Tuesday, December 14, 2010

Warkah: Muka 17

Rindu

Sebentar tadi berkongsi pendapat dengan kawan-kawan menerusi laman sosial Facebook.

Berdiskusi sebentar bersama bekas teman serumah (masa di MAIS), buat diri teringat kembali waktu dulu. Bagaimana cara diri dahulu mendapat didikan agama atau apa jua ilmu.

Harus diakui, jika disebut sedikit tentang soal pembelajaran agama, diri ini cukup malas.

Masakan tidak, dulu masa kecik suka ponteng mengaji. Pergi kelas pun sebab dapat biskut gula percuma, kalau mengaji. Atau takut ustaz tunjuk kehebatan jari dan tangannya, selain memegang kapur dan lidi.

Masuk sekolah agama untuk masa yang singkat sewaktu menetap di Penang, banyak masa dihabiskan bermain di Masjid kampung.

Masa awal sekolah menengah, asyik buat alasan nak melengahkan waktu mengaji. Kata nak ambik nota-nota di kelas, masuk kelas main gaduh-gaduh ala-ala cerita "The Matrix" (yang masa itu hangat dipertontonkan).

Dalam kelas malas belajar.

Majlis agama selalu tak hadir.

"Baca Yaasin" dalam dorm, dengan lampu tertutup.

Ya, dahulu dengan kenangan dahulu. Manis sebenarnya, kalau nak difikirkan.

Masa buat dosa memang manis, macam makan gula.

Lepas buat baru rasa perit, macam orang terlebih gula, diabetes jadinya.

Tapi dalam keadaan malas-malas begitu, diri sebenarnya masih tertarik dengan agama.

Kerana itu adalah fitrah manusia. Manusia itu perlu pada agama.

Jadi, macam mana Ariff yang nakal ini, dapat melayani permintaan hatinya yang dahagakan cahaya?

Teringat kembali...

Masa kecil, Atuk teman ke sekolah, di ajak sama-sama "nyanyi"...

"Subhanallah"

"Alhamdulillah"

"Allah hu akbar"

Diulang dan diulang, didendang dan didendang...sehingga merdu rasanya.

Teringat kembali...

Ayah tatkala malam, disuruh "mengajar" ayah apa yang diajar di kelas mengaji.

Maka berebut la kami, anak-anak kecil.

Mengaji depan ayah, sebab pasti ayah akan senyum gembira.

Di sekolah.

Nakal-nakal sekalipun, ada guru yang memahami...

Ustazah yang bijak mengajar...

Sehingga agama terasa seronok sekali...

Ustaz-ustaz penuh variasi...

Ada yang disayangi...

Ada yang digeruni...

Namun semua dihormati...

Mungkin masa muda, jasa-jasa mereka ini tidak begitu dihargai...

Tapi kini, diri rasa amat terhutang budi. Sebab diri bukan lagi yang terbaik, tapi tanpa mereka, barangkali diri tidak pernah mengenal erti BAIK.

Teringat juga di Matrikulasi. Tiba-tiba ada azam yang menggunung tinggi. Nak jadi baik. Nak jadi soleh.

Niat? Entah la, tapi mungkin tersasar pada mulanya.

Allah itu Maha Mengasihani. Maha Bijaksana.

Maka tersusun satu persatu rencana kehidupan. Diberi dugaan. Diberi ujian. Diberi bukti kasihNya.

Sampai si keras kepala ini boleh menangis di malam hari.

Sampai si hati batu ini boleh lebut hatinya.

Sampai si degil ini mampu menangis pada ibunya.

Belum cukup? Memang belum cukup, sebab masih banyak lopongnya.

Alam Universiti.

Maka datang ia dengan cabaran-cabarannya. Hebat, lebih dari apa yang disangkakan.

Dahaga segara hati ini, mana perlu dicari cahayanya?

Ku cuba satu perkara baru. Usrah namanya.

Tapi hati masih keras. Tak lama, sudah ku rasa layu, bosan begitu.

Alasan. Alasan.

Hadir pula kawan-kawan dermawan. Suka memberi ilmu tanpa sebarang harapan.

Maka, di kedai makan itu, ilmu dicurahkan.

Di dalam dan luar bas, ilmu dicurahkan.

Di setiap saat bersembang, disebalik gurau senda, ilmu dicurahkan.

Tatkala senang, ketika susah, ilmu juga dicurahkan.

Kini perkara itu menjadi satu kejarangan. Hidup sudah berubah, cabaran juga sudah berubah. Apa yang pasti, hidup itu cabarannya meningkat, tidak menurun, mustahil terjunam dan hilang.

Tapi andai diri lalai, diri dibiar kehausan, maka diri akan terjunam. Akan hilang.

Dahaga. Memang dahaga.

Rindu. Teramat rindu.

Bilakah lagi dapat dahaga ku dipenuhi? Bilakah lagi dapat rindu ku terubat?

No comments:

Post a Comment