Saturday, January 12, 2013

Warkah: Muka 89

Bayang

Add caption
Assalamualaikum,

Aku takut, andainya satu hari nanti aku jadi seperti bayang-bayang. Satu makluk hitam, tampak seram. Mengikut dari belakang, seolah-olah menunggu waktu untuk terkam. Tidak punya wajah, mahupun bentuk yang tetap, sehingga sukar untuk manusia menafsir, apatah lagi mengagak gerak geri yang diatur. Barangkali tangan yang dihulur, tiba-tiba menjadi cabang-cabang duri yang menghiris orang yang menghulur.

Aku takut kalau aku ini bagai bayang-bayang, ngeri dalam jaga mahupun tidur, juga peneman yang tak diingini tatkala sunyi. Penghasut, penbawa duka, pemuram suasana. Menambah cuka dalam hubungan, penambah luka dalam perselisihan pandangan. Menjadi fitnah, penabur fitnah.

Kadang-kadang dalam meniti hari, aku rasakan seolah-olah akan semakin menghampiri bayang-bayang. Seolah tangan kaki semakin hitam, merebek cepat melalui liang-liang dan urat-urat, merapati dan membaluti hati. Bagaikan sudah penuh diri dengan dakwat hitam, tinggal lagi di kuasai dan menjadi gila dalam diri.

Banyak kali aku fikir cara untuk hilangkan bayang ini, sebelum aku adalah ia dan sebelum ia adalah aku. Sebelum terlambat.

Aku lupa, aku ingat dan beringat dan barangkali lupa kembali.

Bahawa bayangan ini mampu dikawal. Bayangan ini boleh ditepis jauh dari diri.

Barangkali kalian juga tahu bukan? Barangkali kalian lupa juga bukan?

Prinsip mudah dalam Fizik.

Bayang terbentuk dari cahaya.

Kegelapan wujud adalah dengan kerana ketiadaan cahaya.

Dengan cahaya, bayang boleh dikawal, malah dibentuk.

Kecil, besar, dekat, jauh, belakang atau depan.

Tinggal lagi, dimana letak cahaya itu?


"Dengan Kitab itulah Allah Memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah Mengeluarkan orang itu dari gelap gelita kepada cahaya dengan izinNya, dan Mununjukkan ke jalan yang lurus."
                                                                                        al-Maidah, ayat 16 








p.s: Aku mahu baca, baca dan terus membaca. Hanya dengan ilmu, manusia tidak buta. Hanya dengan ilmu, badan disirami cahaya. Moga diberi kekuatan, dan moga diri sentiasa beringat untuk ingat dan ingat untuk beringat.

No comments:

Post a Comment