Tuesday, April 3, 2012

Warkah: Muka 69

Lelah

Assalamualaikum,

Lelah diri ingin membawa hati lari dari kekusaman yang ada dalam jiwa ini. Sungguh, bulan ini bukan lagi bulan yang ku nanti. Silam mengajar dalam bulan inilah badan ku lemah dan terdedah, hingga kerap kali sakit dan tersadai di kamar. Andai demam, maka demam adalah luar biasa, andai batuk, maka batuknya hingga kering tekak, perit terasa.

Lemah diri ini untuk pujuk diri untuk tetap gagah meniti hari hari kerana tidak mungkin bulan ini kurang harinya, tetap jua ia berkitar tidak mungkin masa dapat diundur. Masa juga tidak mungkin kaku terpahat melekat beku di situ dan bagaikan bulan-bulan yang berlalu, bulan ini juga pasti akan habis kitarannya. Terpahatnya waktu hanya jika terpahatnya jasad kaku dingin beku, maka tatkala itu tiada lagi guna esok mahupun lusa kerana dunia telah habis saatnya untuk bersama. Namun hari-hari terasa lamanya dalam bulan ini, seakan akan masa berehat dari lariannya yang biasa.

Letih diri ini kerana terpaksa berperang jiwa. Ya, inilah dia bulan perpisahan. Inilah dia bulan dimana sesalan demi sesalan bertandang di lubuk minda mahupun di lubuk hati mahupun dimana saja ruang dan liang dan rongga di dalam diri ini. Bertandang mereka dan bertenggek mereka mengelilingi mereka akan diri ini dengan mata-mata tanpa keperikemanusiaan. Berkumpul mereka menyanyikan lagu-lagu rindu kecewa amarah murka sengsara sehingga perit amat telinga ini merasa. Ingin sekali aku meraung berteriak bertempek merayu agar aku bebas dari sengsara jiwa dan minda yang bersarang. Sungguh aku rasa mahu gila. Luar ku tampak biasa. Bedah isi dalam ku pasti tercurah air-air duka yang mengalir tiada hentinya. Tidak ku tunding jari pada sesiapa. Tiada orang yang wajar ku lontar tomahan serta sumpah seranah hingga tujuh keturunan. Andai itu mahu ku, akan ku lakukan dengan depan ku menghadap cermin. Kerana akulah selayaknya. Mereka-mereka ini, yang bersatu berlagu pilu, hadir kini di dalam ruang diri ku, adalah kerana aku. Aku yang rupakan pintu itu, dan aku yang buka. Mereka hanya masuk, walau tanpa dijemput.

Longlai diri, andai ini adalah hukuman minda yang bakal ku tanggung sepanjang hidup ku. Barangkali ini adalah ganjaran akan salah silap ku dahulu.

Cuma ku harap, andai reput sekalipun dalam ku ini, luar ku tetap bagai besi yang utuh.

Ku harap.










p.s: Ya Allah, jadikan rindu ku padaMu melebihi segala rindu yang ku ada pada dunia dan isinya. Jadikan lah sayang ku pada insan-insan yang ku sayang ini mengukuh sayang ku padaMu, dan bukan pendinding diri ku pada Mu. Ampun ya Allah, andai tatkala duka ini lupa ku akan hadirnya kasihMu.

No comments:

Post a Comment