keasyikan melihat budak itu bermain (ditambah keinginan untuk bermain bersama), diri ini sedar bahawa budak ini tidak mengerti akan cara memasang robot itu dengan baik.

Akibatnya, robot itu mengalami mutasi dan berkepala dua. Vertebranya bengkok ke belakang. Kakinya retak dan longgar.

Sungguh, robot ini banyak ralatnya.

Dan sungguh, diri ini masih keanak-anakan.

Sewajarnya, diri yang sudah menjangkau usia 20-an ini membiarkan sahaja anak itu dengan imaginasinya sendiri. Diri sewajarnya bersama Hadi, melihat proses pemasangan wayar dan fius dan sebagainya.

Tapi, hati dalam memberontak. Robot itu perlu keadilan.

Mahu ke budak itu memberi peluang berkongsi mainan?

Kami adalah orang asing. Persahabatan perlu dibina dahulu.

Cara terbaik membina adalah melalui makanan.

Maka coklat diberi. Beberapa bungkusan kemudian, robot itu beralih tangan.

Maka operasi bermula. Si gergasi dileraikan kepada tiga bahagian.

Di bawah mata anak kecil yang punyai sikap ingin tahu, tiga bahagian tadi disambung semula.

Operasi berjaya. Robot gergasi itu berjaya dinyah-mutasikan.

Hadi masih leka membaiki.

Diri pula, leka bermain dengan anak kecil itu.

Keanak-anakan.

Dari sudut positifnya, diri dapat mengajar anak kecil itu, disamping belajar untuk berinteraksi dengan kanak-kanak.

Dari sudut negatifnya, diri perlu sedar bahawa mainan dan patung dan robot bukan lagi sesuai untuk orang berumur 20-an.

Lain kali, beli la mainan sendiri.

2 comments:

  1. entri berbau sains.ala2 tulisan abg hafis senior kite.lawak kot.hahaa.nice ^^

    ReplyDelete
  2. hehe...
    pandai juga layan bdak kecik rupanya..
    =)

    ReplyDelete