Tuesday, January 10, 2012

Warkah: Muka 60

Keluh Kecewa Ku

Adapun keluh kesah ku di pagi ini, adalah bukan kerana kesedihan ku terpaksa berpuas hati dengan permainan komputer zaman SPM ke bawah dek kerana komputer yang semakin uzur, mahupun keletihan ku dalam lebih banyak mengeluh daripada berkerja bagi menyiapkan suatu tugasan ku yang ku akur telah lama ku abaikan. Adapun pandangan yang sunggul ini bukan lah kerana kekecewaan ku kerana lebih berangan dan kurang melihat helaian buku-buku mahupun kertas-kertas nota ilmiah pembelajaran ku, dengan alasan dunia serba kini memudahkan aku untuk melihatnya hanya menerusi skin 13 inci ini, yang mana sekejap saja azamnya jika dipasang sekalipun, lantas dengan segera terlupa aku akan tanggungjawab ku dan kembali aku ke muka buku.

Adapun aku sedikit muram ini adalah pertamanya adalah perut ku masih lagi meragam meskipun sudah ditelan kuah tomyam dan mihun, dan sudah ditelan kushairi SUPER hasil air tangan orang arab yang semakin ku lazimi dalam menu ku. Sungguh, ketagihan aku kepada makanan ringan bernama TODO itu semakin menjadi. Tak ku jamah hari ini walau satu, dan perut ku merusuh bagaikan amuknya orang tidak diberi kebebasan. Mungkin sekadar aku terlalu rindu akan masakan Melayu, tetapi andai tidak kerana malas sekalipun terlalu sedikit sumber dan cara untuk ku melunaskan keinginan ku. Maaf la wahai jelitawan arab andai mata mu besar berkilauan sekalipun tapi kalau bau sambal nasi lemak tidak dapat singgah walau sekalipun di ruang makan rumah idaman kelak, maka sungguh ampun maaf aku tiada minat padamu.

Adapun keduanya aku ini begitu kelam sehinggakan perlu akan nyanyian yang ceria seperti lagu Edcoustic, adalah kerana aku melihat diri ku sebagai insan sebenar-benar insan tidak begitu memberangsankan disini. Kecewa ini bukan terarah pada orang lain walau ada kalanya unsur luar itu faktor, tapi penggerak kepada jasad ini adalah diri ini dan kuasa veto untuk diri bertindak adalah pada diri. Maka pada setiap kelemahan dan kesilapan mahupun kesalahan tidak perlu lah mengada-ngada menunding satu jari itu kepada sesiapa. Sedangkan empat lagi mengakui kebodohan dan keangkuhan diri sendiri. Lebih baik tunjuk sahaja kesemua jari jemari itu pada diri sendiri, tepuk dada dan tanya waras akal serta iman.

Maka faktor kedua ini yang ku lihat lebih dominan keatas keluh kesah ku di pagi ini, sedang faktor pertama itu sekadar mukadimah penyeri kata...teringat pula pada seri muka, entah apa kaitannya. Mengidam sungguh pada kuih itu, semoga isteri kelak mahir benar untuk buat itu, mungkin serinya seperti nama kuih itu?

Empat bulan. Buka satu tempoh yang lama namun tidak juga singkat. Wajar, selama arbaa' bulan ini banyak benda sudah dipelajari. Didalami. Dimahiri.

Kecewa, kerana empat bulan berlalu bagaikan hanya duduk dibawah tempurung. Terlalu selesa dalam keselamatan dan kedamaian di dalam, sehingga jendela ke dunia luar pun tertutup. Bila waktunya perlu untuk berurusan dengan realiti, maka tercungap-cungap jadinya. Sehinggakan empat bulan datangnya ke dunia arab ini tuturnya masih bagaikan hari pertama disini. Kasihan diri? Kasihan lagi orang arab yang barangkali terpaksa bersabar dengan keangkuhan diri yang merasa orang lain lebih angkuh daripada sendiri. Empat bulan dan kerja hanya mengadu akan kisah silam. Budak kecik pun tidak begitu. Andai mereka luka di hari semalam, maka hari ini tiada lagi muka-muka masam atau kata-kata kesedihan tentang apa yang berlaku di hari yang lepas. Parut mungkin ada, tapi tidak mereka pedulikan. Apa guna mengenang parut, sedang hari ini terbentang luas untuk diterokai daripada dibiar terabai. Diri? Hal kecil dibesarkan. Sedih, kerana setelah empat bulan rakan-rakan yang baru seolah-olah masih baru, kurang interaksi dan kurang reaksi. Maka, di dalam posisi perlu memahami, diri sekali lagi tewas dalam lamunan dan tidak mampu memberikan kata putus dan tindakan yang sebaiknya. Hanya membisu itu bagai menabur garam di luka. Tetapi bila berkata atau berpena maka bagaikan menabur racun pula dalam luka itu.

Maka ku luah kan segalanya di dalam ruangan maya ini, entah kenapa dan apa kebaikannya tidak pula aku pasti. Sungguh, manusia ini sungguh-sungguh benar mereka pada benda yang tidak sungguh pasti. Atau barangkali hanya diri.

Barangkali ku harapkan jawapan. Ransangan. Keluh kecewa ku ini perlukan solusi yang bukan hanya sekadar kata-kata semangat dan penuh ilmiah mahupun emosi, tetapi lebih dari itu, perlulah ianya rasional untuk diamalkan dengan berterusan.

Ku tahu, jawapan untuk itu hanya ada pada ku. Dua puluh dua tahun itu bagaikan empat bulan di Mansoura. Bukan tempoh yang lama, namun bukan juga tempoh yang singkat untuk seorang manusia itu hidup sehinggakan masih tidak kena erti baik dan buruk.

Tuhan, andai empat bulan ini telah ku bazirkan begitu sahaja, maka ku pohon jadikan baki hari hari di semester pertamaku di padang pasir ini hari yang penuh pengisian. Dan ku pohon, Ya Allah, jadikan hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari-hari yang silam.

Maaf, luahan ini sebenarnya ada cuba ku selit satu dua atau barangkali tiga pedoman dan tauladan, namun selebihnya, adalah luahan, dan sebagaimana seseorang yang sakit perut dan loya-loya tekak itu, apabila dia "meluahkan" sungguh dia rasa selesa dan segar sahaja tetapi orang disekelilingnya pula yang akan rasa tidak senang akan hasil "luahan" itu. Maka maaf, andai luahan ini menjengkelkan.

Insyallah warkah mendatang akan lebih ceria!









p.s: Andai ku ingin memohon maaf, maka harus didahulukan dengan penyesalan dan diakhirkan dengan tindakan. Berterusan. Berterusan. Berterusan.



No comments:

Post a Comment