Wednesday, January 19, 2011

Warkah: Muka 22

Sayang Ini Untuk Siapa?

Assalamualaikum.

Hari ini merupakan hari yang amat memenatkan. Hari yang bermula sekitar 2.30 pagi lagi, benar-benar menduga ketahanan fizikal dan mental. Namun, ianya bukanlah hari yang sia-sia. Insyallah, perjalanan hari ini punya hikmah tersendiri.

Usai sahaja membaca/menonton dua blog ini:

Blog 1, Blog 2

Maka tiba-tiba terdetik hati untuk menanyakan persoalan dia atas, "Sayang ini untuk siapa?"

Mohon diperjelaskan terlebih dahulu, ini bukan persoalan atau artikel mengenai jodoh. Jodoh, seperti sedia maklum untuk umat Islam, adalah rahsia Allah. Selagi mana ianya belum tiba, selagi itu ianya rahsia. Maka kita tidak perlu bimbang tentang itu.

Tenang-tenang sahaja.

Tetapi harus diakui, pada zaman penuh dugaan ini, untuk bertenang bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi pemuda-pemudi yang cintakan kebaikan, mereka khuatir akan jodoh mereka. Rimas, kerana terasa berat dengan dugaan nafsu.
Mencari, kerana ingin segera memperoleh kedamaian diri.

Tapi awas, memang benar kita perlu berusaha (mencari jodoh), tetapi jangan sampai ianya melebihi usaha mencari keredhaanNya.

Bimbang, kelak terhanyut tanpa sedar.

Baik, tutup sudah itu, bukan ini yang saya ingin perkatakan.

Saya mahu yakin akan janji Allah, saya mahu 'tenang-tenang' sahaja.

Maka, lagi sekali saya bertanya, "Sayang saya untuk siapa?"

Kita, manusia. Manusia adalah wajib untuk punyai rasa sayang. Rasa sayang ini mengerak manusia untuk melaksanakan sesuatu.

Kita sayang Allah, maka kita buat suruhanNya dan tinggalkan laranganNya.

Kita sayang ilmu, maka kita belajar.

Kita sayang ibu, maka kita ikut tunjuk ajarnya.

Kita sayang kekasih kita, maka kita buat apa yang dia suka.

Kita sayang badan kita, maka kita jaga badan kita.

Kita sayang bola (mungkin perkataan "suka" lebih sesuai dalam konteks ini), maka kita main bola sampai kena marah dengan warden, sebab tak siap untuk solat Maghrib.

Lihatlah, apabila kita sayang akan sesuatu, maka kita akan lakukan segalanya untuk benda/seseorang yang disayangi itu.

Namun, bagaimana pula situasinya, apabila sayang kita tidak terbalas? Malah, bagaimana pula jika usaha kita kepada sesuatu yang kita sayang itu, hanya dibalas dengan herdikkan, cacian, umpatan?

Sebagai contoh, sayang kita kepada kawan kita. Maka kita sentiasa tolong dia, senangkan hati dia. Tetapi, kita pula tidak disayangi sebagaimana yang kita harapkan.

Maka apa reaksi kita?

Sudah pasti kita terasa sedih yang amat sangat. Kecewa, kerana sayang tidak berbalas.

Kalau yang bercinta itu, mulalah pasang lagu-lagu 'jiwa kacau', duduk termenung ditepi tebing. Kadangkala, kekecewaan terhadap sayang yang tidak dihargai ini mampu mengebabkan seseorang itu putus asa dan hilang keinginan untuk meneruskan kehidupan.

Bunuh diri? Tidak mustahil.

Tapi tunggu sebentar. Ayuh duduk sejenak. Mari berfikir, untuk siapa sayang kita ini sebenarnya. Untuk siapa sayang kita ini SEWAJARNYA?

Apabila ada sayang, maka ianya akan memenuhi ruangan di hati. Sekiranya sayang itu hilang, maka kosonglah ruangan hati itu.

Maka hati ini boleh diibaratkan sebagai gudang yang mempunyai banyak ruangan.

Ada dikalangan kita meletakkan satu jenis 'sayang' itu pada satu ruangan sahaja, manakala ada yang hampir memonopoli semua ruangan-ruangan yang ada.

Seberapa banyak 'sayang' itu mengisi ruangan di hati, sebanyak itu jugalah kekosongan hati yang akan dirasai apabila 'sayang' itu tiada lagi.

Soalan, "Macam mana hendak pastikan ruangan itu tidak kekosongan?"

Jawapannya mudah sahaja, isikan ia dengan 'sayang' yang berkekalan.

Soalan, "Apakah itu sayang yang berkekalan?"

Itulah rasa sayang kita kepada Tuhan kita, Tuhan yang Maha Esa.

Kiranya segala yang kita laksanakan, adalah atas dasar sayang dan kasih kepada Allah, maka hati akan sentiasa terisi. Ketenangan akan sentiasa disisi. Hati senang, jiwa bahagia.

Kerana kita tahu, sayang Allah itu berkekalan. Kiranya itu yang dicari, maka ia tidak akan berkurang, malah akan sentiasa bertambah.

Maka, tidaklah kecewa kita apabila bantuan kita kepada kawan, atau usaha kita kepada seseorang tidak dihargai, kerana kita tidak lagi mengejar sayang mereka, tetapi sayang padaNya.

Dan sudah pastilah apabila rasa 'sayang' kita berpaksi kepada rasa sayang kepada Allah, maka kita akan peroleh sayang dari semua makhluk ciptaanNya.

Sayang ini untuk siapa? Sayang ini untuk Allah. :)

2 comments:

  1. wah!Alhamdulillah.betul,mmg sayang kita smua utk Allah.terima kasih ustaz arep!

    ReplyDelete
  2. Assalam,
    Ayat "Namun, bagaimana pula situasinya, apabila sayang kita tidak terbalas? Malah, bagaimana pula jika usaha kita kepada sesuatu yang kita sayang itu, hanya dibalas dengan herdikkan, cacian, umpatan?"
    yg ini tak berapa nak setuju lah.. takkan sebab kecewa tak diterima jer orang nak herdik, caci, dan umpat..
    apa-apa pun sy ingin berterima kasih kerana tajuk ini telah menyedarkan seorang insan yang tidak sempurna dan serba kekurangan ini..
    anda boleh jadi ustaz!
    terbaik..

    ReplyDelete