Tuesday, January 1, 2013

Warkah: Muka 83

1.1.13 | 13.11 | Ubah

Change of Heart: Kad biasa tetapi luarbiasa kuasanya
Assalamualaikum,

Dalam POSED (Presentation Speech and Debate Team) minggu ni, kata kuncinya adalah UBAH/CHANGE, sesuatu yang saya kira amat bersesuai dengan minggu ini. Pertama, adalah kerana minggu ini berlakunya berubahan tahun, dari 2012 kepada 2013. Tahun ini juga bakal menyaksikan perubahan terhadap sistem pemerintahan di Mesir, InsyaAllah ke arah yang lebih baik. Barangkali juga perubahan kepada Malaysia? Andai bukan kepada pemerintahan sekalipun, ada angin-angin perubahan bertiup pada masyarakat kita.

Dalam POSED, ada seorang kawan memberikan sinonim yang cukup saya kenali berkaitan dengan UBAH, iaitu kad di atas.

Siapa pernah main Yugi-Oh? Bagi saya, permainan ini menghiasi kehidupan saya sepanjang saya di bangku persekolahan. Malahan, sehingga kini saya masih suka akan permainan ini dan kalau bukan dek kerana urusan yang lebih utama, barangkali saya masih bermain.

Kad Change of Heart adalah kad asas, yang pasti ada dalam Dek Asas kad permainan Yugi-Oh. Walau bagaimanapun, ianya merupakan antara kad yang paling digemari. Kegunaannya walaupun hanya pada satu pusingan, mampu merubah corak permainan. Bayangkan, ada berhadapan dengan lawan yang raksasanya mempunyai mata serangan yang cukup tinggi. Dengan menggunakan kad ini, anda mampu menukar posisi raksasa tadi kepada milik anda dan menyerang lawan anda tadi yang kini tiada jaringan pertahanan.

Instant win.

Perubahan yang kecil, membawa impak yang besar. Hebat bukan?

Begitu juga dengan kehidupan. Ramai antara kita ingin berubah. Ada sesuatu lumrah kehidupan, manusia itu ingin menjadi lebih baik dari apa yang sudah dicapai, dan pada pengakhiran kehidupan, semua inginkan pengakhiran yang baik.

Namun dugaan hidup cukup besar dan kuat. Akhirnya, ramai yang memilih untuk tidak berubah atau menangguhkan dahulu perubahan itu. Lebih parah, jika manusia itu memilih untuk kearah kejahatan, kerana jalannya tampak lebih mudah dan menguntungkan, walaupun pada hakikatnya itu sekadar halwa dunia semata-mata.

Di bumi Mansurah, dalam rancak musim perperiksaan, saya lihat ramai yang berubah. Malah saya sendiri juga kelihatan begitu. Sama ada sedikit, mahupun besar, perubahan itu ada berlaku. Saya kurang setuju, jikalau dikatakan perubahan ini berlaku hanya semata-mata kerana demam peperiksaan. Musim peperiksaan itu sebaliknya dapat dilihat sebagai pemangkin, mengurangkan lagi 'action potential' bernama dugaan.

Barangkali tatkala sukar, hati semakin kenal tuhan.

Setahun, atau dua, di Mesir ini, saya kagum melihat rakan-rakan. Mereka mungkin tidak sedar, tetapi mereka kearah kebaikan. Kata kasar berkurang, kalam Quran kerap kedengaran. Bernasihat mesti ada contoh hadis dan tafsir. Dakwah maya makin giat. Hubungan kekeluargaan makin erat.

Dulu saya mungkin lebih suka untuk berdiri di tampuk lama. Atau berubah dengan kadar yang amat selesa (lambat teramat).

Tetapi, melihat mereka, saya rasa rugi.

Rugi, kalau tak berubah bersama mereka. Berjalan selari, menuju redha Ilahi.

Cantik tarikh semalam. 1.1.13, kalau terbalikkan dan buat sedikit pertukaran, maka akan jadi 13:11

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka merubah keadaan mereka sendiri"

Ya Allah...tahun baru penuh pengajaran.

Akhir kata, layan video di bawah dulu. Selamat berubah! :)


p.s: semoga yang baik itu berkekalan.

No comments:

Post a Comment