Saturday, January 22, 2011

Warkah: Muka 24

AKU BENCI KAMU

Assalamualaikum.

Wah, tajuk entri yang menakutkan, bukan? Jangan bimbang. Bukan disini ingin memarahi atau memulakan permusuhan dengan sesiapa. Bukan juga untuk diajak bercerita tentang kisah cinta muda mudi yang penuh liku mahupun membuka kisah konflik rahsia dalaman yang sehebat kisah-kisah cerita Indonesia (saya kurang gemar tonton drama Melayu, maaf) atau pun kisah-kisah romantis Barat yang pasangan boleh bertukar-tukar hanya dalam masa beberapa minit (tayangan) atau selepas beberapa episod. Tidak, bukan semua itu.

"Ariff benci kat sesiapa ke?", "Putus cinta? Cinta bertepuk sebelah tangan?"

Bukan. Bukan itu.

"Gaduh dengan orang? Salah faham?"

Bukan juga itu.

"Masuk politik?"

Jauh sekali yang itu.

AKU BENCI KAMU.

Perkataan itu muncul di dalam pemikiran tatkala mengelamun ketika Ustaz memberi ceramah bertajuk "Penghayatan Budaya Ilmu". Saya pasti, ada cetusan-cetusan Ustaz disebalik ceramah tadi, yang menyebabkan perkataan itu terlintas di minda.

Sebelum itu, elok jika saya terangkan apa yang berlaku sebentar tadi. Pagi tadi, di kampus, ada satu seminar anjuran Persatuan Mahasiswa Islam MSU bertajuk SEMINAR PERMATA ISLAM 2. Ianya adalah kesinambungan daripada SEMINAR PERMATA ISLAM 1 yang dilakukan beberapa minggu, kalau tidak hari, yang lepas.

Seminar pertama itu tidak saya hadiri atas alasan kesibukan diri. Walhal, saya rasa tatkala itu saya sibuk menternak sifat 'Malas' saya.

Biasalah, budak seperti saya ini amat lazim untuk malas ke majlis ilmiah. Lebih-lebih lagi kalau majlis ilmiah Islam.

Maka tidak dinafikan juga ada saja suara-suara halus mengajak saya membatalkan hasrat saya untuk ke MSU pada pagi tadi.

"Ala Ariff, ko kan banyak kerjatakpentingtapidipentingkanuntukmenolakkerjayanglebihpenting?"

"Ala Ariff, ko kan 'cool' dan 'pendiam', mana suka nak buat kenalan baru?"

"Ala Ariff, ko kan tak suka LDK?"

"Ala Ariff, dok la rumah, kan hari Sabtu hari bersantai?"

"Ala Ariff, bukan ke nak masak?"

"Ala Ariff, kan....

Tetapi suara-suara itu berjaya ditenggelamkan, dek suara-suara 'Amal Makruf' yang dipasang dengan frekuensi bunyi yang terkuat.

Alhamdulillah, walau pada mulanya dengan berat hati, tetapi digagahkan juga kemari.

Maka bermulalah seminar itu dengan dua tajuk ceramah utama iaitu, 'Penghayatan Budaya Ilmu' dan 'Konsep Ibadah Dalam Islam'.

Terima kasih kepada pihak penganjur (yang rata-rata merupakan kawan sendiri).

Terima kasih juga kepada Ustaz (maaf lupa nama), atas ilmu tadi.

Mohon maaf juga, kerana diantara ceramah beliau, saya mengelamun.

AKU BENCI KAMU.

Itulah 'tajuk' lamunan saya.

"You never know what you had till it's gone"

Anda tidak pernah menghargai apa yang anda punyai sehingga ia tiada.

Itulah ungkapan Barat yang sering kedengaran.

Atau mungkin hanya saya yang kerap mendengarnya. Dalam lagu-lagu cinta.

Apa pun, ungkapan ini banyak benarnya.

Manusia memang begini. Tidak pernah menghargai apa yang mereka ada, sehingga ditarik semula apa yang mereka ada dari Allah.

Kemudian? Menyesal tak sudah.

Begitu juga dengan kasih sayang, dengan cinta.

Manusia mudah mengabaikannya.

Lihatlah pada kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa kita. Mereka kadangkala sampaikan mengabaikan diri mereka sendiri untuk kita.

Mereka sakit supaya kita sihat. Mereka lapar supaya kita kenyang. Mereka pening supaya kita tenang.

Tapi, adakah kita menghargai mereka? Kadangkala, ingin mengatakan "Terima kasih" pun payah. "Saya sayang mak/ayah" terasa berat oleh lidah. Hati merasa rimas. Akal mengatakan berkelakuan sebegitu memalukan atau tidak matang pada usia ini.

Walhal, kalau dengan kekasih, lancar sahaja ungkapan-ungkapan kasih.

Kita tidak menghargai sepenuhnya kasih yang kita dapat. Malah, kita meminta lagi.

Pernah terfikir, apa jadi kalau tiba-tiba pada satu hari kasih sayang mereka hilang?

"AKU BENCI KAMU". Maka segala yang diberikan sebelum ini ditarik semula.

Duit belanja, pakaian, yuran perbelanjaan, dan lain-lain.

Malah, dihalau dari rumah. Dituntut bayar semua yang diberi.

Tempat mengadu hilang. Tempat berkasih sayang hilang.


Pernah terfikir, apa akan terjadi?

Baiklah, itu kalau ibu bapa kita.

...

Bagaimana pula kasih sayang Pencipta kita kepada kita, adakah kita hargai?

Andai kata ingin dibilang kurnia yang diberi oleh Maha Pengasih, memang tak terhitung.

Andai ianya semua disewa, maka sewa itu tidak mampu kita bayar.

Tapi Allah Maha Pemurah, diberi kepada hambaNya pelbagai nikmat.

Kita cuma perlu 'membayarnya' dengan menjadi hamba yang taat.

Tetapi, taatkah kita?

Adakah kasih sayang tuhan dihargai?

Mungkin akan ada yang berkata, "Aku tak kisah kalau orang tua aku tak sayang aku. Aku boleh bayar semua hutang-hutang aku kat mereka".

Sombong.

Tetapi kalau pada satu hari, kita dapat tahu bahawa "AKU BENCI KAMU" itu daripada Allah. Apa reaksi kita?

Orang kalau benci pada orang lain itu, dia tidak lagi memberi apa-apa pada orang itu. Malahan, semua yang pernah diberi akan dituntut semula.

Andai kata Allah benci, atau murka pada kita, dan kiranya Allah menuntut semula apa yang diberi, maka habislah kita.

Andai kata tidak mendapat pembalasan didunia sekalipun, andai kata Allah sudah murka pada kita, maka akhirat kelak, kemana lagi boleh kita pergi?

Kepada siapa lagi boleh kita merayu? Berharap?



Janganlah ibu bapa benci kita. Hilang berkat hidup, hilang sumber kasih dan sayang.

Janganlah Allah benci kita. Gelap masa depan kita kelak, baik di dunia, lebih lagi di akhirat.

Hargailah kasih sayang yang diberikan.

AKU BENCI KAMU. Moga ianya tidak pernah terlafaz oleh mulut ini. Moga ianya tidak pernah terdengar oleh telinga ini.

Insyallah. Selamat malam, sayang semua. :)

5 comments:

  1. Janganlah ibu bapa benci kita. Hilang berkat hidup, hilang sumber kasih dan sayang.

    Janganlah Allah benci kita. Gelap masa depan kita kelak, baik di dunia, lebih lagi di akhirat.

    nice post (:

    ReplyDelete
  2. atiqa: terima kasih, masih belajar :)

    atika: ???

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum Ariff,

    Tahniah atas catatan yang bagus dalam memupuk kesedaran yang lebih kuat dalam diri kita.

    Ana bersetuju dengan apa yang anta bincangkan mengenai perlunya kita mentaati Allah dan ibu bapa.

    Memang, semakin kita mengenali Allah, semakin kita rasa diri kita kerdil, semakin banyak limpahan nikmat Allah kepada kita.Semakin kita perlu bersyukur kepada Allah.

    Mari bersama-sama kita sentiasa berdoa agar Allah berikan kepada kita kekuatan untuk sentiasa bersyukur.

    :) -Ikhwan

    ReplyDelete
  4. Salam..nice entry sbg pedoman..saya juga student MSU

    ReplyDelete