Thursday, December 23, 2010

Warkah: Muka 20

Luar Biasa

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, luar biasa sungguh hari ini.

Pertamanya, lihat saja warkah terbaru ini. Siapa dapat menyangka, si Ariff yang lemah penulisan Bahasa Melayunya, dapat bertahan sehingga ke Muka 20 (Warkahnya)?

"kamu ni tulis merepek Arip"

Ya, saya tahu. Ya saya mengerti. Saya kuat merepek. Penulisan barangkali lebih banyak huraian daripada isi. Huraian-huraian juga mungkin sekali tidak berkaitan, hanya sekadar 'kata-kata kosong'.

Tidak mengapa bagi saya. Malah, saya pasti, tidak mengapa bagi kebanyakan juga.

Bukankah kita suka merepek, sambil makan kerepek didepan tv, memekik atau menangis, penuh emosi, atas benda yang juga merepek?

Bukankah kita suka berbual kosong, sambil lepak di kedai mamak, minum teh kosong (teh-O) dan jamah roti kosong (roti canai)?

Maka, syukur juga rasa diri, sudah jauh saya merepek.

Cukup luar biasa. Saya harap saya dapat teruskan penulisan saya, saya harap kalian bersabar dengan merepek saya, dan moga, sedikit isi-isi yang wujud itu akan dapat kalian tangkap, kunyah, telan, dan rasa nikmatnya.

Maka, apa lagi yang luar biasa hari ini?

Luar biasa hidup saya pagi ini, tatkala saya bangun pukul empat pagi, dengan rasa gembira yang tidak mahu saya kongsi sebabnya disini, dan lepas sedar terus buka buku sejarah.

"eh silap tu Arip!"

Ya, silap, maaf. Bukan buku Sejarah, tapi buku Malaysian Study (maaf pelajar-pelajar IPT, tahu kelak ego kalian tercalar kalau sebut Sejarah, itu cuma untuk budak sekolah saja).

Bagi saya, itu satu keajaiban. Luar biasa. Untuk bangun pagi dan baca buku. Apatah lagi kalau buku sejarah. Teringat kembali, kalau dulu masa sekolah, buku sejarah ini antara buku yang paling akhir dibuka untuk dibaca. Bukan sebab Sejarah itu senang. Tetapi kerana gentar.

Ya, gentar. Buku Sejarah ini punya kuasa tersendiri.

Kuasa, untuk buat badan rasa berat, perut rasa kenyang, tangan rasa berat, mata rasa mengantuk.

Ya, tekaan anda tepat sekali. Sejarah punya kuasa menjadikan semangat belajar anda 'tinggal sejarah'!

Tidak percaya? Maka apa lagi yang dapat saya kata, kalian kan pelajar yang hebat-hebat, barangkali kuasa buku Sejarah ini tidak memberi kesan pada kalian.

Sebagaimana ia tidak memberi kesan pada diri pagi tadi.

Kita tutup kisah itu, kita buka pula kisah baru. Luar biasa juga hari ini, apabila hadir ke kelas dua jam awal. Kalau sejam biasa lagi, almaklumlah, trauma tertinggal bas masih ada walaupun kini punya kereta. Tapi kalau dua jam cukup luar biasa.

"Kenapa Arip?"

Apa lagi dapat saya kata? Pinjam kata-kata Dr. Mahathir, "Melayu mudah lupa"

Maka awal lah saya, dan lewat lah mereka. Apa boleh buat, saya lupa.

Kelas bermula bila tiba waktu, dan dalam kelas sendiri punya keluar biasaan tersendiri. Ambil satu, adalah hari ini saya punya semangat yang luar biasa di dalam kelas. Kelas sejarah, maaf, Malaysian Study pulak tu. Biasanya terpengaruh dengan 'kuasa Sejarah'.

"Entah apa tak kena pada Arip?"

Ya, saya pun keliru. Hari ini awal datang, tetapi awal juga perginya. Lari-lari anak, hampir-hampir mahu melompat sahaja tatkala menuruni tangga, kerana rasa begitu lambat. Ingin segera. Ke Masjid (Pusat Islam MSU).

"Nak solat sunat ke Arip?"

"Ke nak ganti solat?" (Gelak besar-besar)

Alangkah baiknya kalau begitu (ganti solat juga baik, jangan perlekehkan orang!). Tidak, sekadar ingin mengetahui satu keputusan.

Maka komputer riba dibuka, bukan di riba, di lantai (komputer lantai?).

Beberapa tekanan pada kekunci kemudian, hasrat dihati dipenuhi.

Dan hasrat itu dikongsi.

Cukup luar biasa. Hebat rupanya. Pada yang menanya sebentar tadi, tahniah. Lepas ini buat lagi. Tahniah.

"Buat apa Arip?"

Ah, kamu, sibuk! Diam saja, ingin ku terukan kisah ini.

Maka, apa lagi yang hebat hari ini?

Sudah tentulah, pada solat Jumaatnya!

Oh, bukan solat saya ye, saya ini biasa-biasa je. Entah-entah lebih teruk, tapi mohon agar tidak.

Saya tidak pula ingin memberi komentar pada solat orang.

Tapi, saya nak focuskan pada tajuk khutbah tadi.

...saya lupa tajuknya. Tapi focus khutbah, insyallah, adalah mengenai Iman.

Ya, iman dan kita.

"Saya Islam, dan saya beriman", kata monolog dalaman.

"Anda pasti?", balas hati lagi, dengan nada Jamaludin Hassan.

"...."

Sedang diri asyik leka memandang manusia sementara menunggu Imam bermula hujahnya, sedang diri leka dan sibuk mencari kurang dan salah orang, Imam mulakan khutbah dengan hujah-hujah yang menggoncang jiwa.

Diterangkan tentang definisi iman yang sebenar. Terbakar jiwa.

Diterangkan akan cabaran-cabaran orang-orang beriman. Terbakar jiwa.

Diterangkan apa yang diterangkan dalam hadis, akan pertanyaan Jibril kepada nabi tentang apa itu Islam dan apa itu Iman. Terbakar dan terbakar dan terbakar lagi.

"Orang Islam belum tentu beriman, tetapi orang beriman insyallah Islam"

Insyallah

"Arip, insyallah tu bukan ke pakai kalau ragu-ragu?"

"Bongok! Insyallah itu 'dengan izin Allah' bukan 'tak pasti'! Apa kau kira, benda yang dengan izinNya, adalah benda yang tak pasti!?"

Tertikam diri sendiri lagi. Aduhai, sakit.

Tidak mengapa, sakit ini mengajar. Sakit ini mendidik.

Sebagaimana sakitnya tatkala jatuh ketika belajar berjalan. Jatuh, sakit, bangun lagi. Insyallah, pasti, sakit sebegini lebih baik, mendidik diri menjadi insan yang lebih berguna.

Maka, simpulan daripada celoteh ini, khutbah tadi sangat luar biasa.

Maka, atas motivasi luar biasa ini, rasa hendak luang masa sekejap di dalam masjid.

"buat apa? Ikut usrah ye? Baca quran? Bagi tazkirah? Alhamdulillah, sejuk saya"

Bukan, sekadar nak guna internet. Kat sini ada wi-fi, percuma. (gelak)

Duduk dekat belakang, buka komputer (lantai atau riba?). Facebook pujaan hati juga yang terkeluar dulu.


Itu la Arip, gatal sangat, tak pasal-pasal kena perli dengan diri sendiri!


"Kenapa tak duduk depan? Orang luar biasa duduk depan. Tengok imam, luar biasa orangnya, duduk depan. Tengok mereka itu, yang ala-ala Taliban (bak kata orang Islamophobia) tu, duduk depan. Kamu?", sindir diri.

Baiklah, ku maju kehadapan. Duduk sebelah mereka, bukan apa, sekadar mencuri dengar perbualan mereka, mana nak tahu, mereka ni radikal ke, boleh lapor, kita yang 'biasa-biasa' kan nak duduk aman-aman?

Beberapa pemerhatian dan penelitian kemudian, dapat disimpulkan; mereka tidak luar biasa.

Mereka biasa-biasa saja.

Mereka dalam proses, mendapat 'Islam biasa-biasa' sahaja.

"'Islam biasa-biasa' itu apa Arip?"

Hendak tahu? Baca ini.

Ya, mereka biasa-biasa sahaja. Tidak percaya? Tanya sahaja pada mereka, mesti mereka cakap, "Saya biasa-biasa saja". Malah, si Imam yang hadir bersama kelompok mereka sebelum sempat saya duduk ditepi mereka pun pasti akan kata, "Ana biasa-biasa sahaja".

Tapi pada mata saya, mereka luar biasa.

Hari ini, saya duduk sahaja di tepi mereka. Sekejap sahaja, tak lama.

Tapi, pelbagai ilmu yang saya dapat.

Bicara mudah, tentang musafir dan solat. Hmm, topik yang kena pada nama blog saya.

Kalian mungkin tahu, bahawa tempoh musafir adalah tiga hari, kan? TIGA HARI, tidak termasuk hari pergi dan hari berangkat pulang? Tahu kan?

Saya tidak tahu, saya baru tahu.

Kalian mungkin tahu, bahawa doktor yang bakal melakukan perbedahan berjam-jam, boleh jamak, kan? JAMAK, bukan QASAR. Tahu kan?

Saya tidak tahu, saya baru tahu.

Kalian mungkin tahu, ada pendapat mengatakan bahawa, ketika bermusafir, kalau niat dipasang untuk tinggal satu tempat melebihi 3 hari, maka tidak boleh jamak/qasar. Tetapi ada juga berpendapat, andai kata kita pergi sesuatu tempat itu lebih dari sebulan sekalipun (sebagai contoh, tunaikan haji), dan tatkala itu kita bermusafir (pasti bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain kan?), maka boleh jamak/qasar solat kita. Tahu kan?

Saya tidak tahu, saya baru tahu.

Maka saya mohon, jangan tanya saya perkara-perkara ini. Melainkan sebelah saya ada sahabat, ustaz yang lebih Arif. 'Lebih Arif' saya cuma pada huruf 'f', terlebih satu.

Tapi insyallah, satu hari nanti, saya mampu jadi 'lebih Arif' seperti 'lebih Arif' mereka ini. Amin, doakan saya.

Masa sebentar saya bersama mereka, bersama ilmu-ilmu yang saya dapat, cukup luar biasa bagi saya.

"Apa lagi yang luar biasa Arip?"

Apa lagi? Penulisan kali ini. Tidak sangka pula panjang sebegini.

Baiklah, cukup sekadar ini. Banyak lagi kerja lain perlu saya siapkan.

:)



Akhir kata: Orang yang terbaik untuk menegur kita adalah diri kita sendiri.



p.s: kalau tak jumpa link kat atas, boleh ambik kat bawah ni:-
1. http://iqbalsyarie.blogspot.com/2010/12/yang-biasa-biasa-saja.html

jangan lupa baca yang ini sekali:-
2. http://iqbalsyarie.blogspot.com/2010/12/menikam-bayang-sendiri.html
3. blog-blog sahabat yang lain (banyak sangat, malas nak salin semua)

1 comment: